Kekeliruan mengenai solat sunat selepas Asar sering menimbulkan persoalan dalam kalangan umat Islam yang mahu memahami sunnah Rasulullah SAW dengan tepat.
Persoalan timbul apabila waktu selepas Asar diketahui sebagai antara waktu larangan mendirikan solat sunat, sedangkan terdapat riwayat sahih yang menyebut bahawa Rasulullah SAW pernah melazimi solat sunat selepas Asar di rumah Baginda.
Justeru, bagi merungkai kekeliruan ini, para ulama menghimpunkan dan meneliti keseluruhan hadis berkaitan agar setiap dalil difahami mengikut konteksnya tanpa berlaku percanggahan dalam amalan.
Dalil Hadis Yang Menunjukkan Nabi Melakukan Solat Sunat Selepas Asar
Persoalan ini timbul kerana terdapat beberapa riwayat sahih yang mengesahkan bahawa Baginda SAW pernah mendirikan dua rakaat selepas solat Asar.
Antaranya adalah hadis daripada Ummu Salamah R.Anha yang menceritakan peristiwa awal bagaimana Baginda SAW melakukan solat sunat selepas Asar:
شُغِلَ رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم عَنِ الرَّكْعَتَيْنِ قَبْلَ الْعَصْرِ فَصَلاَّهُمَا بَعْدَ الْعَصْرِ
Maksudnya: “(Suatu hari) Rasulullah SAW tidak sempat solat dua rakaat sebelum Asar (qabliyah Zohor/Asar), maka Baginda menggantikannya selepas Asar.” (Riwayat al-Nasa’i)
Bukan itu sahaja, Saidatina Aisyah R.Anha juga menegaskan bahawa amalan solat sunat selepas Asar ini menjadi kelaziman rutin harian Baginda Nabi SAW di rumah:
وَالَّذِي ذَهَبَ بِهِ مَا تَرَكَهُمَا حَتَّى لَقِيَ اللَّهَ، وَمَا لَقِيَ اللَّهَ تَعَالَى حَتَّى ثَقُلَ عَنِ الصَّلاَةِ، وَكَانَ يُصَلِّي كَثِيرًا مِنْ صَلاَةِهِ قَاعِدًا ـ تَعْنِي الرَّكْعَتَيْنِ بَعْدَ الْعَصْرِ ـ وَكَانَ النَّبِيُّ صلى الله عليه وسلم يُصَلِّيهِمَا، وَلاَ يُصَلِّيهِمَا فِي الْمَسْجِدِ مَخَافَةَ أَنْ يُثَقِّلَ عَلَى أُمَّتِهِ، وَكَانَ يُحِبُّ مَا يُخَفَّفُ عَنْهُمْ
Maksudnya: “Demi Allah yang telah mencabut nyawa Nabi, Baginda tidak pernah meninggalkan dua rakaat selepas Asar sehingga Baginda bertemu dengan Allah SWT, dan Baginda tidak bertemu dengan Allah hingga berasa sukar baginya untuk solat dalam keadaan berdiri. Maka kebiasaannya Baginda solat sunat selepas Asar dalam keadaan duduk. Baginda juga solat di rumah dan tidak pernah solat di masjid kerana bimbang akan memberatkan umatnya, dan adalah Baginda suka untuk meringankan umat Baginda.” (Riwayat al-Bukhari)
Keterangan ini turut diperkuatkan melalui riwayat al-Aswad dan Masruq daripada Saidatina Aisyah RA.
Beliau menyatakan bahawa Rasulullah SAW tidak pernah meninggalkan solat sunat selepas Asar sebanyak dua rakaat.
Dalil Larangan Melakukan Solat Sunat Selepas Asar
Walaupun terdapat riwayat yang menunjukkan Baginda menunaikan solat ini, terdapat juga hadis sahih yang melarang umat Islam daripada melakukan sebarang solat sunat selepas Asar secara mutlak.
Daripada Abu Sa’id al-Khudri RA, Rasulullah SAW bersabda:
لاَ صَلاَةَ بَعْدَ الصُّبْحِ حَتَّى تَرْتَفِعَ الشَّمْسُ ، وَلاَ صَلاَةَ بَعْدَ العَصْرِ حَتَّى تَغِيبَ الشَّمْسُ
Maksudnya: “Tiada solat selepas Subuh sehinggalah matahari naik, dan tiada solat selepas Asar sehingga matahari terbenam.” (Riwayat al-Bukhari)
Hadis larangan ini menjadi dasar hukum utama dalam mazhab fiqah bahawa waktu selepas Asar sehingga terbenam matahari adalah waktu makruh tahrim (dilarang) untuk mendirikan solat sunat mutlak.
