Setiap kali tangisan bayi pertama kali kedengaran memecah sunyi di kamar bersalin, detik itulah bermulanya sebuah kurniaan paling agung daripada Allah SWT buat sang ibu dan ayah.
Anak adalah amanah suci, lambang cinta yang diredai, dan fitrah yang bersih tanpa sebarang noda.
Bagaimanapun, mutakhir ini hati kita disayat pilu apabila melihat trend segelintir masyarakat yang menyambut hari kelahiran permata hati mereka dengan cara yang mengundang murka Ilahi yakni dicemari dengan trend pelik yang memilih tema bunian serta berpakaian menyerupai entiti mistik dan makhluk halus.
Baru-baru ini, tular di media sosial mengenai majlis sambutan hari lahir anak seorang pengasas produk (founder) di Kelantan yang sanggup mengenakan tema bunian dan hantu.
Tetamu yang hadir dilihat berpakaian menyerupai pocong serta bunian sehingga mencetuskan perdebatan hangat dalam kalangan warganet yang prihatin terhadap kesucian akidah Islam.
Kenapa Tema Bunian Digelar Sebagai Kufur Nikmat
Menyuarakan kebimbangan mendalam terhadap fenomena ini, Mufti Kelantan, Datuk Mohamad Shukri Mohamad tampil memberikan teguran yang sangat mendalam dan tegas.

Menurut beliau, tindakan mengadakan majlis dengan konsep tersebut merupakan satu bentuk kufur nikmat.
Hakikat mensyukuri nikmat bermaksud kita meletakkan setiap kurniaan Allah SWT pada tempat yang betul dan selaras dengan kehendak syariat.
Apabila anak yang suci disambut dengan suasana mengagungkan makhluk halus, ia telah tersasar jauh daripada adab seorang hamba.
Beliau menjelaskan bahawa sebagai makhluk yang diciptakan oleh Allah, kita wajib kembali kepada fitrah asal.
Setiap kali menyambut hari lahir anak, ibu bapa seharusnya memperbanyakkan amalan yang diredai agama seperti mengadakan majlis kesyukuran, solat hajat, tahlil, cukur rambut, dan jamuan makan.
Menggantikan keindahan sunnah ini dengan tema bunian atau pemujaan imej hantu adalah satu perbuatan yang tidak disukai oleh agama, sekaligus mencerminkan kegagalan kita dalam menghargai anugerah anak dengan cara yang betul.
Bahaya Unsur Khurafat Dalam Trend Tema Bunian Dan Mistik
Mengulas isu yang sama, Ahli Jawatankuasa Fatwa Negeri Perlis, Dr Rozaimi Ramle mendedahkan bahawa pihak Jawatankuasa Fatwa Perlis sebenarnya pernah mengeluarkan fatwa khusus berkaitan isu ini pada tahun 2023.

Fatwa tersebut menjelaskan status penganjuran program berbentuk alam mistik seperti rumah hantu dan seumpamanya yang kini mula meresap masuk ke dalam acara santai seperti sambutan hari jadi.
Islam tidak menafikan kewujudan alam jin atau syaitan, namun umat Islam dilarang keras daripada berlebih-lebihan dalam menzahirkan rasa takut atau mengagungkan mereka.
Apabila penganjuran majlis hari lahir mengangkat tema bunian, ia secara tidak langsung boleh menyuburkan unsur khurafat dalam kepercayaan, seperti mempercayai roh orang mati berkeliaran atau memberikan kuasa luar biasa kepada makhluk halus melebihi kekuasaan Allah SWT.
Oleh itu, Fatwa Perlis menegaskan bahawa sebarang penganjuran yang menimbulkan unsur khurafat, ketakutan melampau, atau merendahkan maruah diri adalah diharamkan di sisi syarak.
Panduan Islam Menguruskan Majlis Tanpa Tema Yang Merosakkan Akidah
Islam adalah agama yang indah dan tidak pernah menghalang umatnya daripada berhibur atau memilih tema tertentu dalam majlis keluarga.
Menurut Datuk Mohamad Shukri Mohamad, apa-apa tema sekalipun dibenarkan selagi ia tidak bertentangan dengan kehendak agama.
