Tun Dr Siti Hasmah bukan sekadar dikenali sebagai isteri kepada bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, malah Allahyarham meninggalkan perjalanan hidup dan sumbangan tersendiri dalam bidang perubatan, kesihatan awam serta pembangunan wanita.

Malaysia kehilangan tokoh wanita yang cukup disegani apabila Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali meninggal dunia di Institut Jantung Negara (IJN) pada Isnin, 28 September 2026.

Allahyarham menghembuskan nafas terakhir pada usia 100 tahun.

Berita pemergiannya disahkan anaknya, Tan Sri Mokhzani Mahathir.

Allahyarham meninggalkan suami dan tujuh orang anak.

Di sebalik kehidupan bersama seorang tokoh politik yang memimpin negara selama puluhan tahun, Tun Dr Siti Hasmah sebenarnya mempunyai sejarah panjang dalam perkhidmatan perubatan dan kesihatan masyarakat.

Biodata Tun Dr Siti Hasmah & Latar Belakang Pendidikan

Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali dilahirkan pada 12 Julai 1926 di Klang, Selangor.

Beliau mendapat pendidikan awal antaranya di Methodist Girls’ School, St Mary’s School dan Pudu English School di Kuala Lumpur.

Selepas Perang Dunia Kedua, Tun Dr Siti Hasmah menerima biasiswa untuk melanjutkan pengajian di King Edward VII College of Medicine di Singapura.

Ketika itu, beliau merupakan satu-satunya pelajar wanita Melayu dalam kumpulannya.

Pada 1955, beliau menamatkan pengajian sebagai doktor perubatan sebelum menjalani latihan di Hospital Besar Kuala Lumpur.

Dalam kehidupan peribadi, Tun Dr Siti Hasmah mendirikan rumah tangga dengan Tun Dr Mahathir pada Ogos 1956 selepas kedua-duanya berkenalan ketika menuntut dalam bidang perubatan di Singapura.

Pasangan tersebut dikurniakan tujuh anak iaitu Marina, Mirzan, Melinda, Mokhzani, Mukhriz, Maizura dan Mazhar.

Tun Dr Siti Hasmah Antara Doktor Wanita Melayu Terawal

siti hasmah

Kerjaya Tun Dr Siti Hasmah dalam dunia perubatan mencipta sejarah tersendiri.

Selepas berkhidmat di Hospital Besar Kuala Lumpur, beliau berpindah ke Kedah dan menyertai perkhidmatan kesihatan kerajaan.

Pada 1965, beliau menjadi wanita pertama dilantik sebagai Pegawai Perubatan dalam bidang Kesihatan Ibu dan Anak di Kedah.

Pada 1974, beliau sekali lagi mencipta sejarah apabila menjadi wanita pertama dilantik sebagai Pegawai Kesihatan Ibu dan Anak Negeri.

Sepanjang kerjayanya, perhatian Tun Dr Siti Hasmah banyak diberikan kepada kesihatan ibu dan kanak-kanak, imunisasi, perancangan keluarga serta kesihatan masyarakat khususnya di luar bandar.

Beliau bersara daripada perkhidmatan kerajaan pada 1979 sebelum menjadi pensyarah sambilan di Fakulti Pergigian Universiti Malaya sehingga 1981.

Sumbangannya bagaimanapun tidak berhenti selepas bersara.

Tun Dr Siti Hasmah Bawa Suara Wanita Malaysia Ke Peringkat Dunia

Selain kesihatan, Tun Dr Siti Hasmah aktif dalam usaha menangani penyalahgunaan dadah, meningkatkan celik huruf orang dewasa, memperkasa wanita luar bandar dan memperjuangkan kesejahteraan keluarga.

Pada 1987, beliau berada di Vienna dalam program antarabangsa berkaitan penyalahgunaan dan pengedaran dadah.

Beliau turut menjadi penaung Pan Pacific South East Asia Women’s Association (PESAWA) Malaysia.

Pada 1995, Tun Dr Siti Hasmah mengetuai delegasi Malaysia ke Persidangan Dunia Keempat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Mengenai Wanita di Beijing dan menyampaikan ucapan bertemakan kesaksamaan, pembangunan, keamanan serta dunia yang prihatin.

