Sheikh Ibrahim Al Madani, antara muazin Masjidil Haram yang suaranya selama ini menyeru umat Islam mendirikan solat di hadapan Kaabah, dilaporkan meninggal dunia pada Isnin, 21 September 2026.
Berita pemergian Sheikh Ibrahim bin Adel Al Madani mencetuskan rasa dukacita dalam kalangan mereka yang mengikuti perkembangan dua Tanah Suci, dengan rakaman azan dan takbir beliau kembali dikongsikan di media sosial.
Lebih menyentuh hati, azan terakhir yang dilaungkan Sheikh Ibrahim di Masjidil Haram dilaporkan merupakan azan pertama Subuh pada hari yang sama sebelum beliau meninggal dunia beberapa jam kemudian.
Inside the Haramain turut berkongsi rakaman yang disebut sebagai azan terakhir beliau dari Masjidil Haram.
Sheikh Ibrahim Laungkan Azan Subuh Terakhir Sebelum Meninggal Dunia
Menurut laporan Khaleej Times, Sheikh Ibrahim meninggal dunia pada awal pagi Isnin dan azan pertama Subuh yang dilaungkannya pada hari berkenaan menjadi azan terakhir beliau di Masjidil Haram.
Media Saudi Okaz pula melaporkan bahawa berita pemergian beliau dikongsikan oleh beberapa individu yang mempunyai kaitan dengan dua Tanah Suci serta mereka yang mengikuti perkembangan berkaitan azan.
Susulan berita tersebut, rakaman suara azan dan takbir beliau di Masjidil Haram turut kembali dikongsikan di media sosial.
Sheikh Ibrahim merupakan salah seorang daripada 24 muazin utama Masjidil Haram.
Enam daripada mereka menjalankan tugas secara bergilir setiap hari untuk melaungkan azan lima waktu serta azan pertama Subuh.
Beliau dikenali khususnya dengan alunan azan Subuh dan takbir, selain menjalankan tugas tabligh, iaitu menyampaikan takbir dan pergerakan imam menerusi sistem pembesar suara Masjidil Haram.
Sheikh Ibrahim Mula Menjadi Muazin Sejak Usia 15 Tahun
Perjalanan Sheikh Ibrahim sebagai muazin sebenarnya bermula jauh sebelum beliau diberikan amanah melaungkan azan di Masjidil Haram.
Beliau dilahirkan di Madinah pada 1976 dan dibesarkan dalam sebuah keluarga yang dekat dengan agama.
Datuknya yang merupakan seorang penghafaz al-Quran turut memberi pengaruh besar dalam kehidupannya.
Beliau kemudiannya memperoleh kelayakan akademik dalam bidang Pengajian al-Quran.
Pada usia sekitar 15 tahun, Sheikh Ibrahim sudah mula melaungkan azan di sebuah masjid kejiranan di Madinah.
Beliau menjalankan tugas tersebut secara bergilir bersama tiga orang jirannya sehingga tamat pengajian di kolej.
Selepas itu, beliau berhenti untuk satu tempoh berikutan komitmen mengajar di luar Madinah.
Pada 1428 Hijrah bersamaan sekitar 2007 hingga 2008, beliau kembali menjalankan tugas sebagai muazin di Masjid Al-Maddah sebelum akhirnya diberikan peluang berkhidmat di Masjidil Haram.
Beliau kemudiannya dilantik secara rasmi sebagai muazin Masjidil Haram pada 1439 Hijrah, sekitar 2017 hingga 2018.
Sheikh Ibrahim Pernah Menangis Ketika Azan Pertama Di Masjidil Haram
Satu kenangan mengenai Sheikh Ibrahim yang kembali mendapat perhatian selepas pemergiannya ialah pengalaman ketika pertama kali melaungkan azan di Masjidil Haram.
Dalam satu temu bual terdahulu menerusi podcast Ashraqat, beliau menceritakan bagaimana dirinya begitu tersentuh apabila melihat para jemaah sedang melakukan tawaf mengelilingi Kaabah sambil mendengar suara azannya.