Namun, apabila majlis diisi dengan unsur pemujaan atau menyerupai hantu secara keterlaluan, batasan syariat telah dilanggar, malah Rasulullah SWT telah mengingatkan kita menerusi sabda Baginda mengenai larangan meniru sesuatu kaum atau golongan yang tidak beriman:
مَنْ تَشَبَّهَ بِقَوْمٍ فَهُوَ مِنْهُمْ
Maksudnya: “Sesiapa yang menyerupai sesuatu kaum, maka dia adalah daripada kalangan mereka.” (Hadis Riwayat Abu Daud).
Menerusi hadis ini, jelas bahawa kita dituntut untuk menjaga identiti sebagai Muslim.
Daripada kita sibuk meniru gaya hidup mistik dan memilih tema bunian yang tidak membawa sebarang manfaat, alangkah indahnya jika majlis anak-anak kita dipenuhi dengan doa perlindungan agar mereka membesar sebagai generasi yang soleh dan solehah.
Kembali Kepada Fitrah Syukur Dan Tinggalkan Tema Mengarut
Sebagai ibu bapa, kita memegang watak utama dalam mencorakkan masa depan akidah anak-anak.
Janganlah disebabkan keinginan mengejar tontonan yang tinggi (views) di media sosial atau mahukan publisiti murahan, kita sanggup menggadaikan keberkatan hidup anak kita sendiri.
Firman Allah SWT dalam Surah Ibrahim, ayat 7 mengingatkan kita tentang kesan sekiranya kita gagal bersyukur:
لَئِن شَكَرْتُمْ لَأَزِيدَنَّكُمْ ۖ وَلَئِن كَفَرْتُمْ إِنَّ عَذَابِي لَشَدِيدٌ
Maksudnya: “Demi sesungguhnya! Jika kamu bersyukur nescaya Aku akan tambahi nikmat-Ku kepada kamu, dan demi sesungguhnya, jika kamu kufur ingkar sesungguhnya azab-Ku amatlah keras.”
Melalui ketegasan Mufti Kelantan dan fatwa yang dikongsikan oleh Dr Rozaimi Ramle, ubat kepada segala kekeliruan ini adalah kembali kepada syariat.
Hentikanlah ‘trend’ tema bunian atau sebarang elemen yang mendekatkan diri kita kepada khurafat.
Didiklah jiwa anak-anak kecil kita untuk takut hanya kepada Allah, bukannya mendidik mereka mencintai watak hantu dan bunian sejak kecil.
Moga-moga dengan meninggalkan perkara yang syubhah ini, setiap langkah kehidupan anak-anak kita sentiasa dinaungi rahmat dan reda-Nya di dunia dan di akhirat.
Wallahu a’lam.
Sumber: Sinar Harian, Dr. Rozaimi Ramle, TikTok
BACA JUGA: Tular Pertandingan Tidur Dalam Kubur Paling Lama Di Terengganu, Cabaran Berani Atau Sekadar Gimik?
BACA JUGA: “Meniru Gaya Hidup Ahli Maksiat Juga Maksiat” – Ustaz Wadi Tegur Kewujudan Kelab Malam ‘Halal’
Ikuti kami, Waktu Solat Malaysia di semua platform untuk dapatkan lebih banyak info bermanfaat:
Facebook: https://www.facebook.com/waktusolatmsia
Instagram: https://www.instagram.com/waktusolatmy
X: https://x.com/WaktuSolatMsia
WhatsApp Channel: https://whatsapp.com/channel/0029Va9S1HR6xCSNywYivK28
Telegram: https://t.me/waktusolat_my
TikTok: https://www.tiktok.com/@waktusolatmy
Threads: https://www.threads.com/@waktusolatmy
YouTube: https://www.youtube.com/channel/UCNBD0UlKUCbUHm-VmXWozEw
Muat turun aplikasi Waktu Solat Malaysia melalui App Store atau Play Store hari ini.
Waktu Solat Malaysia memperkenalkan Kotak Luahan, ruang selamat dan ‘anonymous’ untuk anda berkongsi pertanyaan, keresahan, pengetahuan atau pandangan berkaitan agama dan kehidupan.
Luahkan di: https://www.waktusolat.digital/kotak-luahan/
Kerana kadang-kadang, meluah itu membuat hati rasa lega!
Sekiranya anda ada maklum balas anda tentang portal, artikel dan topik di Waktu Solat Malaysia, hantar ke: https://forms.gle/cKnytmoA25T33hth9.