Penjelasan Ulama Mengenai Khususiyyah Nabi Dalam Solat Sunat Selepas Asar

Bagi menghimpunkan dua dalil yang pada zahirnya kelihatan bertentangan, Imam Ibn Hajar al-‘Asqalani dan Imam al-Baihaqi menjelaskan bahawa amalan melazimi solat sunat selepas Asar secara berterusan (mudawamah) merupakan khususiyyah, iaitu keistimewaan yang dikhususkan kepada Rasulullah SAW dan tidak terpakai kepada umat Baginda secara umum.
Kenyataan ini diperkuatkan dengan hadis riwayat Abu Daud daripada Saidatina Aisyah R.Anha:
أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم كَانَ يُصَلِّي بَعْدَ الْعَصْرِ وَيَنْهَى عَنْهَا
Maksudnya: “Sesungguhnya Rasulullah SAW solat selepas Asar, dan melarang orang lain daripada melakukannya.” (Riwayat Abu Daud)
Imam Zakariyya al-Ansari juga menegaskan dalam kitab Asna al-Mathalib bahawa bertindak melakukan solat sunat selepas Asar secara berterusan adalah khususiyyah Nabi SAW.
Baginda melaziminya kerana sifat Rasulullah SAW yang apabila melakukan sesuatu amalan kebaikan, Baginda suka untuk mengekalkannya.
Oleh itu, bagi orang awam, mendirikan solat sunat selepas Asar tanpa sebarang sebab khusus secara berterusan adalah dilarang mengikut hukum asal waktu haram solat.
Pengecualian Solat Yang Diharuskan Selepas Waktu Asar
Walaupun solat sunat mutlak selepas Asar termasuk dalam larangan waktu solat, para ulama menjelaskan bahawa terdapat beberapa keadaan yang dikecualikan. Antaranya ialah:
- Mengqada solat sunat rawatib: Seseorang dibenarkan menggantikan solat sunat rawatib Zohor yang tertinggal kerana urusan tertentu selepas menunaikan solat Asar, sebagaimana yang pernah dilakukan oleh Rasulullah SAW.
- Menunaikan solat sunat bersebab: Solat yang mempunyai sebab tertentu (zawat al-asbab) seperti tahiyatul masjid, solat sunat wuduk, solat jenazah, solat gerhana dan solat sunat tawaf dibenarkan dalam keadaan yang ditetapkan oleh syarak.
Justeru, keharusan menunaikan solat sunat selepas Asar terpakai apabila terdapat sebab yang jelas.
Ia berbeza daripada solat sunat mutlak yang dilakukan tanpa sebarang sebab dalam waktu larangan.
Kesimpulan Hukum Solat Sunat Selepas Asar
Kesimpulannya, hukum asal menunaikan solat sunat selepas Asar tanpa sebab adalah dilarang kerana termasuk dalam waktu tegahan solat.
Amalan Rasulullah SAW melazimi dua rakaat selepas Asar pula dijelaskan sebagai khususiyyah Baginda, yang pada asalnya bermula sebagai qada solat sunat Zohor yang tertinggal.
Namun, solat sunat bersebab seperti mengqada rawatib yang tertinggal atau menunaikan tahiyatul masjid tetap dibenarkan berdasarkan perincian hukum yang ditetapkan.
Kefahaman ini penting agar setiap ibadah dapat dilaksanakan dengan yakin serta bertepatan dengan sunnah Rasulullah SAW.
Sumber: Jabatan Mufti Wilayah Persekutuan
Ikuti kami, Waktu Solat Malaysia di semua platform untuk dapatkan lebih banyak info bermanfaat:
Facebook: https://www.facebook.com/waktusolatmsia
Instagram: https://www.instagram.com/waktusolatmy
X: https://x.com/WaktuSolatMsia
WhatsApp Channel: https://whatsapp.com/channel/0029Va9S1HR6xCSNywYivK28
Telegram: https://t.me/waktusolat_my
TikTok: https://www.tiktok.com/@waktusolatmy
Threads: https://www.threads.com/@waktusolatmy
YouTube: https://www.youtube.com/channel/UCNBD0UlKUCbUHm-VmXWozEw
Muat turun aplikasi Waktu Solat Malaysia melalui App Store atau Play Store hari ini.
Waktu Solat Malaysia memperkenalkan Kotak Luahan, ruang selamat dan ‘anonymous’ untuk anda berkongsi pertanyaan, keresahan, pengetahuan atau pandangan berkaitan agama dan kehidupan.
Luahkan di: https://www.waktusolat.digital/kotak-luahan/
Kerana kadang-kadang, meluah itu membuat hati rasa lega!
Sekiranya anda ada maklum balas anda tentang portal, artikel dan topik di Waktu Solat Malaysia, hantar ke: https://forms.gle/cKnytmoA25T33hth9.