Kekal istiqamah dalam ibadah bukan sesuatu yang mudah, terutama apabila kita perlu membahagikan masa antara pekerjaan, keluarga dan tanggungjawab harian.

Pernahkah kita bersemangat membaca al-Quran, berzikir atau melakukan solat sunat pada awalnya, tetapi beberapa hari kemudian amalan tersebut semakin berkurangan?

Ada kalanya bukan kerana kita tidak mahu beribadah, sebaliknya kesibukan dan keletihan menyebabkan amalan yang dirancang sukar diteruskan.

Namun, untuk kekal istiqamah, kita tidak semestinya perlu memulakan semuanya dengan amalan yang banyak.

Apa yang lebih penting ialah membina kebiasaan yang mampu dilakukan secara berterusan.

Berikut lima langkah praktikal yang boleh membantu kita menjaga amalan harian tanpa menjadikannya beban.

1. Buat & Tampal Checklist Untuk Kekal Istiqamah Mengikut Rutin

Jangan bergantung sepenuhnya pada ingatan untuk melakukan zikir atau membaca al-Quran.

Sediakan senarai semak amalan dan letakkan di tempat yang mudah dilihat, seperti meja kerja, ruang belajar atau berhampiran tempat solat.

Contohnya, tuliskan amalan zikir pagi, membaca al-Quran dan istighfar mengikut waktu yang sesuai.

Peringatan kecil ini boleh membantu kita kekal istiqamah walaupun jadual harian berubah.

Allah SWT berfirman:

فَاذْكُرُونِي أَذْكُرْكُمْ وَاشْكُرُوا لِي وَلَا تَكْفُرُونِ

Maksudnya: “Oleh itu, ingatlah kamu kepada-Ku, nescaya Aku ingat kepadamu; dan bersyukurlah kamu kepada-Ku dan janganlah kamu kufur.” (Surah al-Baqarah: 152)

Ayat ini mengingatkan umat Islam tentang kepentingan mengingati Allah dalam kehidupan seharian.

2. Mulakan Sedikit Amalan Untuk Kekal Istiqamah Secara Berperingkat

Antara kesilapan yang sering berlaku ialah menetapkan terlalu banyak amalan pada permulaan sehingga akhirnya berasa terbeban.

Sebaliknya, mulakan dengan sesuatu yang mudah, seperti membaca satu muka surat al-Quran, beristighfar atau melakukan solat sunat dua rakaat.

Rasulullah SAW bersabda:

أَحَبُّ الْأَعْمَالِ إِلَى اللَّهِ أَدْوَمُهَا وَإِنْ قَلَّ

Maksudnya: “Amalan yang paling dicintai Allah ialah amalan yang berterusan walaupun sedikit.” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Hadis ini menjadi panduan penting untuk kekal istiqamah kerana nilai sesuatu amalan bukan semata-mata bergantung pada kuantitinya.

Apabila amalan kecil sudah menjadi kebiasaan, barulah tambahkan amalan lain secara berperingkat mengikut kemampuan.

3. Tetapkan Jam Penggera Peringatan Supaya Kekal Istiqamah Beribadah

Telefon pintar yang sering digunakan untuk membaca mesej dan melayari media sosial juga boleh dimanfaatkan sebagai alat peringatan ibadah.

Tetapkan penggera dengan nama khusus seperti ‘Zikir Selepas Subuh’, ‘Baca al-Quran’ atau ‘Zikir Petang’.

Langkah ini membantu kita kekal istiqamah kerana waktu beramal sudah dimasukkan dalam rutin harian, bukan sekadar menunggu masa lapang.

Allah SWT berfirman:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا اذْكُرُوا اللَّهَ ذِكْرًا كَثِيرًا

Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman, ingatlah serta sebutlah nama Allah dengan ingatan serta sebutan yang sebanyak-banyaknya.” (Surah al-Ahzab: 41)

Walaupun penggera hanyalah alat bantuan, ia boleh menjadi peringatan untuk kembali mengingati Allah di tengah-tengah kesibukan.

4. Wujudkan ‘Group WhatsApp’ Untuk Saling Membantu Kekal Istiqamah

Kadangkala, sokongan daripada orang sekeliling boleh membantu seseorang meneruskan amalan yang sering tertangguh.

