Pernahkah anda merasakan seolah-olah pintu langit tertutup rapat saat anda menadah tangan dalam tangisan?

Kita sering bertanya, di manakah silapnya sehingga doa tidak diterima sedangkan kita sudah merayu siang dan malam.

Hakikatnya, komunikasi antara hamba dan Pencipta bukan sekadar tentang sebutan lidah, tetapi tentang kesucian jiwa dan kepatuhan adab.

Memahami mengapa doa tidak diterima adalah langkah pertama untuk kita kembali memperbaiki hubungan dengan Allah SWT yang Maha Mendengar lagi Maha Mengabulkan.

1. Hidup Dalam Gelumang Rezeki Dan Makanan Haram

Antara faktor paling besar yang menyebabkan doa tidak diterima adalah sumber makanan dan barangan yang haram.

Sayidina Abu Hurairah r.a. meriwayatkan sebuah hadis tentang seorang lelaki yang bermusafir jauh sehingga rambutnya kusut masai:

ثُمَّ ذَكَرَ الرَّجُلَ يُطِيلُ السَّفَرَ أَشْعَثَ أَغْبَرَ يَمُدُّ يَدَيْهِ إِلَى السَّمَاءِ يَا رَبِّ يَا رَبِّ وَمَطْعَمُهُ حَرَامٌ وَمَشْرَبُهُ حَرَامٌ وَمَلْبَسُهُ حَرَامٌ وَغُذِىَ بِالْحَرَامِ فَأَنَّى يُسْتَجَابُ لِذَلِكَ

“…Kemudian Nabi saw menceritakan tentang seorang lelaki yang telah menempuh perjalanan jauh (musafir), sehingga rambutnya kusut, masai dan berdebu. Orang itu mengangkat tangannya ke langit seraya berdoa: “Wahai Tuhanku, wahai Tuhanku.” Padahal, makanannya dari barang yang haram, minumannya dari yang haram, pakaiannya dari yang haram dan diberi makan dari yang haram, maka bagaimanakah Allah akan memperkenankan doanya?” (HR Muslim)

Imam Wahab bin Munabbih rahimahullah juga pernah berpesan dengan penuh hikmah:

“Siapa yang ingin doanya dimakbulkan oleh Allah SWT, maka perbaikilah makanannya.”

Tanpa keberkatan dalam apa yang masuk ke dalam tubuh, hijab antara kita dan Tuhan akan menjadi terlalu tebal untuk ditembusi.

2. Meminta Keburukan Dan Memutuskan Silaturahim

Menurut Ustaz Shamsuri Haji Ahmad, Allah SWT tidak akan melayan permintaan hamba yang berunsurkan dosa.

doa tidak diterima
Ustaz Haji Shamsuri Haji Ahmad

Beliau menegaskan bahawa doa tidak diterima jika kandungannya meminta kematian seseorang kerana benci atau bertujuan memutuskan hubungan silaturahim atau kekeluargaan.

Nabi SAW bersabda:

لاَ يَزَالُ يُسْتَجَابُ لِلْعَبْدِ مَا لَمْ يَدْعُ بِإِثْمٍ أَوْ قَطِيعَةِ رَحِمٍ

“Doa seseorang sentiasa akan dimakbulkan selama dia tidak berdoa untuk perbuatan dosa atau pun untuk memutuskan tali silaturahim.” (HR Muslim)

Hubungan silaturahim adalah suci kerana ia lahir dari rahim yang sama.

Menafikan hubungan darah bermakna kita menafikan rahmat Allah, sekaligus menjadi punca utama doa tidak diterima.

3. Sikap Tergesa-Gesa Punca Doa Tidak Diterima

Ramai antara kita menjadi mangsa kepada sifat isti’jal atau terburu-buru.

Ustaz Shamsuri Haji Ahmad menjelaskan bahawa sikap ini berlaku apabila seseorang merasa penat berdoa lalu berkata, “Aku dah doa lama, tapi Allah tak bagi pun.”

Apabila timbul rasa putus asa dan berhenti berdoa (yada’ud dua), pada saat itulah individu tersebut kehilangan keyakinan kepada Allah.

Nabi saw bersabda:

لاَ يَزَالُ يُسْتَجَابُ لِلْعَبْدِ مَا لَمْ يَدْعُ بِإِثْمٍ أَوْ قَطِيعَةِ رَحِمٍ مَا لَمْ يَسْتَعْجِلْ ». قِيلَ يَا رَسُولَ اللَّهِ مَا الاِسْتِعْجَالُ قَالَ: يَقُولُ قَدْ دَعَوْتُ وَقَدْ دَعَوْتُ فَلَمْ أَرَ يَسْتَجِيبُ لِى فَيَسْتَحْسِرُ عِنْدَ ذَلِكَ وَيَدَعُ الدُّعَاءَ

“Doa seseorang sentiasa akan dimakbulkan selama dia tidak berdoa untuk perbuatan dosa atau pun untuk memutuskan tali silaturahim dan tidak terburu-buru. Seorang sahabat bertanya: “Ya Rasulullah, apakah yang dimaksudkan dengan terburu-buru?” Rasulullah saw menjawab: “Yang dimaksudkan dengan terburu-buru adalah apabila orang yang berdoa itu mengatakan: Aku telah berdoa dan terus berdoa, tetapi belum juga dikabulkan. Setelah itu, ia berasa putus asa dan tidak pernah berdoa lagi” (HR Muslim)

Rasulullah SAW mengingatkan bahawa Allah SWT sentiasa memakbulkan doa selagi mana hamba-Nya tidak mengeluh bahawa Allah tidak mengabulkan doanya meskipun sudah lama diminta, lalu dia berhenti berdoa.