Menurut laporan Okaz, beliau menangis ketika menyaksikan pemandangan tersebut dan secara rendah diri mempersoalkan siapa dirinya sehingga diberikan peluang untuk mengangkat suara di tempat yang suci itu.
Dibesarkan di Madinah, Sheikh Ibrahim banyak dipengaruhi tradisi dan gaya azan Madinah.
Pada masa sama, kunjungannya ke Makkah bersama bapanya turut memperkenalkannya kepada gaya azan Makkah.
Beliau pernah bertemu Sheikh Abdul Latif Mulla, bekas muazin Masjidil Haram yang juga merupakan sahabat kepada datuknya.
Sheikh Ibrahim Bakal Disemadikan Di Perkuburan Al-Mualla
Menurut laporan semasa, solat jenazah Sheikh Ibrahim dijadualkan berlangsung selepas solat Asar pada Isnin di Masjidil Haram, Makkah.
Jenazah beliau kemudiannya dijadualkan dikebumikan di Perkuburan Al-Mualla.
Pemergian seorang muazin turut mengingatkan umat Islam tentang kemuliaan tugas menyeru manusia kepada solat.
Rasulullah SAW bersabda:
الْمُؤَذِّنُونَ أَطْوَلُ النَّاسِ أَعْنَاقًا يَوْمَ الْقِيَامَةِ
Maksudnya: “Para muazin adalah manusia yang paling panjang lehernya pada hari kiamat.”
Riwayat Muslim (387)
Hadis tersebut menunjukkan kelebihan yang diberikan kepada mereka yang menjalankan tugas melaungkan azan dan menyeru manusia mendirikan solat.
Bagi Sheikh Ibrahim, perjalanan sebagai muazin yang bermula sejak usia muda akhirnya membawanya kepada amanah besar melaungkan azan dari Masjidil Haram.
Dan pada hari terakhir kehidupannya, suara Sheikh Ibrahim sekali lagi bergema menyeru jemaah mendirikan solat Subuh dari masjid paling suci dalam Islam, sebelum berita pemergiannya dilaporkan beberapa jam kemudian.
Semoga Allah SWT merahmati beliau dan menempatkannya dalam kalangan hamba-Nya yang soleh.
Sumber: Khaleej Times, Okaz
BACA JUGA: PU Salman Dedah 3 Kesalahan Muazzin, Jangan Lagukan Azan Berlebihan Hingga Ubah Makna Lafaz
BACA JUGA: 25 Tahun Hidupkan Hati & Ingatkan Kita Tentang Kematian, Muazzin Masjid Nabawi Meninggal Dunia
Ikuti kami, Waktu Solat Malaysia di semua platform untuk dapatkan lebih banyak info bermanfaat:
Facebook: https://www.facebook.com/waktusolatmsia
Instagram: https://www.instagram.com/waktusolatmy
X: https://x.com/WaktuSolatMsia
WhatsApp Channel: https://whatsapp.com/channel/0029Va9S1HR6xCSNywYivK28
Telegram: https://t.me/waktusolat_my
TikTok: https://www.tiktok.com/@waktusolatmy
Threads: https://www.threads.com/@waktusolatmy
YouTube: https://www.youtube.com/channel/UCNBD0UlKUCbUHm-VmXWozEw
Muat turun aplikasi Waktu Solat Malaysia melalui App Store atau Play Store hari ini.
Waktu Solat Malaysia memperkenalkan Kotak Luahan, ruang selamat dan ‘anonymous’ untuk anda berkongsi pertanyaan, keresahan, pengetahuan atau pandangan berkaitan agama dan kehidupan.
Luahkan di: https://www.waktusolat.digital/kotak-luahan/
Kerana kadang-kadang, meluah itu membuat hati rasa lega!
Sekiranya anda ada maklum balas anda tentang portal, artikel dan topik di Waktu Solat Malaysia, hantar ke: https://forms.gle/cKnytmoA25T33hth9.