Ada satu perasaan yang tidak dapat digambarkan dengan kata-kata, iaitu saat hati terdetik ingin menjadi tetamu Allah.

Melihat Kaabah bukan sekadar impian pelancongan, tetapi panggilan jiwa yang dalam. Namun bagi ramai orang, keinginan itu sering disekat oleh satu persoalan besar: “Aku mampu ke nak pergi umrah?”

Hakikatnya, cara menabung untuk umrah bukan bermula dengan jumlah wang yang besar, tetapi dengan niat yang betul dan langkah kecil yang istiqamah.

Islam mengajar bahawa setiap amalan dinilai berdasarkan niat. Rasulullah ﷺ bersabda:

إِنَّمَا الأَعْمَالُ بِالنِّيَّاتِ
“Sesungguhnya setiap amalan itu bergantung kepada niat.” (Hadis Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

5 langkah menabung untuk umrah

Berikut adalah antara langkah dalam cara menabung untuk umrah:

Langkah 1: Asingkan Tabung Umrah Seawal Niat

Langkah pertama dalam menabung untuk umrah ialah mengasingkan wang sejak awal.

Dalam Islam, perancangan kewangan bukan tanda kurang tawakal, bahkan ia sebahagian daripada ikhtiar. Allah SWT berfirman:

وَأَعِدُّوا لَهُم مَّا اسْتَطَعْتُم مِّن قُوَّةٍ
“Dan persiapkanlah untuk menghadapi mereka apa sahaja yang kamu mampu.”
(Surah al-Anfal: 60)

Ayat ini mengajar prinsip persediaan, termasuk dalam ibadah.

Buka satu akaun simpanan khas dan namakan ia sebagai tabung ‘Baitullah’ atau tabung umrah. Akaun ini tidak bercampur langsung dengan perbelanjaan harian seperti makan, bil atau hiburan.

Anggap ia sebagai akaun yang tidak boleh disentuh walau terdesak, kecuali untuk tujuan umrah.

Jika lebih selesa dan berdisiplin, masukkan simpanan terus ke dalam akaun Tabung Haji kerana sifatnya yang sukar dikeluarkan tanpa sebab kukuh, sekaligus melatih istiqamah dan kesabaran.

Langkah 2: Pecahkan Sasaran Besar Kepada Jumlah Kecil

Ramai rasa umrah mahal kerana melihat jumlah besar sekaligus. Untuk mengelakkan rasa terbeban, pecahkan sasaran simpanan kepada tempoh masa yang realistik, sama ada 12 bulan atau 24 bulan.

Contohnya, jika kos umrah sekitar RM8,000, bahagikan jumlah itu kepada simpanan bulanan atau harian. Apabila sasaran menjadi kecil, ia lebih mudah dicapai dan tidak menakutkan.

Tetapkan juga bila anda mahu pergi umrah supaya simpanan mempunyai arah dan tujuan yang jelas, bukan sekadar angan-angan.

Langkah 3: Audit Kewangan Dengan Jujur

Cara menabung untuk umrah yang seterusnya adalah lakukan audit kewangan secara jujur. Semak semula ke mana wang dibelanjakan setiap bulan.

Lihat perbelanjaan yang sebenarnya bukan keperluan, seperti kopi mahal, barangan trend atau pembelian impulsif.

Bukan bermaksud perlu berhenti menikmati hidup, tetapi pilih untuk mengalihkan sebahagian perbelanjaan itu kepada tabung umrah.

Sedikit pengorbanan hari ini boleh membuka pintu besar menuju Baitullah pada masa hadapan.

Langkah 4: Niatkan Pendapatan Sampingan Untuk Umrah

Jika mempunyai kemahiran atau bakat, niatkan ia sebagai jalan untuk mengumpul dana umrah.

Sama ada memasak, menulis, menjual produk, menghasilkan kandungan atau mengambil kerja sambilan, usaha kecil itu apabila diniatkan kerana Allah akan diberi nilai ibadah. Rasulullah bersabda:

إِنَّ اللَّهَ طَيِّبٌ لَا يَقْبَلُ إِلَّا طَيِّبًا
“Sesungguhnya Allah itu Maha Baik dan Dia tidak menerima melainkan yang baik.” (Hadis Riwayat Muslim)

Apabila usaha itu diniatkan kerana Allah, ia bukan sekadar pendapatan, tetapi menjadi amalan yang diberkati.

Ramai yang merasakan simpanan menjadi lebih cepat cukup apabila pendapatan itu mempunyai niat ibadah yang jelas.

Langkah 5: Hidupkan Sedekah Subuh Dengan Doa Spesifik

Cara menabung untuk umrah yang sering menjadi kunci keberkatan ialah sedekah subuh. Asingkan sedikit wang setiap pagi, walaupun kecil, dan sedekahkan dengan hati yang ikhlas.

Sertakan doa yang spesifik, seperti memohon agar Allah mempermudahkan jalan untuk menjadi tetamu-Nya. Jangan berkira dengan Allah, kerana setiap sedekah yang ikhlas tidak pernah sia-sia.

Amalan ini bukan sahaja membuka pintu rezeki, tetapi juga melembutkan hati dan menguatkan keyakinan bahawa jemputan Allah itu nyata.

ARTIKEL BERKAITAN: Sedekah Pada Waktu Subuh Pembuka Rezeki, Keberkatan & Ketenangan Hati Dalam Kehidupan

Menabung untuk umrah bukti cinta kepada Allah

Hakikatnya, cara menabung untuk umrah bukan sekadar tentang wang. Ia adalah perjalanan jiwa, latihan sabar, dan bukti cinta kepada Allah. Apabila seseorang benar-benar ingin bertamu ke rumah-Nya, Allah SWT berjanji:

وَمَن يَتَّقِ اللَّهَ يَجْعَل لَّهُ مَخْرَجًا وَيَرْزُقْهُ مِنْ حَيْثُ لَا يَحْتَسِبُ
“Barang siapa bertakwa kepada Allah, nescaya Dia akan memberikan jalan keluar dan rezeki dari arah yang tidak disangka-sangka.” (Surah at-Talaq: 2–3)

Semoga setiap niat yang tersimpan di dalam hati untuk menjadi tetamu Allah dipermudahkan jalannya. Kerana apabila Allah sudah menjemput, tiada siapa mampu menghalangnya.

Sumber: Haramain Guide

ARTIKEL BERKAITAN: Tahun 2026–2035 Tempoh Terbaik Untuk Umrah Ramadan, Cuaca Sejuk & Puasa Pendek

Ikuti kami, Waktu Solat Malaysia di semua platform untuk dapatkan lebih banyak info bermanfaat:

Facebook: https://www.facebook.com/waktusolatmsia

Instagram: https://www.instagram.com/waktusolatmy

X: https://x.com/WaktuSolatMsia

WhatsApp Channel: https://whatsapp.com/channel/0029Va9S1HR6xCSNywYivK28

Telegram: https://t.me/waktusolat_my

TikTok: https://www.tiktok.com/@waktusolatmy

Threads: https://www.threads.com/@waktusolatmy

Sebagai penambahbaikan, kami ingin mendengar maklum balas anda tentang portal, artikel dan topik di Waktu Solat Malaysia. Sila luangkan sedikit masa untuk mengisi borang maklum balas di sini: https://forms.gle/cKnytmoA25T33hth9. Terima kasih atas sokongan anda!