Inilah punca doa tidak diterima yang sering kita terlepas pandang.

4. Hati Yang Mati Dan Jauh Dari Pencipta

Pernah diceritakan oleh Ibrahim Bin Adham Rahimahullah ketika ditanya oleh penduduk Basrah tentang doa mereka yang tidak makbul.

Beliau menjawab dengan tegas bahawa doa tidak diterima kerana hati manusia itu sendiri telah buta (mati).

Hati yang mati adalah hati yang mengenal Allah tetapi tidak menunaikan hak-Nya, membaca al-Quran tetapi tidak mengamalkannya, dan mengaku cinta Rasul tetapi meninggalkan sunnahnya.

Apabila hati gelap, getaran doa tidak akan sampai ke “Arasy.

Sabda Rasulullah SAW:

وَاعْلَمُوا أَنَّ اللَّهَ لاَ يَسْتَجِيبُ دُعَاءً مِنْ قَلْبٍ غَافِلٍ لاَهٍ

Dan ketahuilah bahawa Allah swt tidak akan memustajabkan doa yang datang daripada hati yang lalai lagi alpa” (HR at-Tirmizi)

5. Kurang Yakin Dan Hanya Berdoa Waktu Susah

Punca kelima doa tidak diterima adalah kurangnya keyakinan (iman) semasa meminta.

Daripada Sayidina Abu Hurairah r.a, Rasulullah SAW memerintahkan:

ادْعُوا اللَّهَ وَأَنْتُمْ مُوقِنُونَ بِالإِجَابَةِ

“Berdoalah kepada Allah dalam keadaan kamu yakin bahawa ianya akan dimustajabkan.” (HR at-Tirmizi)

Selain itu, ramai yang hanya “mengetuk” pintu langit saat ditimpa musibah.

Rasulullah SAW juga bersabda bahawa sesiapa yang mahu doanya diterima ketika waktu sukar, dia mestilah banyak berdoa ketika waktu senang:

مَنْ سَرَّهُ أَنْ يَسْتَجِيبَ اللَّهُ لَهُ عِنْدَ الشَّدَائِدِ وَالْكُرَبِ، فَلْيُكْثِرِ الدُّعَاءَ فِي الرَّخَاءِ

“Siapa yang suka Allah terima doanya ketika kesukaran dan kepayahan, maka hendaklah dia membanyakkan doa pada masa kemewahan dan kesenangan” (HR at-Tirmizi dan Abu Ya’la)

Kegagalan mengingati Allah saat mewah menyebabkan doa tidak diterima saat kita benar-benar memerlukan-Nya di waktu sempit.

Hikmah Di Sebalik Kelewatan Makbulnya Doa

Walaupun kita merasa doa tidak diterima, kita harus sentiasa bersangka baik.

Kadangkala Allah menangguhkan jawapan kerana Dia mahu mendengar rintihan kita lebih lama, atau Dia menggantikan permintaan kita dengan sesuatu yang jauh lebih baik di akhirat kelak.

Jangan sesekali berhenti berharap, kerana orang yang berhenti berdoa adalah orang yang paling rugi.

Wallahu a’lam.

Sumber: Ustaz Haji Shamsuri Haji Ahmad, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia

BACA JUGA: ‘Ma Robbuka’ Bukan Bermaksud ‘Buka’, Amin Idris Kongsi Doa Murah Rezeki Yang Sahih Menurut Sunnah

BACA JUGA: Tertekan, Emosi & Diuji Tanpa Henti? Amalkan Doa Nabi Ayyub, Rahmat Allah Lebih Besar Daripada Penderitaan

Ikuti kami, Waktu Solat Malaysia di semua platform untuk dapatkan lebih banyak info bermanfaat:

Facebook: https://www.facebook.com/waktusolatmsia

Instagram: https://www.instagram.com/waktusolatmy

X: https://x.com/WaktuSolatMsia

WhatsApp Channel: https://whatsapp.com/channel/0029Va9S1HR6xCSNywYivK28

Telegram: https://t.me/waktusolat_my

TikTok: https://www.tiktok.com/@waktusolatmy

Threads: https://www.threads.com/@waktusolatmy

YouTube: https://www.youtube.com/channel/UCNBD0UlKUCbUHm-VmXWozEw

Muat turun aplikasi Waktu Solat Malaysia melalui App Store atau Play Store hari ini.

Waktu Solat Malaysia memperkenalkan Kotak Luahan, ruang selamat dan ‘anonymous’ untuk anda berkongsi pertanyaan, keresahan, pengetahuan atau pandangan berkaitan agama dan kehidupan.

Luahkan di: https://www.waktusolat.digital/kotak-luahan/

Kerana kadang-kadang, meluah itu membuat hati rasa lega!

Sekiranya anda ada maklum balas anda tentang portal, artikel dan topik di Waktu Solat Malaysia, hantar ke: https://forms.gle/cKnytmoA25T33hth9