Solat Isyak yang dilakukan pada pukul 5 pagi mungkin menimbulkan keraguan, terutama bagi mereka yang terlelap akibat keletihan selepas seharian bekerja dan hanya tersedar menjelang waktu Subuh.

Ada juga yang sengaja melewatkan solat kerana mahu menunaikannya bersama ibadah tahajud pada penghujung malam.

Namun, sampai bilakah sebenarnya waktu Isyak berakhir?

Adakah solat yang dilakukan pada pukul 5 pagi masih dikira tunai atau sudah menjadi solat qada?

Menurut pandangan muktamad dalam mazhab Syafie, solat Isyak masih sah dilakukan selagi belum terbit fajar sadiq, iaitu sebelum masuknya waktu Subuh.

Bagaimanapun, terdapat perincian mengenai waktu terbaik dan hukum melewatkan solat yang perlu difahami oleh setiap Muslim.

Bilakah Waktu Solat Isyak Bermula Dan Berakhir?

Setiap solat fardu mempunyai waktu yang telah ditetapkan oleh syarak.

Mengetahui masuknya waktu solat juga merupakan antara syarat sah solat.

Allah SWT berfirman dalam Surah al-Nisa’, ayat 103:

فَإِذَا قَضَيْتُمُ الصَّلَاةَ فَاذْكُرُوا اللَّهَ قِيَامًا وَقُعُودًا وَعَلَىٰ جُنُوبِكُمْ ۚ فَإِذَا اطْمَأْنَنْتُمْ فَأَقِيمُوا الصَّلَاةَ ۚ إِنَّ الصَّلَاةَ كَانَتْ عَلَى الْمُؤْمِنِينَ كِتَابًا مَوْقُوتًا

Maksudnya: “Kemudian apabila kamu telah selesai mengerjakan sembahyang, maka hendaklah kamu menyebut dan mengingati Allah semasa kamu berdiri atau duduk dan semasa kamu berbaring. Kemudian apabila kamu telah merasa tenteram, maka dirikanlah sembahyang itu. Sesungguhnya sembahyang itu adalah satu ketetapan yang diwajibkan atas orang-orang yang beriman, yang tertentu waktunya.”

Waktu solat Isyak bermula apabila hilangnya mega merah di ufuk selepas matahari terbenam.

Bagaimanapun, terdapat tiga pandangan ulama mengenai waktu berakhirnya Isyak, iaitu:

  1. Berakhir pada penghujung sepertiga malam pertama.
  2. Berakhir pada pertengahan malam.
  3. Berakhir apabila terbit fajar sadiq, iaitu masuknya waktu Subuh.

Pandangan ketiga merupakan pendapat muktamad dalam mazhab Syafie.

Solat Isyak Pukul 5 Pagi Masih Dikira Tunai?

solat Isyak

Berdasarkan pandangan muktamad mazhab Syafie, solat Isyak yang dilakukan pada pukul 5 pagi masih sah dan dikira tunai sekiranya waktu Subuh belum masuk.

Sebagai contoh, sekiranya waktu Subuh di sesuatu kawasan bermula pada pukul 5.50 pagi, seseorang yang menunaikan Isyak pada pukul 5 pagi masih berada dalam waktu yang dibenarkan.

Namun, sekiranya waktu Subuh sudah masuk, solat tersebut perlu ditunaikan secara qada.

Oleh itu, penentuan sama ada waktu solat masih berbaki bukan bergantung pada angka jam semata-mata, sebaliknya berdasarkan waktu Subuh di lokasi masing-masing.

Umat Islam boleh menyemak jadual waktu solat mengikut zon melalui aplikasi atau laman web Waktu Solat Malaysia.

Bilakah Waktu Terbaik Menunaikan Solat Isyak?

Walaupun waktu Isyak berlanjutan sehingga masuknya waktu Subuh menurut mazhab Syafie, terdapat waktu ikhtiyar, iaitu waktu terbaik dan terpilih untuk menunaikannya.

