(Sumber: Kosmo)


Seorang penceramah bebas berusia 39 tahun kini terlibat dalam siasatan selepas polis merekodkan keterangan lima saksi, termasuk keempat-empat isterinya, berhubung dakwaan penyebaran video seks yang memaparkan dirinya bersama mereka serta gambar-gambar aib wanita lain. Suspek ditahan pada 1 Julai lalu dan direman selama empat hari sebelum dibebaskan dengan ikat jamin.


Laporan polis dibuat oleh isteri keduanya pada 16 Jun apabila mendakwa video dan gambar tersebut telah diedarkan tanpa keizinannya. Ketika tangkapan dilakukan, polis merampas dua telefon pintar dan sebuah komputer riba milik suspek yang turut mengandungi bukti digital kes tersebut. Tauliah penceramah bebas ini juga dikatakan telah ditarik, ianya dilaporkan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Mohd Na’im Mokhtar.


Kes seorang penceramah bebas menyebarkan video seks bersama isterinya ini bukan sahaja mengejutkan masyarakat, malah mencalarkan imej institusi dakwah itu sendiri. Individu yang sepatutnya menjadi contoh kepada umat, kini menjadi bukti betapa ilmu tanpa taqwa hanya akan membawa kehancuran, bukan petunjuk.


Penyebaran video yang sepatutnya menjadi rahsia rumah tangga bukan sekadar soal undang-undang, ia soal maruah, amanah dan harga diri. Islam meletakkan kehormatan seorang wanita, apatah lagi isteri, pada kedudukan yang sangat tinggi. Rasulullah SAW sendiri juga memesan agar kaum lelaki menjaga isteri mereka dengan penuh kasih sayang dan adab. Maka apabila seorang suami menjadikan isterinya bahan tontonan dan bahan ‘content’, di mana letaknya tanggungjawab sebagai pelindung dan pemimpin keluarga?


Lebih menyedihkan, perkara ini berlaku atas nama penceramah, seseorang yang lidahnya menuturkan nasihat agama, tetapi tindakannya menghina nilai Islam itu sendiri. Dalam era media sosial, kita mudah terpedaya dengan penampilan dan retorik. Namun kes ini menjadi pengajaran besar bahawa dakwah bukan sekadar ucapan manis, tetapi keperibadian yang jujur dan takut pada Allah walau ketika tiada kamera yang merakam.


Kita semua perlu ambil iktibar. Dunia hari ini tidak memerlukan lebih banyak penceramah, tetapi lebih ramai yang benar-benar hidup dengan nilai Islam. Maruah bukan milik diri sahaja, tetapi melibatkan seluruh keluarga dan masyarakat. Jika akhlak tidak dijaga, ilmu hanya akan jadi senjata makan tuan. Moga kisah ini menjadi pengajaran & iktibar untuk kita semua sebagai umat islam.


Sumber: Astro Awani