Enabler dosa mungkin bunyinya seperti istilah moden yang biasa kita dengar dalam psikologi atau perbincangan sosial.

Namun hakikatnya, perbuatan ini sudah lama wujud dalam kehidupan manusia, malah sejak zaman awal umat terdahulu lagi.

Ia bukan tentang siapa yang melakukan maksiat secara langsung, tetapi siapa yang membuka ruang, memudahkan jalan, dan membiarkan maksiat itu berlaku tanpa rasa bersalah.

Ada orang tidak minum arak, tetapi dialah yang membelikan.

Ada yang tidak berzina, tetapi dialah yang menyediakan tempat, menjadi orang tengah, menutup cerita, dan ‘cover line’.

Ada yang tidak melakukan maksiat, tetapi apabila melihat orang lain melakukannya, dia berkata, “Tak apa lah, biasa je… semua orang buat.”

Pada saat itu, dosa sedang berjalan, dan enabler dosa sedang memegang pintunya.

Islam memandang perkara ini dengan sangat serius.

Kerana dalam Islam, dosa bukan sekadar pada tangan yang melakukan, tetapi juga pada hati yang merelakan dan mulut yang membenarkan.

Allah SWT berfirman:

وَلَا تَعَاوَنُوا عَلَى الْإِثْمِ وَالْعُدْوَانِ
“Dan janganlah kamu saling bantu-membantu dalam perkara dosa dan permusuhan.” (Surah al-Ma’idah: 2)

Ayat ini jelas menunjukkan bahawa membantu, memudahkan, atau menyokong perbuatan dosa termasuk dalam larangan Allah SWT.

Ketegasan Rasulullah SAW

Rasulullah SAW adalah contoh terbaik dalam menolak budaya menjadi enabler dosa walaupun melibatkan orang yang paling Baginda sayangi.

Baginda SAW bersabda:

“Sesungguhnya yang membinasakan umat sebelum kamu ialah apabila orang mulia mencuri, mereka membiarkannya. Tetapi apabila orang lemah mencuri, mereka melaksanakan hukuman ke atasnya. Demi Allah, sekiranya Fatimah binti Muhammad mencuri, pasti aku sendiri akan memotong tangannya.” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Hadis ini bukan sekadar kisah tentang keadilan hukum, tetapi tentang sikap tidak memilih bulu dalam membetulkan kesalahan.

Rasulullah SAW tidak pernah menjadi enabler dosa, walaupun jika kesalahan itu datang daripada anak kesayangan Baginda sendiri.

Ini kerana dalam Islam, menyayangi seseorang bukan dengan membiarkan dia terus dalam kesalahan, tetapi dengan menghalangnya daripada terjatuh lebih jauh.

Diam yang tidak neutral

Ramai menyangka bahawa berdiam diri adalah sikap selamat. Tidak menyokong, tetapi juga tidak menegur.

Namun dalam banyak keadaan, diam itu sebenarnya bukan neutral. Diam boleh menjadi sokongan tidak langsung.

Apabila kita melihat maksiat berlaku dan memilih untuk tidak berkata apa-apa kerana takut orang terasa, takut hilang kawan, atau takut dipandang ‘terlalu alim’, pada saat itu kita sedang menghampiri sifat enabler dosa.

Rasulullah SAW bersabda:

“Barangsiapa di antara kamu melihat kemungkaran, maka hendaklah dia mengubah dengan tangannya. Jika tidak mampu, maka dengan lisannya. Jika tidak mampu, maka dengan hatinya, dan itu adalah selemah-lemah iman.” (Riwayat Muslim)

Hadis ini menunjukkan bahawa membiarkan kemungkaran tanpa sebarang reaksi adalah tanda lemahnya iman.

Enabler dosa atas nama kawan dan kasihan

Dosa jarang datang dengan wajah yang kasar. Ia datang dengan alasan yang lembut.

Atas nama kawan, atas nama kasihan, atas nama tidak mahu menghukum.

Kita berkata, “Aku faham situasi kau.”
“Tak apa, aku tolong kali ni je.”
“Janji hati kau baik.”

Tanpa sedar, kita bukan lagi sekadar pemerhati, tetapi sudah menjadi sebahagian daripada rantaian dosa itu sendiri.

Mula-mula tolong sedikit, lama-lama kita pula yang terperangkap sama.

Sebab itu Allah mengingatkan agar kita tidak membantu dalam perkara dosa, walaupun niat kita kelihatan baik.

Menegur tanda sayang, bukan tanda benci

Dalam Islam, menegur bukan bermaksud menghukum. Menegur adalah tanda sayang yang sebenar.

Orang yang benar-benar menyayangi kita ialah orang yang berani menahan kita sebelum kita jatuh lebih jauh.

Kita sering salah faham erti kasih sayang. Kita sangka jika kita menegur, orang akan terasa.

Jika kita melarang, kita akan hilang kawan. Tetapi hakikatnya, sahabat yang baik ialah sahabat yang berani berkata:

“Aku tak boleh sokong benda ni.”
“Aku sayang kau, sebab tu aku tak boleh bantu kau buat dosa.”

Itulah lawan sebenar kepada sikap enabler dosa.

Prinsip seorang Mukmin

Seorang Mukmin bukan penghukum, tetapi seorang yang berprinsip.

Dia tidak menghalalkan yang haram hanya kerana hubungan persahabatan.

Dia tidak menutup mata hanya kerana rasa tidak sampai hati.

Kerana dia sedar, Allah Maha Pengampun, tetapi Allah juga Maha Adil.

Apabila kita berdiri di hadapan Allah nanti, persahabatan bukan lagi alasan.

Setiap orang akan bertanggungjawab atas peranannya, termasuk peranan sebagai enabler dosa.

Bayangkan suatu hari di akhirat, kita bertemu semula dengan sahabat kita. Alangkah indahnya jika dia berkata:

“Terima kasih, kau pernah tahan aku daripada buat dosa.”

Itulah makna sayang yang sebenar. Bukan menjadi enabler dosa, tetapi menjadi penyelamat kepada sahabat sendiri.

Moga Allah jadikan kita sahabat yang berprinsip, yang berani berkata benar, dan yang tidak membuka pintu maksiat untuk orang lain.

Sumber: Bahagian Dakwah, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM)

BACA JUGA: Mengaku Dosa & Buka Aib Sendiri – “Keluar Dengan Bos Tempat Kerja Lama” Undang Murka Allah

BACA JUGA: Dosa Cuma Boleh Terhapus Dengan 3 Cara Ini, Jika Tidak Neraka Jadi Penyuci

BACA JUGA: 5 Dosa Yang Terlalu Lama Dinormalisasikan, Sedangkan Jiwa Kita Perlu Kembali Kepada Allah

Ikuti kami, Waktu Solat Malaysia di semua platform untuk dapatkan lebih banyak info bermanfaat:

Facebook: https://www.facebook.com/waktusolatmsia

Instagram: https://www.instagram.com/waktusolatmy

X: https://x.com/WaktuSolatMsia

WhatsApp Channel: https://whatsapp.com/channel/0029Va9S1HR6xCSNywYivK28

Telegram: https://t.me/waktusolat_my

TikTok: https://www.tiktok.com/@waktusolatmy

Threads: https://www.threads.com/@waktusolatmy

Sebagai penambahbaikan, kami ingin mendengar maklum balas anda tentang portal, artikel dan topik di Waktu Solat Malaysia. Sila luangkan sedikit masa untuk mengisi borang maklum balas di sini: https://forms.gle/cKnytmoA25T33hth9. Terima kasih atas sokongan anda!