Rasulullah SAW bersabda:

لَوْلَا أَنْ أَشُقَّ عَلَى أُمَّتِي لَأَمَرْتُهُمْ أَنْ يُؤَخِّرُوا الْعِشَاءَ إِلَى ثُلُثِ اللَّيْلِ أَوْ نِصْفِهِ

Maksudnya: “Sekiranya aku tidak bimbang akan memberatkan umatku, nescaya aku akan memerintahkan mereka melewatkan solat Isyak sehingga sepertiga malam atau separuh malam.” (Riwayat al-Tirmizi, 167)

Menurut mazhab Syafie, waktu ikhtiyar berakhir pada sepertiga malam pertama, manakala terdapat pandangan lain yang menetapkannya sehingga pertengahan malam.

Pertengahan malam dalam konteks ini bukan semestinya pukul 12 tengah malam, sebaliknya dikira berdasarkan tempoh antara waktu Maghrib dengan Subuh.

Hukum Sengaja Melewatkan Solat Isyak Sehingga Hampir Subuh

Meskipun masih sah, sengaja melewatkan solat sehingga hampir tamat waktunya tanpa sebarang keuzuran bukanlah amalan yang digalakkan.

Sebahagian ulama turut berpandangan bahawa makruh melewatkan solat Isyak sehingga melepasi pertengahan malam bagi mengelakkan khilaf.

Daripada Abdullah bin Mas’ud RA, beliau berkata:

سَأَلْتُ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَيُّ الْعَمَلِ أَحَبُّ إِلَى اللَّهِ؟ قَالَ الصَّلَاةُ عَلَى وَقْتِهَا

Maksudnya: “Aku bertanya kepada Nabi SAW: Apakah amalan yang paling disukai oleh Allah? Baginda menjawab: Menunaikan solat pada waktunya.” (Riwayat al-Bukhari, 527)

Justeru, meskipun solat Isyak pada pukul 5 pagi masih sah sekiranya belum masuk waktu Subuh, janganlah menjadikan perkara tersebut sebagai kebiasaan.

Dahulukan solat sebelum berehat atau tidur agar kewajipan terhadap Allah SWT tidak terabai.

Kita mungkin mampu merancang untuk bangun sebelum Subuh, tetapi belum tentu dapat terjaga seperti yang dirancang.

Sumber: Datuk Dr. Zulkifli Mohamad al-Bakri

BACA JUGA: Mengulang Solat Fardu Untuk Berjemaah Bersama Isteri, Boleh Ke? Ini Penjelasan Hukum & Status Solat Kedua

BACA JUGA: Solat Sunat Tasbih Selepas Maghrib Dilarang Ke? Ini Penjelasan Menurut Mazhab Syafie Tentang Waktu Pelaksanaannya

Ikuti kami, Waktu Solat Malaysia di semua platform untuk dapatkan lebih banyak info bermanfaat:

Facebook: https://www.facebook.com/waktusolatmsia

Instagram: https://www.instagram.com/waktusolatmy

X: https://x.com/WaktuSolatMsia

WhatsApp Channel: https://whatsapp.com/channel/0029Va9S1HR6xCSNywYivK28

Telegram: https://t.me/waktusolat_my

TikTok: https://www.tiktok.com/@waktusolatmy

Threads: https://www.threads.com/@waktusolatmy

YouTube: https://www.youtube.com/channel/UCNBD0UlKUCbUHm-VmXWozEw

Muat turun aplikasi Waktu Solat Malaysia melalui App Store atau Play Store hari ini.

Waktu Solat Malaysia memperkenalkan Kotak Luahan, ruang selamat dan ‘anonymous’ untuk anda berkongsi pertanyaan, keresahan, pengetahuan atau pandangan berkaitan agama dan kehidupan.

Luahkan di: https://www.waktusolat.digital/kotak-luahan/

Kerana kadang-kadang, meluah itu membuat hati rasa lega!

Sekiranya anda ada maklum balas anda tentang portal, artikel dan topik di Waktu Solat Malaysia, hantar ke: https://forms.gle/cKnytmoA25T33hth9.