Wajah Nabi Muhammad SAW bukan sekadar indah pada pandangan mata, bahkan gambaran tentang rupa dan peribadi Baginda menjadi sesuatu yang sangat dirindui oleh para sahabat.

Antara sahabat yang menggambarkan ketampanan Baginda ialah al-Bara’ bin ‘Azib RA. Beliau berkata:

مَا رَأَيْتُ شَيْئًا قَطُّ أَحْسَنَ مِنْهُ

Maksudnya: “Aku tidak pernah melihat sesuatu pun yang lebih indah daripadanya.”
(Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Begitu dekatnya para sahabat dengan Nabi Muhammad SAW, mereka dapat mengingati perincian rupa Baginda dan menyampaikannya kepada generasi selepas mereka.

Wajah Nabi Muhammad SAW Yang Indah

Antara gambaran yang diriwayatkan, wajah Nabi Muhammad SAW adalah berseri dan tidak berbentuk terlalu bulat atau terlalu panjang.

Baginda juga mempunyai mata yang indah, dengan sedikit kemerahan pada bahagian putih mata.

Hidung Baginda mancung dan mulut Baginda lebar. Gigi kacip pula diriwayatkan sedikit jarang.

Gambaran ini memperlihatkan keindahan semula jadi yang dikurniakan Allah SWT kepada Rasulullah SAW.

Tubuh Nabi Muhammad SAW Tegap Dan Sederhana

nabi muhammad saw

Dari segi perawakan, Nabi Muhammad SAW tidak terlalu tinggi dan tidak pula rendah.

Al-Bara’ bin ‘Azib RA menggambarkan Baginda sebagai seorang yang sederhana tinggi, mempunyai bahu yang bidang serta rambut yang mencecah bahu.

Anas bin Malik RA pula meriwayatkan:

كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ لَيْسَ بِالطَّوِيلِ الْبَائِنِ، وَلَا بِالْقَصِيرِ، وَلَيْسَ بِالْأَبْيَضِ الْأَمْهَقِ، وَلَا بِالْآدَمِ، وَلَيْسَ بِالْجَعْدِ الْقَطَطِ، وَلَا بِالسَّبِطِ

Maksudnya: “Rasulullah SAW tidak terlalu tinggi dan tidak pula terlalu rendah. Baginda tidak terlalu putih dan tidak pula terlalu gelap. Baginda tidak berambut terlalu kerinting dan tidak pula terlalu lurus.”
(Riwayat al-Bukhari, Muslim dan al-Tirmizi)

Baginda juga mempunyai dada yang bidang, tubuh yang tegap dan tidak mempunyai perut yang buncit.

Rambut Dan Janggut Nabi Muhammad SAW

Rambut Nabi Muhammad SAW tidak terlalu lurus dan tidak terlalu kerinting.

Dalam beberapa riwayat, panjang rambut Baginda berbeza mengikut keadaan, antaranya hingga cuping telinga atau bahu.

Baginda juga mempunyai janggut yang lebat. Bulu mata Baginda panjang, manakala misai dipelihara agar tidak menutupi bahagian bibir.

Tentang uban pula, riwayat sahih menyebut jumlah uban di kepala dan janggut Baginda tidak mencapai 20 helai.

Ada riwayat lain menyebut sekitar 17 atau 18 helai. Justeru, lebih tepat menyebut jumlahnya tidak sampai 20 helai, bukannya menetapkan angka 17 secara mutlak.

Kulit Dan Tangan Nabi Muhammad SAW

Kulit Nabi Muhammad SAW digambarkan sebagai azhar, iaitu cerah, berseri dan tidak terlalu putih. Ia juga bukan berwarna gelap.

Tapak tangan Baginda pula diriwayatkan lembut. Keseluruhan gambaran fizikal ini menunjukkan kesempurnaan rupa yang dikurniakan Allah SWT kepada kekasih-Nya.

Mengenali Nabi Muhammad SAW bukan sekadar untuk mengetahui bagaimana rupa Baginda, tetapi sepatutnya menambahkan rasa cinta dan kerinduan kepada Rasulullah SAW.

Semakin kita mengenali Baginda, semakin kita memahami mengapa para sahabat begitu mencintai Rasulullah SAW.

Maka, perkenalkanlah Nabi Muhammad SAW kepada anak-anak dan generasi muda bukan hanya melalui nama, tetapi melalui kisah, akhlak, perjuangan dan sunnah Baginda.

Semoga kecintaan terhadap Nabi Muhammad SAW membawa kita semakin dekat untuk meneladani ajaran yang Baginda tinggalkan.

nabi muhammad saw

Sumber: Ustaz Wadi Annuar

BACA JUGA: 10 Kisah Nabi Muhammad SAW Penuh Mukjizat, Sesuai Diceritakan Kepada Anak Sebelum Tidur

BACA JUGA: Dr Kamilin Kongsi 4 Sifat Rasulullah SAW Daripada Surah At-Taubah, Bukti Besarnya Kasih Baginda Kepada Umat

Ikuti kami, Waktu Solat Malaysia di semua platform untuk dapatkan lebih banyak info bermanfaat:

Facebook: https://www.facebook.com/waktusolatmsia

Instagram: https://www.instagram.com/waktusolatmy

X: https://x.com/WaktuSolatMsia

WhatsApp Channel: https://whatsapp.com/channel/0029Va9S1HR6xCSNywYivK28

Telegram: https://t.me/waktusolat_my

TikTok: https://www.tiktok.com/@waktusolatmy

Threads: https://www.threads.com/@waktusolatmy

YouTube: https://www.youtube.com/channel/UCNBD0UlKUCbUHm-VmXWozEw

Muat turun aplikasi Waktu Solat Malaysia melalui App Store atau Play Store hari ini.

Waktu Solat Malaysia memperkenalkan Kotak Luahan, ruang selamat dan ‘anonymous’ untuk anda berkongsi pertanyaan, keresahan, pengetahuan atau pandangan berkaitan agama dan kehidupan.

Luahkan di: https://www.waktusolat.digital/kotak-luahan/

Kerana kadang-kadang, meluah itu membuat hati rasa lega!

Sekiranya anda ada maklum balas anda tentang portal, artikel dan topik di Waktu Solat Malaysia, hantar ke: https://forms.gle/cKnytmoA25T33hth9