Pilih kasih dalam kalangan anak sering dianggap perkara kecil. Ada yang menganggapnya sekadar gurauan, kebiasaan atau bentuk kasih sayang yang tidak sengaja.

Namun hakikatnya, di sisi Islam, isu pilih kasih dalam kalangan anak bukan sekadar soal emosi, tetapi ia adalah persoalan keadilan, amanah dan tanggungjawab yang besar di hadapan Allah SWT.

Ramai anak membesar dengan luka yang tidak kelihatan, bukan kerana dipukul, tetapi kerana terasa tidak disukai, tidak dihargai, dan sering dibanding-bandingkan.

Anak-anak adalah anugerah, hadiah dan rezeki daripada Allah SWT. Mereka bukan sekadar amanah, tetapi juga ujian kepada ibu bapa. Allah SWT berfirman:

إِنَّمَا أَمْوَالُكُمْ وَأَوْلَادُكُمْ فِتْنَةٌ

Maksudnya: “Sesungguhnya harta benda kamu dan anak-anak kamu itu hanyalah sebagai ujian.”
(Surah al-Anfal: 28)

Semua manusia sama di sisi Allah

Dalam Islam, semua manusia adalah sama di sisi Allah. Yang membezakan hanyalah ketakwaan, bukan jantina, rupa paras, kepandaian atau siapa yang lebih “mudah dijaga”.

Maka prinsip ini juga terpakai dalam rumah tangga. Pilih kasih dalam kalangan anak adalah perbuatan yang bertentangan dengan nilai keadilan yang dituntut oleh agama.

Hal ini ditegaskan dengan jelas melalui kisah Nu’man bin Basyir RA.

Beliau menceritakan bahawa ayahnya pernah memberikan hadiah kepadanya sahaja, lalu ibunya meminta agar Rasulullah SAW dijadikan saksi. Apabila perkara itu dibawa kepada Baginda, Rasulullah SAW bertanya:

أَعْطَيْتَ سَائِرَ وَلَدِكَ مِثْلَ هَذَا؟
“Adakah kamu memberikan hadiah yang sama kepada semua anakmu?”

Apabila ayahnya menjawab tidak, Baginda bersabda:

فَاتَّقُوا اللَّهَ وَاعْدِلُوا بَيْنَ أَوْلَادِكُمْ

Maksudnya: “Bertakwalah kamu kepada Allah dan berlaku adillah antara anak-anak kamu.” (Riwayat al-Bukhari)

Hadis ini bukan sekadar tentang hadiah, tetapi tentang prinsip hidup.

Rasulullah SAW sangat menekankan bahawa pilih kasih dalam kalangan anak boleh membawa kepada ketidakadilan yang melukakan hati dan merosakkan hubungan kekeluargaan.

Dalam satu riwayat lain, Baginda SAW bahkan enggan menjadi saksi kepada pemberian yang tidak adil. Baginda bersabda:

أَيَسُرُّكَ أَنْ يَكُونُوا إِلَيْكَ فِي الْبِرِّ سَوَاءً؟
“Adakah kamu suka jika semua anak-anakmu berbuat baik kepadamu dengan sama?”

Apabila si bapa menjawab ya, Baginda bersabda:

فَلَا إِذًا
“Maka janganlah kamu berbuat demikian.” (Riwayat Muslim)

Ini menunjukkan bahawa pilih kasih dengan anak bukan sahaja menzalimi perasaan, tetapi akan mengundang kesan jangka panjang.

Anak yang sering terasa dianaktirikan akan membesar dengan perasaan rendah diri, cemburu, memberontak, atau memendam rasa.

Hubungan adik-beradik pula mudah retak kerana perasaan iri dan salah faham yang tidak pernah diselesaikan.

Elak pilih kasih, berlaku adil dengan anak-anak

Namun keadilan dalam Islam bukanlah bermaksud semua perkara mesti sama secara mutlak. Islam mengajar bahawa adil itu bermaksud meletakkan sesuatu pada tempatnya.

Keperluan anak kecil tidak sama dengan anak dewasa. Keperluan anak lelaki tidak sama dengan anak perempuan. Tetapi keadilan tetap wajib dijaga dari sudut niat, kasih sayang, layanan dan perhatian.

