Doktor lelaki yang perlu melihat atau menyentuh aurat wanita ketika membantu proses kelahiran sering menimbulkan kerisauan, khususnya kepada pasangan Muslim yang mahu menjaga batas aurat tetapi pada masa sama perlu memastikan keselamatan ibu dan bayi.

Hukum asal dalam Islam ialah seorang lelaki ajnabi tidak dibenarkan melihat atau menyentuh aurat wanita tanpa keperluan yang dibenarkan syarak.

Namun, bagaimana jika ketika bersalin hanya ada doktor pakar lelaki atau keadaan ibu memerlukan rawatan segera?

Jawatankuasa Penyelidik Isu-Isu Kontemporari Islam Negeri Sembilan (JPIKINS), Jabatan Mufti Kerajaan Negeri, Negeri Sembilan menjelaskan bahawa terdapat kelonggaran apabila melibatkan keperluan perubatan dengan syarat-syarat tertentu.

Hukum Doktor Lelaki Melihat Aurat Wanita Bersalin

Pada hukum asal, doktor lelaki tidak boleh melihat atau menyentuh kemaluan pesakit wanita sekiranya tidak mempunyai keperluan perubatan yang mengharuskannya.

Allah SWT berfirman:

قُلْ لِلْمُؤْمِنِينَ يَغُضُّوا مِنْ أَبْصَارِهِمْ وَيَحْفَظُوا فُرُوجَهُمْ ۚ ذَٰلِكَ أَزْكَىٰ لَهُمْ

Maksudnya: “Katakanlah kepada lelaki-lelaki yang beriman supaya mereka menyekat pandangan mereka dan memelihara kehormatan mereka. Yang demikian itu lebih suci bagi mereka.”

(Surah al-Nur: 30)

Namun dalam bidang perubatan, hukum tersebut mempunyai pengecualian apabila wujud hajat atau keadaan mendesak yang memerlukan pemeriksaan dan rawatan.

Ini termasuk keadaan doktor lelaki perlu membantu proses kelahiran apabila tiada doktor wanita yang sesuai, terdapat keperluan terhadap kepakarannya atau keadaan pesakit memerlukan tindakan perubatan.

Bila Doktor Lelaki Dibenarkan Membantu Kelahiran?

Menurut penjelasan JPIKINS, apabila wanita yang hendak bersalin berdepan keadaan yang boleh membawa kemudaratan, kekurangan doktor pakar wanita atau kemampuan kewangan keluarga yang terhad, doktor lelaki boleh memberikan rawatan mengikut kadar yang diperlukan.

Prinsip ini berdasarkan kaedah fiqh:

الضَّرُورَاتُ تُبِيحُ الْمَحْظُورَاتِ

Maksudnya: “Keadaan darurat mengharuskan perkara-perkara yang dilarang.”

Namun keharusan tersebut bukan lesen untuk membuka keseluruhan aurat tanpa batas.

Ia perlu disertai kaedah:

الضَّرُورَاتُ تُقَدَّرُ بِقَدَرِهَا

Maksudnya: “Darurat itu ditentukan mengikut kadar keperluannya.”

Ertinya, doktor lelaki hanya dibenarkan melihat atau menyentuh bahagian yang diperlukan untuk pemeriksaan dan rawatan. Bahagian tubuh lain yang tidak berkaitan hendaklah terus ditutup sekadar yang mampu.

Jika memadai pemeriksaan atau sentuhan dilakukan secara berlapik, maka batas tersebut hendaklah dijaga.

Doktor Lelaki Perlu Jaga Batas Ketika Rawatan

Kitab Kifayah al-Akhyar turut memberikan perhatian khusus terhadap pendedahan aurat ketika rawatan:

وَاعْلَمْ أَنَّ أَصْلَ الْحَاجَةِ كَانَ فِي النَّظَرِ إِلَى الْوَجْهِ وَالْيَدَيْنِ، وَفِي النَّظَرِ إِلَى بَقِيَّةِ الْأَعْضَاءِ يُعْتَبَرُ تَأَكُّدُ الْحَاجَةِ، وَفِي النَّظَرِ إِلَى السَّوْأَتَيْنِ يُعْتَبَرُ مَزِيدُ تَأَكُّدِ الْحَاجَةِ

Maksudnya secara ringkas, keperluan melihat anggota tubuh hendaklah dinilai berdasarkan tahap keperluannya, manakala melihat kemaluan memerlukan keperluan yang lebih kuat dan penjagaan yang lebih ketat.

Dalam rawatan melibatkan doktor lelaki, pesakit wanita juga hendaklah ditemani suami, mahram atau wanita yang dipercayai apabila keadaan mengizinkan.