Wujudkan kumpulan WhatsApp kecil bersama keluarga atau sahabat untuk saling mengingatkan tentang zikir, bacaan al-Quran dan amalan sunat.

Boleh juga gunakan fungsi undian atau senarai semak, tetapi pastikan perkongsian dibuat secara sukarela tanpa mendedahkan amalan peribadi secara berlebihan.

Allah SWT berfirman:

وَتَعَاوَنُوا عَلَى الْبِرِّ وَالتَّقْوَىٰ

Maksudnya: “Dan hendaklah kamu bertolong-tolongan untuk membuat kebajikan dan bertakwa.” (Surah al-Ma’idah: 2)

Prinsip saling membantu ini boleh diamalkan untuk kekal istiqamah, asalkan niat dijaga dan tidak menjadikan ibadah sebagai pertandingan.

5. Sediakan Bahan Bacaan Yang Mudah Dibawa Untuk Kekal Istiqamah

kekal istiqamah

Ada kalanya seseorang mahu berzikir tetapi terlupa bacaan atau tidak mempunyai bahan rujukan ketika berada di luar rumah.

Oleh itu, simpan bahan bacaan zikir, doa harian atau al-Quran dalam bentuk buku kecil mahupun aplikasi telefon.

Dengan bahan yang mudah dicapai, usaha untuk kekal istiqamah menjadi lebih praktikal, sama ada ketika berehat di pejabat atau menunggu giliran urusan harian.

Allah SWT berfirman:

الَّذِينَ يَذْكُرُونَ اللَّهَ قِيَامًا وَقُعُودًا وَعَلَىٰ جُنُوبِهِمْ

Maksudnya: “Iaitu orang-orang yang menyebut dan mengingati Allah semasa mereka berdiri dan duduk dan semasa mereka berbaring mengiring.” (Surah Ali ‘Imran: 191)

Ayat ini menggambarkan bahawa mengingati Allah tidak terbatas pada satu keadaan sahaja.

Akhirnya, usaha untuk kekal istiqamah tidak bermaksud kita tidak akan pernah terlupa atau terlepas melakukan amalan sunat.

Jika terhenti sehari, sambung semula keesokan harinya. Jangan biarkan satu kekurangan menyebabkan kita meninggalkan keseluruhan usaha.

Mulakan dengan kemampuan sendiri, perbaiki sedikit demi sedikit dan terus memohon pertolongan Allah agar hati sentiasa teguh dalam ketaatan.

Sumber: ustazahasmaharun

BACA JUGA: 6 Amalan Sunnah Mudah Yang Selalu Kita Terlepas Setiap Hari Tanpa Sedar

BACA JUGA: Baru Nak Jaga Solat Awal Waktu? Ikut 7 Amalan Mudah Ini Pasti Konsisten

Ikuti kami, Waktu Solat Malaysia di semua platform untuk dapatkan lebih banyak info bermanfaat:

Facebook: https://www.facebook.com/waktusolatmsia

Instagram: https://www.instagram.com/waktusolatmy

X: https://x.com/WaktuSolatMsia

WhatsApp Channel: https://whatsapp.com/channel/0029Va9S1HR6xCSNywYivK28

Telegram: https://t.me/waktusolat_my

TikTok: https://www.tiktok.com/@waktusolatmy

Threads: https://www.threads.com/@waktusolatmy

YouTube: https://www.youtube.com/channel/UCNBD0UlKUCbUHm-VmXWozEw

Muat turun aplikasi Waktu Solat Malaysia melalui App Store atau Play Store hari ini.

Waktu Solat Malaysia memperkenalkan Kotak Luahan, ruang selamat dan ‘anonymous’ untuk anda berkongsi pertanyaan, keresahan, pengetahuan atau pandangan berkaitan agama dan kehidupan.

Luahkan di: https://www.waktusolat.digital/kotak-luahan/

Kerana kadang-kadang, meluah itu membuat hati rasa lega!

Sekiranya anda ada maklum balas anda tentang portal, artikel dan topik di Waktu Solat Malaysia, hantar ke: https://forms.gle/cKnytmoA25T33hth9.