MyZakat 4.0 kini tampil bukan sekadar sebagai aplikasi pembayaran zakat, malah diperluaskan sebagai ekosistem digital yang menghimpunkan urusan zakat, wakaf dan kemudahan ibadah harian dalam satu aplikasi.

Pusat Pungutan Zakat – Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP) melancarkan versi terbaharu aplikasi rasminya itu dengan penambahbaikan dari segi fungsi, reka bentuk dan pengalaman pengguna.

Mengangkat tagline “Aplikasi Ibadah Anda”, versi terbaharu ini dibangunkan bagi memudahkan masyarakat menguruskan keperluan ibadah menerusi telefon pintar, selaras dengan perkembangan penggunaan perkhidmatan digital dalam kehidupan seharian.

MyZakat 4.0 Beralih Kepada Ekosistem Ibadah Digital

myzakat 4.0
Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Operasi) PPZ-MAIWP, Haji Mohammed Hassan

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Operasi) PPZ-MAIWP, Haji Mohammed Hassan berkata, perkembangan teknologi menuntut PPZ-MAIWP bergerak seiring dengan keperluan pengguna yang mahukan perkhidmatan lebih mudah, cepat dan boleh dicapai pada bila-bila masa.

Menurut beliau, pembangunan MyZakat 4.0 memberi perhatian utama kepada pengalaman pengguna dengan setiap proses diteliti dan dipermudahkan.

“Melalui MyZakat 4.0, kita beralih daripada aplikasi yang sekadar berorientasikan transaksi kepada sebuah Ekosistem Ibadah Digital yang membawa tiga gagasan utama iaitu Zakat, Wakaf, dan Ibadah,” katanya.

Perubahan itu juga didorong oleh peningkatan penggunaan platform digital PPZ-MAIWP.

Ketika MyZakat mula diperkenalkan pada 2021, kutipan melalui aplikasi berkenaan hanya sekitar RM876,000 sebelum meningkat kepada RM21.9 juta pada 2025.

Jumlah pengguna berdaftar pula kini mencecah 116,603 orang, dengan hampir 90,000 daripadanya merupakan pengguna aktif.

MyZakat 4.0 Mudahkan Bayaran & Semakan Zakat

Antara penambahbaikan utama MyZakat 4.0 ialah proses pendaftaran dan pembayaran yang dipermudahkan.

Pengguna baharu tidak lagi diwajibkan mendaftar melalui sistem Zakat2u terlebih dahulu kerana pendaftaran akaun boleh dibuat secara terus dalam aplikasi.

Bermula daripada pendaftaran, pembayaran sehingga semakan transaksi, keseluruhan proses disusun semula supaya lebih ringkas.

Aplikasi turut diintegrasikan dengan kemudahan pembayaran, pengurusan transaksi berulang serta MyResit bagi penyimpanan rekod rasmi untuk tujuan rujukan dan urusan berkaitan rebat cukai pendapatan.

Menerusi modul MyAsnaf yang diintegrasikan dengan platform MAIWPNOW, pengguna juga boleh mendapatkan maklumat berkaitan agihan zakat serta manfaatnya kepada golongan asnaf.

Dengan fungsi ini, MyZakat 4.0 bukan hanya memudahkan seseorang menunaikan zakat, malah memberi ruang kepada pengguna memahami bagaimana dana zakat memberi manfaat kepada penerima.

MyWakaf & MyAmal Lengkapkan MyZakat 4.0

Satu lagi pembaharuan ialah pengenalan MyWakaf.

Melalui fungsi ini, pengguna MyZakat 4.0 boleh membuat sumbangan wakaf secara terus kepada projek yang disenaraikan serta mendapatkan maklumat terkini mengenai perkembangan projek.

Tidak terhenti pada zakat dan wakaf, aplikasi itu turut memperkenalkan MyAmal sebagai pusat kemudahan ibadah harian.

Haji Mohammed berkata, PPZ-MAIWP mahu MyZakat 4.0 menjadi aplikasi yang boleh digunakan dalam kehidupan harian umat Islam dan bukannya sekadar “aplikasi bermusim” yang dibuka apabila tiba masa membayar zakat.