Masalahnya, pilih kasih dalam kalangan anak sering berlaku bukan melalui hadiah semata-mata, tetapi melalui emosi.

Nada suara yang berbeza, pujian yang hanya diberikan kepada seorang anak, pelukan yang lebih kerap untuk yang satu, dan kritikan yang sentiasa ditujukan kepada yang lain. Semua ini meninggalkan kesan mendalam.

Rasulullah SAW sendiri menegur perkara ini. Dalam satu hadis, seorang lelaki datang kepada Baginda dan mencium anak lelakinya serta meletakkannya di pangkuan.

Apabila anak perempuannya datang, dia hanya meletakkannya di sisi. Rasulullah SAW bersabda:

فَمَا عَدَلْتَ بَيْنَهُمَا

Maksudnya: “Mengapa kamu tidak berlaku adil antara kedua-duanya?” (Riwayat al-Baihaqi)

Hadis ini menunjukkan bahawa kasih sayang juga perlu dizahirkan secara adil.

Anak-anak tidak hanya memerlukan makanan dan pakaian, tetapi juga rasa disayangi. Pilih kasih dalam kalangan anak sering berlaku tanpa disedari, namun kesannya boleh berpanjangan hingga dewasa.

Jadi beban emosi

Ramai anak yang membesar dengan soalan dalam hati: “Kenapa aku tidak pernah cukup?” “Kenapa aku selalu salah?” “Kenapa abang sentiasa betul?”

Luka-luka ini menjadi beban emosi yang mereka bawa sehingga dewasa, mempengaruhi cara mereka melihat diri sendiri, pasangan dan kehidupan.

Islam mahu rumah menjadi tempat yang paling selamat untuk jiwa. Rumah bukan sekadar tempat tinggal, tetapi tempat di mana hati merasa diterima.

Oleh sebab itu, ibu bapa perlu sangat berhati-hati agar tidak melakukan pilih kasih dalam kalangan anak, walaupun secara tidak sengaja.

Para ulama seperti Imam al-Nawawi menjelaskan bahawa tidak berlaku adil dalam pemberian adalah makruh, walaupun sah dari sudut hukum.

Ini menunjukkan bahawa agama tidak sekadar melihat halal dan haram, tetapi juga kesan terhadap jiwa manusia.

Kesimpulannya, pilih kasih dalam kalangan anak bukan isu kecil. Ia boleh merosakkan ikatan kekeluargaan, melahirkan generasi yang terluka, dan membuka pintu permusuhan sesama adik-beradik.

Ibu bapa perlu sedar bahawa setiap anak adalah amanah. Mereka mungkin berbeza perangai, pencapaian dan cara berfikir, tetapi hak mereka untuk disayangi adalah sama.

Pada akhirnya, kita bukan hanya akan ditanya tentang solat dan puasa, tetapi juga tentang bagaimana kita melayan insan yang paling dekat dengan kita.

Anak-anak mungkin tidak mampu meluahkan luka mereka, tetapi Allah Maha Mengetahui setiap air mata yang tidak tumpah.

Sumber: Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan

ARTIKEL BERKAITAN: Panduan Beri Nama Anak: Elak Nama Haram & Makruh Menurut Islam, Jaga Akidah Sejak Lahir

Ikuti kami, Waktu Solat Malaysia di semua platform untuk dapatkan lebih banyak info bermanfaat:

Facebook: https://www.facebook.com/waktusolatmsia

Instagram: https://www.instagram.com/waktusolatmy

X: https://x.com/WaktuSolatMsia

WhatsApp Channel: https://whatsapp.com/channel/0029Va9S1HR6xCSNywYivK28

Telegram: https://t.me/waktusolat_my

TikTok: https://www.tiktok.com/@waktusolatmy

Threads: https://www.threads.com/@waktusolatmy

Sebagai penambahbaikan, kami ingin mendengar maklum balas anda tentang portal, artikel dan topik di Waktu Solat Malaysia. Sila luangkan sedikit masa untuk mengisi borang maklum balas di sini: https://forms.gle/cKnytmoA25T33hth9. Terima kasih atas sokongan anda!