Penyepit makanan atau chopstick menjadi bualan hangat masyarakat sejak tular dakwaan bahawa alat ini pada asalnya dicipta untuk upacara penyembahan Maharaja China.

Ramai umat Islam mula tertanya-tanya, adakah penggunaan penyepit makanan dalam kehidupan seharian membawa unsur tasyabbuh atau penyerupaan dengan agama lain?

Persoalan ini bukan sesuatu yang remeh kerana ia melibatkan soal akidah dan batas antara adat dengan syiar agama.

Justeru, penting bagi kita memahami hukum sebenar penggunaan penyepit makanan berdasarkan dalil dan kaedah fiqh yang muktabar, bukan sekadar mengikut andaian atau dakwaan yang tersebar tanpa bukti kukuh.

Penyepit Makanan: Budaya Atau Syiar Agama?

Sebelum menghukum sesuatu perkara, kita perlu meneliti dahulu asal-usul dan fungsi sebenar perkara tersebut.

Penyepit makanan pada asalnya digunakan sebagai alat makan yang ringkas sebelum berkembang menjadi sebahagian daripada identiti budaya kulinari masyarakat China, Jepun, Korea dan Vietnam.

Malah, hari ini lebih daripada satu perlima penduduk dunia menggunakan penyepit makanan sebagai alat utama untuk menikmati hidangan seharian.

Sekalipun terdapat dakwaan bahawa penyepit makanan pernah digunakan dalam sesetengah upacara ritual pada zaman silam, dakwaan tersebut perlu dibuktikan dengan fakta sejarah yang sahih, bukan sekadar cerita turun-temurun.

Realitinya, penggunaan penyepit makanan pada hari ini telah meluas dalam kalangan pelbagai bangsa di seluruh dunia tanpa dikaitkan dengan mana-mana ritual keagamaan tertentu.

Ia lebih tepat dilihat sebagai hasil evolusi budaya kulinari, bukan simbol ibadat sesuatu agama.

Konsep Tasyabbuh Dalam Islam Berkaitan Penyepit Makanan

Dalam Islam, tasyabbuh (penyerupaan) tidak merangkumi semua perkara yang berasal daripada masyarakat bukan Islam.

Larangan ini hanya tertumpu kepada penyerupaan dalam perkara yang menjadi syiar, identiti atau amalan khusus sesuatu agama.

Rasulullah SAW ada bersabda:

مَنْ تَشَبَّهَ بِقَوْمٍ فَهُوَ مِنْهُمْ

Man tasyabbaha bi qawmin fahuwa minhum

Maksudnya: “Barangsiapa yang menyerupai sesuatu kaum, maka dia adalah daripada kalangan mereka.”

(Riwayat Abu Daud)

Namun begitu, tasyabbuh yang dilarang ialah penyerupaan dalam perkara yang menjadi ciri khusus sesuatu agama seperti aspek pakaian, penampilan dan simbol keagamaan yang jelas.

Ia tidak termasuk urusan adat, budaya atau kebiasaan hidup yang dikongsi secara umum oleh masyarakat sejagat.

Oleh itu, penggunaan penyepit makanan tidak boleh terus dihukum sebagai tasyabbuh semata-mata kerana ia berasal daripada budaya bangsa lain.

Hukum Penggunaan Penyepit Makanan Menurut Fiqh

Tiada sebarang dalil dalam Islam yang melarang penggunaan alat makan tertentu seperti sudu, garpu mahupun penyepit makanan.

Justeru, hukum asal bagi penggunaan pelbagai alat makan adalah harus, bertepatan dengan kaedah fiqh:

الأصل في الأشياء الإباحة حتى يدل الدليل على التحريم

Al-asl fi al-asyya’ al-ibahah hatta yadulla al-dalil ‘ala al-tahrim

Maksudnya: “Asal sesuatu hukum itu adalah diharuskan sehingga terdapat dalil yang menunjukkan pengharamannya.”

Selagi tiada bukti sahih bahawa asal-usul penyepit makanan berkait rapat dengan upacara penyembahan Maharaja China, hukum penggunaannya kekal harus.

