Isu jerebu bukan sekadar menjejaskan jarak penglihatan, malah boleh mengganggu kesihatan dan rutin harian masyarakat.

Dalam keadaan sebegini, umat Islam dianjurkan menggabungkan ikhtiar zahir dengan usaha mendekatkan diri kepada Allah SWT.

Jabatan Mufti Wilayah Persekutuan pernah menerbitkan Bayan Linnas berkaitan Isu Jerebu dan Penyelesaiannya yang menghuraikan beberapa langkah berdepan keadaan tersebut, termasuk amalan memohon hujan melalui doa dan Solat Istisqa’.

Berikut enam amalan dan panduan yang boleh diberi perhatian ketika berdepan isu jerebu.

1. Mohon Hujan Melalui Doa Dan Solat Istisqa’

Antara ikhtiar yang boleh dilakukan ketika isu jerebu semakin membimbangkan ialah memohon kepada Allah SWT agar diturunkan hujan yang membawa manfaat.

Jabatan Mufti Wilayah Persekutuan menjelaskan bahawa hujan boleh membantu mengurangkan jerebu serta menurunkan Indeks Pencemaran Udara (IPU).

Dalam Islam, Solat Istisqa’ disyariatkan sebagai salah satu cara memohon hujan kepada Allah SWT.

Solat Istisqa’ merupakan solat sunat yang dilakukan ketika berlaku kemarau atau keadaan yang memerlukan hujan.

Ia boleh dilakukan secara berjemaah dan mempunyai beberapa kaedah, daripada sekadar berdoa sehingga melaksanakan solat dua rakaat secara khusus.

Cara pertama: Berdoa memohon hujan pada bila-bila masa.

Cara kedua: Berdoa selepas rukuk pada rakaat terakhir solat fardu dan selepas solat.

Cara ketiga (paling sempurna):

  1. Bertaubat dengan sebenar-benarnya.
  2. Bersedekah kepada fakir miskin.
  3. Meninggalkan kezaliman dan mendamaikan persengketaan.
  4. Berpuasa selama empat hari berturut-turut.
  5. Pada hari keempat, imam bersama jemaah keluar ke kawasan lapang dalam keadaan merendah diri, khusyuk dan berpakaian biasa.
  6. Kemudian menunaikan solat Istisqa’ dua rakaat, seperti solat sunat hari raya.

Panduan Melaksanakan Solat Istisqa’

Lafaz Niat Solat Sunat Istisqa’

Rumi: “Ushalli sunnatal istisqa’i rak’ataini (imaman / makmuman / lillahi ta’ala)”

Arab:

أُصَلِّي سُنَّةَ الْإِسْتِسْقَاءِ رَكْعَتَيْنِ لِلَّهِ تَعَالَى
(Jika menjadi makmum, ditambah: مَأْمُومًا / Jika menjadi imam: إِمَامًا)

Maksud: “Sahaja aku solat sunat Istisqa’ dua rakaat (menjadi makmum / imam) kerana Allah Taala.”

Seperti solat sunat hari raya, selepas membaca doa iftitah, disunatkan bertakbir sebanyak tujuh (7) kali dengan diselangi bacaan tasbih pada rakaat pertama dan lima (5) kali takbir yang juga diselangi denga tasbih pada rakaat kedua.

Bacaan takbir: سُبْحَانَ اللَّهِ وَالْحَمْدُ لِلَّهِ وَلَا إِلَهَ إِلَّا اللهُ وَاللهُ أَكْبَرُ، وَلَا حَوْلَ وَلَا قُوَّةَ إِلَّا بِاللَّهِ الْعَلِيِّ الْعَظِيمِ

Imam sunat menyaringkan suara ketika membaca surah al-Fatihah dan surah lain selepasnya.

Selepas membaca Surah al-fatihah, membaca surah al-A’la pada rakaat pertama dan surah al-Ghasyiah pada rakaat kedua.

Selepas salam dan selesai solat, imam atau khatib disunatkan berkhutbah (membaca dua khutbah).

2. Bertaubat, Beristighfar Dan Banyakkan Doa

Dalam menghadapi isu jerebu, umat Islam turut digalakkan memperbanyakkan taubat, istighfar, doa dan munajat kepada Allah SWT.

Firman Allah SWT:

فَقُلْتُ اسْتَغْفِرُوا رَبَّكُمْ إِنَّهُ كَانَ غَفَّارًا ۝ يُرْسِلِ السَّمَاءَ عَلَيْكُم مِّدْرَارًا

Maksudnya: “Sehingga aku berkata (kepada mereka): Mohonlah ampun kepada Tuhan kamu, sesungguhnya Dia Maha Pengampun. Nescaya Dia akan menurunkan hujan lebat mencurah-curah kepada kamu.”

(Surah Nuh: 10-11)

Ayat ini mengingatkan kita bahawa istighfar bukan sekadar lafaz di bibir, tetapi tanda pengharapan seorang hamba kepada rahmat Allah SWT.

3. Bersedekah Dan Tinggalkan Kezaliman

Dalam persediaan melaksanakan Solat Istisqa’, Jabatan Mufti Wilayah Persekutuan turut menyarankan beberapa amalan seperti bersedekah kepada fakir miskin, meninggalkan kezaliman dan mendamaikan persengketaan.

Amalan ini mendidik umat Islam supaya tidak hanya meminta pertolongan Allah SWT melalui doa, tetapi turut memperbaiki hubungan sesama manusia.

Ketika menghadapi isu jerebu, inilah peluang untuk kita bermuhasabah, memohon keampunan dan memperbanyakkan amal kebajikan.

