Ada satu persoalan yang sering timbul dalam kalangan mereka yang sedang mencari kebenaran: perlu ke belajar solat, belajar agama, masuk kelas dahulu sebelum masuk Islam?
Soalan ini nampak kecil, tetapi hakikatnya sangat besar.
Kerana ramai yang menangguhkan hasrat memeluk Islam hanya kerana merasakan diri belum bersedia, belum cukup ilmu, belum pandai solat, belum hafal apa-apa.
Sedangkan dalam Islam, pintu masuk Islam itu sangat mudah.
Tidak berlapis syarat. Tidak memerlukan ujian. Tidak perlu tunggu mahir.
Cukup dengan dua kalimah syahadah.
Dua Kalimah Syahadah
Rasulullah ﷺ tidak pernah meletakkan syarat tambahan untuk seseorang memeluk Islam selain melafazkan syahadah.
Sabda Baginda ﷺ:
أُمِرْتُ أَنْ أُقَاتِلَ النَّاسَ حَتَّى يَشْهَدُوا أَنْ لَا إِلَهَ إِلَّا اللَّهُ وَأَنَّ مُحَمَّدًا رَسُولُ اللَّهِ
“Aku diperintahkan untuk memerangi manusia sehingga mereka bersaksi bahawa tiada Tuhan melainkan Allah dan Muhammad itu Rasulullah.” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Para ulama menjelaskan, sesiapa yang melafazkan syahadah, maka dia telah sah memeluk Islam dan terlaksana ke atasnya hukum-hakam seorang Muslim.
Dr. Yusuf al-Qaradhawi menjelaskan bahawa Nabi ﷺ menerima keislaman seseorang hanya dengan syahadah, tanpa menunggu dia solat, puasa atau menunaikan kewajipan lain terlebih dahulu.
Kerana yang dinilai ialah pengakuan zahir. Urusan hati diserahkan kepada Allah.
Istilah ‘Revert’ Lebih Tepat Dari ‘Convert’
Dalam perbincangan tentang masuk Islam, ada satu istilah yang sering digunakan iaitu “convert”.
Namun dari sudut kefahaman Islam, istilah yang lebih tepat ialah “revert” iaitu kembali.
Ini berdasarkan sabda Nabi ﷺ:
كُلُّ مَوْلُودٍ يُولَدُ عَلَى الْفِطْرَةِ
“Setiap bayi dilahirkan di atas fitrah.” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Fitrah itu ialah Islam. Maka apabila seseorang masuk Islam, hakikatnya dia kembali kepada agama asalnya, bukan menukar kepada sesuatu yang baharu.
Kisah Sahabat Yang Masuk Islam Tanpa Sempat Solat
Sejarah membuktikan betapa mudahnya syarat masuk Islam.
Kisah ‘Amr bin Tsabit RA, yang memeluk Islam ketika Perang Uhud.
Beliau terus berperang bersama Rasulullah ﷺ dan syahid tanpa sempat menunaikan walau satu solat.
Rasulullah ﷺ bersabda tentang beliau:
إِنَّهُ لَمِنْ أَهْلِ الْجَنَّةِ
“Sesungguhnya dia termasuk penghuni syurga.” (Riwayat Abu Daud)
Abu Hurairah RA berkata:
فمات فدخل الجنة وما صلى لله صلاة
“Dia meninggal dunia dan masuk syurga, sedangkan dia tidak pernah solat walau sekali.”
Begitu juga kisah Yasar al-Habshi dalam Perang Khaibar. Baru sahaja memeluk Islam, terus syahid tanpa sempat sujud kepada Allah.
Namun Rasulullah ﷺ menyebut bahawa beliau dikurniakan bidadari syurga.
Kerana yang paling utama ialah mati dalam keadaan beriman.
Masuk Islam Dahulu, Belajar Kemudian Secara Hikmah
Inilah manhaj dakwah Rasulullah ﷺ. Dahulukan masuk Islam, kemudian dididik perlahan-lahan.
Allah berfirman:
لَا يُكَلِّفُ اللَّهُ نَفْسًا إِلَّا وُسْعَهَا
“Allah tidak membebani seseorang melainkan sesuai dengan kemampuannya.” (Surah al-Baqarah: 286)
Islam tidak pernah membebankan orang yang baru masuk Islam dengan segala hukum sekaligus.
Semuanya datang secara berperingkat.
Jangan Tangguh Niat Kerana Rasa Belum Bersedia
Ramai yang berkata, “Tunggu saya pandai solat dulu, baru nak masuk Islam.”
Hakikatnya, syaitan suka ayat ini. Kerana ia menangguhkan hidayah.
Sedangkan jika ajal datang sebelum sempat masuk Islam, penangguhan itu menjadi penyesalan yang tiada penghujung.
Rasulullah ﷺ menerima sesiapa sahaja yang datang untuk masuk Islam, tanpa soal latar belakang, tanpa syarat tambahan.
Masuk Islam Adalah Permulaan, Bukan Penamat
Apabila seseorang masuk Islam, itu bukan bermakna dia sudah sempurna. Itu baru permulaan perjalanan.
Seperti bayi yang baru lahir, dia belajar sedikit demi sedikit.
Dan Allah sangat menyukai hamba yang datang kepada-Nya walaupun dengan langkah kecil.
Islam adalah agama yang memudahkan. Pintu masuk Islam tidak pernah ditutup dengan syarat yang menyulitkan.
Cukup dengan keyakinan dan dua kalimah syahadah.
Selebihnya, Allah akan memimpin langkah demi langkah.
Kerana yang Allah nilai bukan sebanyak mana amalan di awalnya, tetapi hati yang kembali kepada-Nya.
Sumber: Karya PiS
BACA JUGA: YouTuber & Pempengaruh Korea Selatan Masuk Islam, Impi Bina Masjid & Mahu Azan Bergema Di Korea
Ikuti kami, Waktu Solat Malaysia di semua platform untuk dapatkan lebih banyak info bermanfaat:
Facebook: https://www.facebook.com/waktusolatmsia
Instagram: https://www.instagram.com/waktusolatmy
X: https://x.com/WaktuSolatMsia
WhatsApp Channel: https://whatsapp.com/channel/0029Va9S1HR6xCSNywYivK28
Telegram: https://t.me/waktusolat_my
TikTok: https://www.tiktok.com/@waktusolatmy
Threads: https://www.threads.com/@waktusolatmy
Sebagai penambahbaikan, kami ingin mendengar maklum balas anda tentang portal, artikel dan topik di Waktu Solat Malaysia. Sila luangkan sedikit masa untuk mengisi borang maklum balas di sini: https://forms.gle/cKnytmoA25T33hth9. Terima kasih atas sokongan anda!