Perkara ini selari dengan penjelasan fuqaha Syafi‘iyyah bahawa rawatan berlainan jantina dibenarkan apabila diperlukan, tetapi batas pergaulan dan aurat masih perlu dijaga.

Ada Doktor Wanita, Masih Boleh Pilih Doktor Lelaki?

Secara asasnya, jika terdapat doktor wanita yang mempunyai kepakaran yang diperlukan dan keadaan membolehkan pesakit memilih, doktor wanita hendaklah diutamakan.

Mufti Wilayah Persekutuan turut menjelaskan keutamaan rawatan pesakit wanita diberikan kepada doktor wanita terlebih dahulu.

Doktor lelaki menjadi pilihan apabila terdapat keperluan terhadap rawatan atau kepakarannya serta apabila pilihan doktor wanita tidak tersedia atau sukar diperoleh.

Namun keadaan sebenar proses bersalin juga perlu diambil kira.

Ada situasi kelahiran yang berubah dengan pantas sehingga keselamatan ibu atau bayi memerlukan tindakan segera.

Dalam keadaan sedemikian, menjaga nyawa dan mengelakkan kemudaratan perlu diberikan keutamaan.

Oleh itu, hukum rawatan oleh doktor lelaki tidak boleh dinilai hanya berdasarkan jantina doktor tanpa melihat keadaan sebenar pesakit, kepakaran yang diperlukan dan pilihan yang tersedia.

Suami Dayus Jika Doktor Lelaki Sambut Kelahiran?

Persoalan ini juga sering merisaukan para suami.

Suami tidak dianggap dayus semata-mata kerana isterinya dirawat atau proses kelahirannya dikendalikan doktor lelaki apabila terdapat keperluan yang dibenarkan syarak.

Mufti Wilayah Persekutuan turut menjelaskan bahawa suami tidak dianggap dayus apabila tidak mempunyai kemampuan kewangan atau ruang untuk memilih doktor wanita ketika isterinya sedang melalui proses kelahiran.

Bagi mereka yang mempunyai pilihan dan kemampuan pula, usaha mendapatkan doktor wanita adalah sesuatu yang digalakkan bagi menjaga aurat dan keselesaan isteri.

Kesimpulannya, hukum asal doktor lelaki melihat atau menyentuh aurat wanita ajnabi adalah dilarang.

Namun syarak memberikan kelonggaran apabila terdapat keperluan perubatan, termasuk ketika proses bersalin.

Kelonggaran itu mesti mengikut kadar yang diperlukan sahaja, aurat lain hendaklah dijaga, dan doktor wanita perlu diutamakan apabila pilihan yang sesuai tersedia.

Islam menjaga kehormatan dan aurat seorang wanita, tetapi pada masa yang sama syariat turut mengambil kira keselamatan, kesukaran, kemampuan serta keperluan menyelamatkan ibu dan bayi.

Sumber: Facebook Menjawab Kemusykilan Agama

BACA JUGA: Ustaz Azhar Idrus Hurai Hukum Sebenar Doktor Lelaki Sambut Wanita Bersalin Dalam Islam, Boleh Ke?

BACA JUGA: Isteri Bersalin Dibantu Doktor Lelaki, Adakah Suami Dayus? Mufti Jelaskan Hukum Sebenar Ketika Darurat

Ikuti kami, Waktu Solat Malaysia di semua platform untuk dapatkan lebih banyak info bermanfaat:

Facebook: https://www.facebook.com/waktusolatmsia

Instagram: https://www.instagram.com/waktusolatmy

X: https://x.com/WaktuSolatMsia

WhatsApp Channel: https://whatsapp.com/channel/0029Va9S1HR6xCSNywYivK28

Telegram: https://t.me/waktusolat_my

TikTok: https://www.tiktok.com/@waktusolatmy

Threads: https://www.threads.com/@waktusolatmy

YouTube: https://www.youtube.com/channel/UCNBD0UlKUCbUHm-VmXWozEw

Muat turun aplikasi Waktu Solat Malaysia melalui App Store atau Play Store hari ini.

Waktu Solat Malaysia memperkenalkan Kotak Luahan, ruang selamat dan ‘anonymous’ untuk anda berkongsi pertanyaan, keresahan, pengetahuan atau pandangan berkaitan agama dan kehidupan.

Luahkan di: https://www.waktusolat.digital/kotak-luahan/

Kerana kadang-kadang, meluah itu membuat hati rasa lega!

Sekiranya anda ada maklum balas anda tentang portal, artikel dan topik di Waktu Solat Malaysia, hantar ke: https://forms.gle/cKnytmoA25T33hth9.