Dalam bidang pendidikan pula, beliau dilantik sebagai Canselor pertama Multimedia University (MMU) pada 1997 dan memegang jawatan tersebut sehingga 2012.

MMU kemudiannya turut mengenang beliau sebagai “Ibu Universiti”.

Pencapaian Tun Dr Siti Hasmah & Legasi Yang Ditinggalkan

Sepanjang hayatnya, Tun Dr Siti Hasmah menerima pelbagai anugerah dan pengiktirafan atas sumbangannya.

Antaranya termasuk pelbagai ijazah kehormat daripada universiti tempatan serta pengiktirafan antarabangsa berkaitan kesihatan awam, pendidikan dan kerja kemasyarakatan.

Pada 2003, beliau dianugerahkan Darjah Seri Setia Mahkota Malaysia (SSM) yang membawa gelaran Tun sebagai pengiktirafan terhadap khidmat dan sumbangannya kepada negara.

Pemergian Tun Dr Siti Hasmah pada usia 100 tahun bukan sahaja meninggalkan kesedihan kepada keluarga, malah menutup satu perjalanan panjang seorang wanita yang melalui perubahan Malaysia sejak sebelum merdeka sehingga era moden.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menyatakan negara akan terus mengenang figura keibuan serta jasa Allahyarham kepada masyarakat. Kerajaan turut memberikan Istiadat Pengebumian Pembesar Negara kepada Allahyarham.

Daripada seorang pelajar perubatan wanita Melayu pada zaman apabila bidang tersebut masih didominasi lelaki, Tun Dr Siti Hasmah akhirnya membina legasinya sendiri sebagai doktor, pejuang kesihatan awam, pendukung pembangunan wanita dan tokoh pendidikan.

Allah SWT berfirman:

كُلُّ نَفْسٍ ذَائِقَةُ الْمَوْتِ

Maksudnya: “Tiap-tiap yang bernyawa akan merasai mati.”

(Surah Ali ‘Imran: 185)

Allahyarham Tun Dr Siti Hasmah telah menyelesaikan perjalanan hidupnya pada usia satu abad.

Semoga segala khidmat dan kebaikan yang ditinggalkan menjadi amal yang diterima Allah SWT, dan semoga Allahyarham ditempatkan dalam kalangan orang-orang yang beriman.

Sumber: Berita RTM, Bernama, Perdana Leadership Foundation,

BACA JUGA: Tun Dr Siti Hasmah Meninggal Dunia Pada Usia 100 Tahun, Berakhir Perjalanan Hidup Seorang Tokoh Negara

BACA JUGA: Sebelum Pemergian, Tun Dr Siti Hasmah Banyak Bercerita Tentang Tuhan, Alam Baqa & Padang Mahsyar

Ikuti kami, Waktu Solat Malaysia di semua platform untuk dapatkan lebih banyak info bermanfaat:

Facebook: https://www.facebook.com/waktusolatmsia

Instagram: https://www.instagram.com/waktusolatmy

X: https://x.com/WaktuSolatMsia

WhatsApp Channel: https://whatsapp.com/channel/0029Va9S1HR6xCSNywYivK28

Telegram: https://t.me/waktusolat_my

TikTok: https://www.tiktok.com/@waktusolatmy

Threads: https://www.threads.com/@waktusolatmy

YouTube: https://www.youtube.com/channel/UCNBD0UlKUCbUHm-VmXWozEw

Muat turun aplikasi Waktu Solat Malaysia melalui App Store atau Play Store hari ini.

Waktu Solat Malaysia memperkenalkan Kotak Luahan, ruang selamat dan ‘anonymous’ untuk anda berkongsi pertanyaan, keresahan, pengetahuan atau pandangan berkaitan agama dan kehidupan.

Luahkan di: https://www.waktusolat.digital/kotak-luahan/

Kerana kadang-kadang, meluah itu membuat hati rasa lega!

Sekiranya anda ada maklum balas anda tentang portal, artikel dan topik di Waktu Solat Malaysia, hantar ke: https://forms.gle/cKnytmoA25T33hth9.