Keharusan ini tertakluk kepada syarat penyepit tersebut tidak diperbuat daripada emas atau tulang haiwan yang diharamkan syarak.

Adakah Penyepit Makanan Termasuk Tasyabbuh Yang Dilarang?

Persoalan ini boleh dijawab melalui kaedah fiqh berikut:

الحُكْمُ يَدُورُ مَعَ عِلَّتِهِ وُجُودًا وَعَدَمًا

Al-hukmu yadur ma’a ‘illatihi wujudan wa ‘adaman

Maksudnya: “Sesuatu hukum berlegar bersama-sama ‘illah (sebab) nya ketika ia ada dan tiada.”

Sekiranya tiada unsur akidah, kepercayaan atau kaitan langsung dengan upacara penyembahan Maharaja China pada hari ini, maka tiada lagi ‘illah yang membawa kepada larangan penggunaan penyepit makanan.

Tambahan pula, niat dan tujuan seseorang menggunakan penyepit makanan hanyalah sebagai alat untuk makan, bukan sebagai bentuk amalan atau kepercayaan keagamaan.

Ini selari dengan kaedah fiqh:

الأَمُوْرُ بِمَقَاصِدِهَا

Al-umuru bi maqasidiha

Maksudnya: “Setiap perkara itu dinilai berdasarkan tujuan-tujuannya.”

Berdasarkan huraian di atas, penggunaan penyepit makanan oleh umat Islam adalah diharuskan.

Walaupun terdapat dakwaan mengenai asal-usulnya yang dikaitkan dengan ritual tertentu, realiti semasa menunjukkan penyepit makanan telah menjadi alat makan yang digunakan secara meluas oleh pelbagai bangsa tanpa membawa sebarang makna keagamaan.

Islam membezakan dengan jelas antara adat kebiasaan dengan syiar agama; larangan tasyabbuh hanya terpakai kepada penyerupaan dalam perkara yang menjadi identiti khusus agama lain, bukan terhadap adat sejagat seperti alat makan.

Oleh itu, umat Islam tidak perlu risau atau ragu-ragu untuk menggunakan penyepit makanan dalam urusan makan seharian, selagi ia tidak diperbuat daripada bahan yang diharamkan syarak.

Sumber: Jabatan Mufti WIlayah Persekutuan

BACA JUGA: Wajib Ke Jawab Salam Ketika Makan? Ini Hukum Sebenar Jika Mulut Masih Penuh Dengan Makanan

BACA JUGA: Makan Di Kedai Tiada Halal Diharuskan Selagi Diyakini Tidak Mengandungi Bahan Haram & Ikut Syarak

Ikuti kami, Waktu Solat Malaysia di semua platform untuk dapatkan lebih banyak info bermanfaat:

Facebook: https://www.facebook.com/waktusolatmsia

Instagram: https://www.instagram.com/waktusolatmy

X: https://x.com/WaktuSolatMsia

WhatsApp Channel: https://whatsapp.com/channel/0029Va9S1HR6xCSNywYivK28

Telegram: https://t.me/waktusolat_my

TikTok: https://www.tiktok.com/@waktusolatmy

Threads: https://www.threads.com/@waktusolatmy

YouTube: https://www.youtube.com/channel/UCNBD0UlKUCbUHm-VmXWozEw

Muat turun aplikasi Waktu Solat Malaysia melalui App Store atau Play Store hari ini.

Waktu Solat Malaysia memperkenalkan Kotak Luahan, ruang selamat dan ‘anonymous’ untuk anda berkongsi pertanyaan, keresahan, pengetahuan atau pandangan berkaitan agama dan kehidupan.

Luahkan di: https://www.waktusolat.digital/kotak-luahan/

Kerana kadang-kadang, meluah itu membuat hati rasa lega!

Sekiranya anda ada maklum balas anda tentang portal, artikel dan topik di Waktu Solat Malaysia, hantar ke: https://forms.gle/cKnytmoA25T33hth9