4. Berpuasa Sebelum Solat Istisqa’

Antara kaedah yang dihuraikan Jabatan Mufti Wilayah Persekutuan ialah berpuasa selama empat hari berturut-turut sebelum melaksanakan Solat Istisqa’ secara berjemaah.

Pada hari keempat, imam bersama jemaah keluar ke kawasan lapang dengan keadaan merendah diri, khusyuk dan mengharapkan pertolongan Allah SWT sebelum melaksanakan solat dua rakaat.

Panduan ini menunjukkan bahawa Solat Istisqa’ bukan sekadar pergerakan fizikal mendirikan solat, sebaliknya disertai taubat, kerendahan hati dan pengharapan kepada Allah SWT.

5. Baca Doa Memohon Hujan

Antara doa yang boleh dibaca ketika isu jerebu dan keadaan memerlukan hujan ialah doa yang pernah dilafazkan oleh Rasulullah SAW:

اللَّهُمَّ أَغِثْنَا، اللَّهُمَّ أَغِثْنَا، اللَّهُمَّ أَغِثْنَا

Rumi: Allahumma aghithna, Allahumma aghithna, Allahumma aghithna.

Maksudnya: “Ya Allah, turunkanlah hujan kepada kami. Ya Allah, turunkanlah hujan kepada kami. Ya Allah, turunkanlah hujan kepada kami.”

Dalam riwayat al-Bukhari, Anas bin Malik RA menceritakan bahawa seorang lelaki meminta Rasulullah SAW berdoa agar hujan diturunkan ketika berlaku kemarau. Baginda lalu berdoa dan hujan turun.

Doa memohon hujan juga boleh dilakukan pada bila-bila masa sebagai tanda pengharapan kepada Allah SWT.

6. Utamakan Keselamatan Dan Kesihatan

Ikhtiar menghadapi isu jerebu tidak terhad kepada amalan kerohanian. Langkah keselamatan dan kesihatan juga perlu diberi perhatian.

Antara panduan yang dihimpunkan Jabatan Mufti Wilayah Persekutuan ialah:

  1. Mengurangkan aktiviti lasak di luar rumah.
  2. Berada di dalam bangunan apabila keadaan jerebu membimbangkan.
  3. Memakai penutup hidung dan mulut ketika berada di luar, khususnya bagi golongan berisiko tinggi.
  4. Meminum air secukupnya.
  5. Mengikuti perkembangan dan nasihat pihak berkuasa.
  6. Mendapatkan rawatan sekiranya keadaan kesihatan semakin teruk.

Jika keadaan isu jerebu mencapai tahap darurat, tindakan pengurusan bencana termasuk penutupan premis, sekolah dan pusat jagaan kanak-kanak di kawasan terjejas boleh dilaksanakan mengikut garis panduan yang ditetapkan pihak berkuasa.

Justeru, isu jerebu perlu dihadapi dengan gabungan ikhtiar dan tawakal.

Umat Islam boleh memperbanyakkan taubat, istighfar, sedekah dan doa, selain melaksanakan Solat Istisqa’ apabila keadaan memerlukannya.

Dalam masa yang sama, jangan abaikan langkah keselamatan dan kesihatan yang ditetapkan pihak berkuasa.

Isu jerebu bukan sekadar ujian alam sekitar, tetapi juga ruang untuk kita kembali merendah diri, memperbaiki hubungan dengan Allah SWT dan sesama manusia.

Semoga setiap doa, istighfar dan usaha yang dilakukan menjadi sebab Allah SWT mengurniakan hujan yang membawa rahmat serta mengangkat kesukaran yang sedang dihadapi.

Sumber: Jabatan Mufti Wilayah Persekutuan, UPDI

BACA JUGA: JAKIM Laksana Solat Hajat Malam Ini Selepas Solat Maghrib Di 3 Masjid Untuk Doakan Mereka Yang Terjejas Jerebu

BACA JUGA: Merungut Bila Hujan Turun, Berdosa Ke? Mufti Jelaskan Hukum & Larangan Mencela Ketetapan Allah SWT

BACA JUGA: Awas Bahang Cuaca Panas Melampau, Amalkan Doa Ini & Segera Muhasabah Diri

Ikuti kami, Waktu Solat Malaysia di semua platform untuk dapatkan lebih banyak info bermanfaat:

Facebook: https://www.facebook.com/waktusolatmsia

Instagram: https://www.instagram.com/waktusolatmy

X: https://x.com/WaktuSolatMsia

WhatsApp Channel: https://whatsapp.com/channel/0029Va9S1HR6xCSNywYivK28

Telegram: https://t.me/waktusolat_my

TikTok: https://www.tiktok.com/@waktusolatmy

Threads: https://www.threads.com/@waktusolatmy

YouTube: https://www.youtube.com/channel/UCNBD0UlKUCbUHm-VmXWozEw

Muat turun aplikasi Waktu Solat Malaysia melalui App Store atau Play Store hari ini.

Waktu Solat Malaysia memperkenalkan Kotak Luahan, ruang selamat dan ‘anonymous’ untuk anda berkongsi pertanyaan, keresahan, pengetahuan atau pandangan berkaitan agama dan kehidupan.

Luahkan di: https://www.waktusolat.digital/kotak-luahan/

Kerana kadang-kadang, meluah itu membuat hati rasa lega!

Sekiranya anda ada maklum balas anda tentang portal, artikel dan topik di Waktu Solat Malaysia, hantar ke: https://forms.gle/cKnytmoA25T33hth9