Azab kubur dikatakan akan terhenti apabila waris datang menziarahi kubur, tetapi adakah dakwaan yang sering kita dengar ini benar-benar mempunyai sandaran?

Kehilangan insan tersayang membuatkan ramai antara kita memilih untuk datang ke tanah perkuburan, memberi salam, membaca doa dan mengenang kembali kehidupan bersama mereka.

Namun, timbul persoalan sama ada kehadiran waris di sisi kubur dengan sendirinya menyebabkan seksaan yang sedang dialami si mati terhenti.

Menerusi segmen Solusi Amin Idris di Hot FM, Amin Idris menjelaskan perkara yang lebih penting ketika menziarahi kubur ialah mendoakan kesejahteraan, keampunan dan rahmat buat si mati.

Betul Ke Azab Kubur Terhenti Apabila Waris Datang?

Tidak terdapat dalil sahih yang menetapkan bahawa azab kubur akan berhenti secara automatik hanya kerana waris datang menziarahi kubur.

Sebaliknya, Rasulullah SAW mengajar umatnya supaya memberikan salam dan berdoa apabila datang ke tanah perkuburan.

Daripada Buraidah RA, Rasulullah SAW mengajar para sahabat membaca:

السَّلَامُ عَلَيْكُمْ أَهْلَ الدِّيَارِ مِنَ الْمُؤْمِنِينَ وَالْمُسْلِمِينَ، وَإِنَّا إِنْ شَاءَ اللَّهُ بِكُمْ لَاحِقُونَ، نَسْأَلُ اللَّهَ لَنَا وَلَكُمُ الْعَافِيَةَ

Maksudnya: “Salam sejahtera ke atas kamu wahai penghuni tempat ini daripada kalangan orang beriman dan Muslim. Sesungguhnya kami, insya-Allah, akan menyusuli kamu. Kami memohon kepada Allah kesejahteraan untuk kami dan juga untuk kamu.”

(Riwayat Muslim, no. 975)

Hadis ini jelas menunjukkan bahawa antara amalan ketika menziarahi kubur ialah mendoakan penghuninya.

Justeru, jangan menganggap kehadiran kita sahaja sudah mencukupi untuk menghentikan azab kubur.

Doa Waris Boleh Memberi Manfaat & Mohon Dijauhkan Azab Kubur

azab kubur

Walaupun ziarah waris tidak secara automatik menghentikan azab kubur, doa orang yang masih hidup memang boleh memberikan manfaat kepada si mati.

Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan menjelaskan bahawa ulama bersepakat doa untuk orang yang telah meninggal dunia bermanfaat kepada mereka dan pahalanya sampai kepada mereka.

Malah, Rasulullah SAW sendiri mengajar doa untuk si mati yang mengandungi permohonan keampunan, rahmat dan perlindungan daripada azab kubur.

Antara doa Baginda SAW:

اللَّهُمَّ اغْفِرْ لَهُ وَارْحَمْهُ وَعَافِهِ وَاعْفُ عَنْهُ وَأَكْرِمْ نُزُلَهُ وَوَسِّعْ مُدْخَلَهُ وَاغْسِلْهُ بِالْمَاءِ وَالثَّلْجِ وَالْبَرَدِ وَنَقِّهِ مِنَ الْخَطَايَا كَمَا نَقَّيْتَ الثَّوْبَ الْأَبْيَضَ مِنَ الدَّنَسِ وَأَدْخِلْهُ الْجَنَّةَ وَأَعِذْهُ مِنْ عَذَابِ الْقَبْرِ أَوْ مِنْ عَذَابِ النَّارِ

Maksudnya: “Ya Allah, ampunilah dia, rahmatilah dia, sejahterakanlah dia dan maafkanlah dia. Muliakanlah tempat persinggahannya, luaskanlah tempat masuknya, bersihkanlah dia dengan air, salji dan embun, sucikanlah dia daripada kesalahan sebagaimana Engkau membersihkan pakaian putih daripada kekotoran, masukkanlah dia ke dalam syurga dan lindungilah dia daripada azab kubur atau azab neraka.”

(Riwayat Muslim, no. 963)

Doa ini sendiri menunjukkan bahawa kita disyariatkan meminta kepada Allah agar si mati dilindungi daripada azab kubur.

Kalau Allah Ampunkan Si Mati, Bagaimana Dengan Azab Kubur?

