Memasuki rumah ibadat agama lain sering menimbulkan persoalan dalam kalangan umat Islam, khususnya mualaf yang mempunyai ahli keluarga bukan Muslim.

Apabila adik kandung melangsungkan perkahwinan di gereja, timbul persoalan sama ada mereka boleh hadir bagi meraikan keluarga tanpa melanggar batas syarak.

Namun, Islam mengajar umatnya menjaga hubungan kekeluargaan dan berbuat baik kepada saudara bukan Muslim, di samping memelihara akidah serta batas agama.

Prinsip ini ditegaskan oleh Allah SWT dalam Surah al-Mumtahanah, ayat 8:

لَا يَنْهَاكُمُ اللَّهُ عَنِ الَّذِينَ لَمْ يُقَاتِلُوكُمْ فِي الدِّينِ وَلَمْ يُخْرِجُوكُمْ مِنْ دِيَارِكُمْ أَنْ تَبَرُّوهُمْ وَتُقْسِطُوا إِلَيْهِمْ إِنَّ اللَّهَ يُحِبُّ الْمُقْسِطِينَ

Maksudnya: “Allah tidak melarang kamu untuk berlaku baik dan berbuat adil terhadap orang-orang yang tidak perangimu kerana agama dan tidak mengusir kamu dari negerimu. Sesungguhnya Allah menyukai orang-orang yang berbuat adil.”

Pandangan Ulama Mengenai Hukum Memasuki Rumah Ibadat Bukan Islam

Para fuqaha membincangkan hukum seorang Muslim memasuki rumah ibadat bukan Islam dengan mengemukakan beberapa pandangan berdasarkan keadaan tempat tersebut serta tujuan kehadiran.

  1. Pandangan pertama ialah haram. Ulama Mazhab Syafie seperti Imam Syihabuddin al-Ramli dan Imam Ibn Hajar al-Haitami mengaitkan larangan ini dengan kewujudan patung atau berhala di dalam rumah ibadat berkenaan.
  2. Pandangan kedua ialah makruh. Sebahagian ulama Mazhab Hanafi, Hanbali dan Syafie berpandangan demikian atas alasan tempat tersebut menjadi perhimpunan syaitan atau mengandungi gambar makhluk bernyawa.
  3. Pandangan ketiga ialah harus. Antara ulama yang dinukilkan dalam perbahasan keharusan ini ialah Ibn Qudamah, al-Mardawi, Hasan al-Basri, Umar bin Abdul Aziz dan al-Auza‘i. Imam al-Khatib al-Syirbini turut menjelaskan keharusan memasuki rumah ibadat yang tidak mempunyai patung yang disembah.

Perbezaan ini menunjukkan bahawa hukum memasuki rumah ibadat bukan Islam perlu difahami dengan mengambil kira tujuan, keadaan tempat dan batas syarak.

Hukum Menghadiri Perkahwinan Keluarga Di Gereja

Dalam perbahasan jemputan walimah, ulama Mazhab Syafie dan Hanbali mengharuskan seorang Muslim menghadiri majlis perkahwinan bukan Muslim.

Kehadiran juga boleh menjadi sunat apabila melibatkan ahli keluarga atau jiran, atau membawa manfaat kepada dakwah Islam.

Bagaimanapun, keharusan menghadiri walimah perlu dibezakan daripada penyertaan dalam upacara keagamaan.

Kehadiran untuk menjaga hubungan kekeluargaan tidak bermaksud seseorang Muslim dibenarkan mengikuti ritual atau melakukan perkara yang bercanggah dengan akidah Islam.

Berdasarkan pandangan yang diharuskan, seorang Muslim boleh memasuki rumah ibadat bukan Islam bagi tujuan yang dibenarkan syarak, seperti berdakwah, berdialog, memenuhi undangan rasmi atau menghadiri majlis keluarga, dengan tetap menjaga batas agama.

Antara sandaran yang dikemukakan ialah perjanjian Saidina Umar al-Khattab RA dengan golongan bukan Muslim di bawah pemerintahan Islam, yang menetapkan bahawa umat Islam tidak dihalang daripada memasuki gereja mereka pada waktu siang atau malam.