“Hasrat kita sangat jelas, kita mahu MyZakat 4.0 menjadi teman setia yang memudahkan urusan ibadah harian setiap umat Islam, pada bila-bila masa dan di mana jua mereka berada,” katanya.

MyZakat 4.0 Tampil Dengan Antaramuka Lebih Mudah

Dari sudut pengalaman pengguna, MyZakat 4.0 turut diberikan antaramuka baharu yang lebih ringkas, kemas dan mudah digunakan.

Dashboard interaktif disediakan bagi membolehkan pengguna menetapkan tema pilihan serta melihat paparan graf secara langsung.

Aplikasi itu turut menawarkan pilihan dwibahasa iaitu Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris bagi memberikan pengalaman penggunaan yang lebih fleksibel.

Keseluruhan penambahbaikan tersebut membawa MyZakat 4.0 daripada sebuah aplikasi yang tertumpu kepada transaksi kepada platform lebih menyeluruh untuk kegunaan umat Islam.

MyZakat 4.0 Boleh Dimuat Turun Sekarang

myzakat 4.0

MyZakat 4.0 tersedia untuk pengguna peranti iOS melalui App Store dan Android melalui Google Play.

Bagi pengguna sedia ada, mereka hanya perlu mengemas kini aplikasi MyZakat kepada versi terbaharu dan tidak perlu memuat turun aplikasi berasingan.

PPZ-MAIWP berharap MyZakat 4.0 dapat membantu masyarakat melaksanakan ibadah dengan lebih mudah, selain mendekatkan urusan zakat, wakaf dan ibadah harian kepada kehidupan seharian pengguna.

Pelancaran ini sekali gus memperlihatkan perubahan cara perkhidmatan zakat disampaikan apabila kemudahan digital tidak lagi tertumpu kepada pembayaran semata-mata.

Sebaliknya, MyZakat 4.0 dibangunkan sebagai satu ekosistem yang menggabungkan pelbagai keperluan umat Islam dalam satu aplikasi.

Orang ramai yang mempunyai pertanyaan lanjut berkaitan aplikasi berkenaan boleh menghubungi talian Zakat PPZ-MAIWP di 1-300-88-5757.

BACA JUGA: Zakat Bukan Sekadar Bantuan, Ini Pendekatan Baharu Jadikan Zakat Sebagai Jalan Keluar Daripada Kemiskinan

BACA JUGA: Biasiswa MAIWP 2026/2027 Dibuka Hari Ini Untuk Pelajar Universiti Awam, Ini Syarat & Cara Mohon

Ikuti kami, Waktu Solat Malaysia di semua platform untuk dapatkan lebih banyak info bermanfaat:

Facebook: https://www.facebook.com/waktusolatmsia

Instagram: https://www.instagram.com/waktusolatmy

X: https://x.com/WaktuSolatMsia

WhatsApp Channel: https://whatsapp.com/channel/0029Va9S1HR6xCSNywYivK28

Telegram: https://t.me/waktusolat_my

TikTok: https://www.tiktok.com/@waktusolatmy

Threads: https://www.threads.com/@waktusolatmy

YouTube: https://www.youtube.com/channel/UCNBD0UlKUCbUHm-VmXWozEw

Muat turun aplikasi Waktu Solat Malaysia melalui App Store atau Play Store hari ini.

Waktu Solat Malaysia memperkenalkan Kotak Luahan, ruang selamat dan ‘anonymous’ untuk anda berkongsi pertanyaan, keresahan, pengetahuan atau pandangan berkaitan agama dan kehidupan.

Luahkan di: https://www.waktusolat.digital/kotak-luahan/

Kerana kadang-kadang, meluah itu membuat hati rasa lega!

Sekiranya anda ada maklum balas anda tentang portal, artikel dan topik di Waktu Solat Malaysia, hantar ke: https://forms.gle/cKnytmoA25T33hth9