Menurut penjelasan Amin Idris, apa yang perlu dilakukan waris ialah benar-benar berdoa agar Allah mengampunkan, merahmati dan memberikan keringanan kepada si mati.

Namun, kita perlu memahami bahawa bukan doa itu sendiri yang mempunyai kuasa menghentikan azab kubur.

Segala keputusan berada di bawah kehendak dan rahmat Allah SWT.

Jika Allah menerima doa tersebut lalu mengampunkan seseorang daripada dosa yang menjadi sebab dia diazab, maka Allah berkuasa mengangkat azab daripadanya.

Sebab itu, ketika berziarah jangan sekadar datang, berdiri beberapa minit kemudian pulang tanpa mendoakan si mati.

Manfaatkan peluang itu untuk memohon keampunan, rahmat, kesejahteraan dan perlindungan daripada azab kubur untuk mereka.

Ziarah Kubur Bukan Tempat Sibuk Buat Content

Amin Idris turut mengingatkan agar tujuan datang ke tanah perkuburan tidak dialihkan kepada perkara duniawi sehingga melupakan si mati.

Datang ke kubur tetapi terlalu sibuk merakam content, bermain media sosial atau melakukan perkara yang tidak berkaitan sehingga langsung tidak mendoakan si mati tentunya lari daripada tujuan yang sepatutnya diberikan perhatian.

Mufti Wilayah turut menyatakan bahawa memohon keampunan dan rahmat untuk si mati merupakan amalan yang diiktiraf syarak serta menzahirkan keyakinan bahawa hanya Allah SWT mampu memberikan kesejahteraan kepada seseorang di alam barzakh.

Jika mahu membaca al-Quran dan menghadiahkan pahalanya kepada si mati, terdapat perbezaan pandangan ulama mengenai sampainya pahala bacaan tersebut.

Mufti WP cenderung kepada pandangan bahawa pahala bacaan boleh sampai dan mencadangkan agar ia disertai doa kepada si mati, kerana manfaat doa mempunyai sandaran yang lebih jelas.

Kesimpulannya, dakwaan bahawa azab kubur pasti terhenti apabila waris datang menziarah tidak mempunyai dalil sahih yang menetapkannya secara automatik.

Apa yang diajar Rasulullah SAW ialah memberikan salam dan berdoa untuk penghuni kubur.

Jadi apabila menziarahi ibu, ayah atau insan tersayang yang telah pergi, jangan hanya hadir secara fizikal.

Doakanlah bersungguh-sungguh agar Allah mengampuni mereka, merahmati mereka dan melindungi mereka daripada azab kubur.

Kerana akhirnya, bukan kehadiran kita yang menentukan keadaan mereka di alam barzakh, tetapi rahmat dan keampunan Allah SWT yang kita harapkan melalui doa.

Sumber: Amin Idris

BACA JUGA: Siapa Yang Dilindungi Daripada Azab Kubur? Ini 8 Golongan Yang Disebut Mempunyai Keistimewaan Di Alam Barzakh

BACA JUGA: Rupanya Ini Sebab Liang Lahad Berair, Penggali Kubur Mohon Henti Fitnah Jenazah-“Bukan Tanda Azab Kubur”

Ikuti kami, Waktu Solat Malaysia di semua platform untuk dapatkan lebih banyak info bermanfaat:

Facebook: https://www.facebook.com/waktusolatmsia

Instagram: https://www.instagram.com/waktusolatmy

X: https://x.com/WaktuSolatMsia

WhatsApp Channel: https://whatsapp.com/channel/0029Va9S1HR6xCSNywYivK28

Telegram: https://t.me/waktusolat_my

TikTok: https://www.tiktok.com/@waktusolatmy

Threads: https://www.threads.com/@waktusolatmy

YouTube: https://www.youtube.com/channel/UCNBD0UlKUCbUHm-VmXWozEw

Muat turun aplikasi Waktu Solat Malaysia melalui App Store atau Play Store hari ini.

Waktu Solat Malaysia memperkenalkan Kotak Luahan, ruang selamat dan ‘anonymous’ untuk anda berkongsi pertanyaan, keresahan, pengetahuan atau pandangan berkaitan agama dan kehidupan.

Luahkan di: https://www.waktusolat.digital/kotak-luahan/

Kerana kadang-kadang, meluah itu membuat hati rasa lega!

Sekiranya anda ada maklum balas anda tentang portal, artikel dan topik di Waktu Solat Malaysia, hantar ke: https://forms.gle/cKnytmoA25T33hth9.