Dalam perbahasan menjaga hubungan dengan keluarga bukan Muslim, turut dikemukakan riwayat Saidina Ali RA ketika kematian bapanya, Abu Talib:

قُلْتُ لِلنَّبِيِّ صلى الله عليه وسلم، إِنَّ عَمَّكَ الشَّيْخَ الضَّالَّ مَاتَ، فَمَنْ يُوَارِيهِ قَالَ ‏:‏‏ اذْهَبْ فَوارِ أَبَاكَ

Maksudnya: Aku berkata kepada Nabi SAW: “Sesungguhnya bapa saudaramu yang tua dan sesat itu telah meninggal dunia, siapakah yang akan mengebumikannya?” Nabi SAW bersabda: “Pergilah dan kebumikanlah bapa mu.” (Riwayat Abu Daud & An-Nasa’i)

Jika urusan pengebumian di rumah ibadat atau kawasan perkuburan bukan Muslim yang mempunyai unsur ritual keagamaan pun diharuskan atas dasar kekeluargaan, maka majlis perkahwinan adalah lebih utama untuk diharuskan.

Batasan Syarak Apabila Berada Di Rumah Ibadat Bukan Islam

rumah ibadat

Meskipun syariat Islam membenarkan kehadiran ke rumah ibadat bagi merayakan majlis perkahwinan keluarga, terdapat garis panduan serta batasan syarak yang wajib dipatuhi oleh setiap Muslim agar akidah sentiasa terpelihara:

  1. Tidak Terlibat Ritual Keagamaan: Kehadiran mestilah terbatas sebagai tetamu biasa dan dilarang sama sekali menyertai ritual keagamaan seperti membaca doa, mengiringi pengantin di altar, atau memakai simbol keagamaan lain di dalam rumah ibadat.
  2. Menjaga Syariat dan Perlakuan: Wajib menjauhi sebarang perbuatan maksiat atau amalan yang bertentangan dengan syarak seperti meminum arak, menari, dan pergaulan bebas lelaki dan wanita sepanjang berada di rumah ibadat.
  3. Mengelak Hari Perayaan Agama: Elakkan daripada mengunjungi rumah ibadat khusus pada hari perayaan utama mereka. Saidina Umar R.A pernah mengingatkan: “Janganlah kamu menemui orang musyrik di rumah ibadat mereka pada hari raya mereka kerana kemurkaan Allah turun ke atas mereka.” (Riwayat Al-Baihaqi)

Justeru, menerusi konsep fiqh al-ta’ayush (keharmonian hidup bersama) yang diamalkan oleh institusi fatwa antarabangsa seperti Darul Iftaa’ Mesir menekankan bahawa kebenaran melangkah ke rumah ibadat untuk urusan kekeluargaan dan kemanusiaan adalah cerminan keindahan Islam.

Selagi batasan agama dijaga dengan cermat, kehadiran anda di rumah ibadat demi menghormati adik kandung bukan sahaja memenuhi tuntutan silaturahim, malah menjadi medan menampakkan akhlak Islam yang murni kepada keluarga tercinta.

Sumber: Jabatan Mufti Wilayah Persekutuan

BACA JUGA: Umat Islam Dilarang Sertai Gotong-Royong Bersihkan Rumah Ibadat Agama Lain, JAKIM Jelaskan Batas Toleransi Dalam Islam

BACA JUGA: Orang Islam Boleh Ke Sertai Ritual Thaipusam? Ini Penjelasan Hukum & Batas Yang Ditetapkan Susulan Isu Tular

Ikuti kami, Waktu Solat Malaysia di semua platform untuk dapatkan lebih banyak info bermanfaat:

Facebook: https://www.facebook.com/waktusolatmsia

Instagram: https://www.instagram.com/waktusolatmy

X: https://x.com/WaktuSolatMsia

WhatsApp Channel: https://whatsapp.com/channel/0029Va9S1HR6xCSNywYivK28

Telegram: https://t.me/waktusolat_my

TikTok: https://www.tiktok.com/@waktusolatmy

Threads: https://www.threads.com/@waktusolatmy

YouTube: https://www.youtube.com/channel/UCNBD0UlKUCbUHm-VmXWozEw

Muat turun aplikasi Waktu Solat Malaysia melalui App Store atau Play Store hari ini.

Waktu Solat Malaysia memperkenalkan Kotak Luahan, ruang selamat dan ‘anonymous’ untuk anda berkongsi pertanyaan, keresahan, pengetahuan atau pandangan berkaitan agama dan kehidupan.

Luahkan di: https://www.waktusolat.digital/kotak-luahan/

Kerana kadang-kadang, meluah itu membuat hati rasa lega!

Sekiranya anda ada maklum balas anda tentang portal, artikel dan topik di Waktu Solat Malaysia, hantar ke: https://forms.gle/cKnytmoA25T33hth9.