Memandang tempat sujud ketika solat merupakan antara amalan sunat yang membantu seseorang menjaga tumpuan dan mencapai kekhusyukan ketika menghadap Allah SWT.
Namun, tidak dinafikan ada kalanya pandangan mata kita teralih ke arah lain tanpa disedari.
Ada yang memandang jam dinding, melihat pergerakan orang di sekeliling atau mendongak ke atas ketika berdoa dalam solat.
Keadaan ini menimbulkan persoalan, adakah solat seseorang masih sah sekiranya pandangan matanya tidak tertumpu pada tempat sujud?
Menurut pandangan masyhur dalam mazhab Syafie, tidak memandang tempat sujud kerana mengalihkan pandangan ke kiri, kanan atau ke atas tanpa keperluan adalah makruh, namun tidak membatalkan solat semata-mata kerana pergerakan mata tersebut.
Hukum Memandang Tempat Sujud Ketika Solat
Majoriti ulama berpandangan bahawa memandang tempat sujud ketika mendirikan solat merupakan amalan sunat yang membantu seseorang lebih fokus terhadap ibadahnya.
Imam Ibn Hajar al-Asqalani dalam kitab Fath al-Bari menukilkan kenyataan Muhammad Ibn Sirin mengenai para sahabat yang dahulunya sering mengalihkan pandangan ketika solat sehingga turunnya firman Allah SWT:
قَدْ أَفْلَحَ الْمُؤْمِنُونَ الَّذِينَ هُمْ فِي صَلَاتِهِمْ خَاشِعُونَ
Maksudnya: “Sesungguhnya berjayalah orang-orang yang beriman, iaitu mereka yang khusyuk dalam sembahyangnya.” (Surah al-Mu’minun, ayat 1-2)
Selepas itu, mereka memberikan lebih perhatian terhadap solat dan menggalakkan agar pandangan tidak melampaui tempat sujud.
Amalan memandang tempat sujud juga bertepatan dengan tuntutan supaya seseorang bersikap tunduk, tenang dan penuh penghayatan ketika beribadah.
Tidak Memandang Tempat Sujud Sebaliknya Mendongak Ke Atas, Apa Hukumnya?
Rasulullah SAW memberikan teguran keras terhadap perbuatan mengangkat pandangan ke langit ketika sedang mendirikan solat.
Daripada Anas bin Malik RA, beliau berkata bahawa Nabi SAW bersabda:
مَا بَالُ أَقْوَامٍ يَرْفَعُونَ أَبْصَارَهُمْ إِلَى السَّمَاءِ فِي صَلَاتِهِمْ
Maksudnya: “Apakah yang menyebabkan sesetengah kaum mengangkat pandangan mereka ke langit ketika sedang solat?”
Baginda kemudian menegaskan:
لَيَنْتَهُنَّ عَنْ ذَلِكَ أَوْ لَتُخْطَفَنَّ أَبْصَارُهُمْ
Maksudnya: “Hendaklah mereka berhenti daripada melakukan perkara tersebut atau penglihatan mereka akan disambar (dihilangkan).” (Riwayat al-Bukhari, 750)
Hadis ini menunjukkan larangan yang tegas terhadap perbuatan mendongak ke atas ketika solat.
Walau bagaimanapun, terdapat perbezaan pandangan ulama dalam menentukan hukumnya.
Pandangan masyhur dalam mazhab Syafie menetapkannya sebagai makruh, manakala sebahagian ulama berpandangan hukumnya haram.
Justeru, seseorang digalakkan memandang tempat sujud dan mengelakkan perbuatan mendongak tanpa keperluan.
Tak Memandang Tempat Sujud Kerana Melihat Ke Kiri Dan Kanan, Batal Ke Solat?

Selain mendongak, perbuatan mengalihkan pandangan ke kiri dan kanan tanpa keperluan juga bertentangan dengan adab ketika solat.
Daripada Aisyah RA, beliau berkata:
سَأَلْتُ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عَنِ الِالْتِفَاتِ فِي الصَّلَاةِ فَقَالَ هُوَ اخْتِلَاسٌ يَخْتَلِسُهُ الشَّيْطَانُ مِنْ صَلَاةِ الْعَبْدِ
Maksudnya: “Aku bertanya kepada Rasulullah SAW mengenai perbuatan menoleh ketika solat. Baginda bersabda: Ia merupakan suatu curian yang dilakukan oleh syaitan daripada solat seseorang hamba.” (Riwayat al-Bukhari, 751)
Hadis ini memperlihatkan bagaimana perbuatan menoleh tanpa keperluan boleh mengganggu kesempurnaan dan kekhusyukan solat.
Bagaimanapun, seseorang yang tidak memandang tempat sujud tidak perlu mengulangi solatnya semata-mata kerana pandangan matanya teralih.
Keadaan ini berbeza sekiranya seseorang memalingkan dadanya daripada arah kiblat tanpa keuzuran yang dibenarkan syarak kerana menghadap kiblat merupakan syarat sah solat.
Hikmah Memandang Tempat Sujud Untuk Menjaga Khusyuk
Amalan memandang tempat sujud membantu seseorang mengurangkan gangguan daripada keadaan di sekelilingnya.
Antara hikmah amalan ini termasuklah:
- Membantu meningkatkan tumpuan terhadap bacaan solat.
- Mengurangkan gangguan daripada pergerakan di sekeliling.
- Mendidik diri supaya lebih tunduk ketika menghadap Allah SWT.
- Membantu menjaga ketenangan dan adab sepanjang solat.
Namun, terdapat keadaan tertentu yang mempunyai panduan pandangan tersendiri.
Antaranya ketika membaca tahiyat, seseorang disunatkan memandang jari telunjuk ketika mengangkatnya menurut mazhab Syafie.
Kesimpulannya, memandang tempat sujud merupakan amalan sunat, manakala mengalihkan pandangan tanpa keperluan adalah makruh menurut pandangan masyhur mazhab Syafie.
Ini kerana, solat bukan sekadar menyempurnakan pergerakan dan bacaan, tetapi juga mendidik hati agar benar-benar hadir ketika menghadap Allah SWT.
Sumber: Jabatan Mufti Wilayah Persekutuan
Ikuti kami, Waktu Solat Malaysia di semua platform untuk dapatkan lebih banyak info bermanfaat:
Facebook: https://www.facebook.com/waktusolatmsia
Instagram: https://www.instagram.com/waktusolatmy
X: https://x.com/WaktuSolatMsia
WhatsApp Channel: https://whatsapp.com/channel/0029Va9S1HR6xCSNywYivK28
Telegram: https://t.me/waktusolat_my
TikTok: https://www.tiktok.com/@waktusolatmy
Threads: https://www.threads.com/@waktusolatmy
YouTube: https://www.youtube.com/channel/UCNBD0UlKUCbUHm-VmXWozEw
Muat turun aplikasi Waktu Solat Malaysia melalui App Store atau Play Store hari ini.
Waktu Solat Malaysia memperkenalkan Kotak Luahan, ruang selamat dan ‘anonymous’ untuk anda berkongsi pertanyaan, keresahan, pengetahuan atau pandangan berkaitan agama dan kehidupan.
Luahkan di: https://www.waktusolat.digital/kotak-luahan/
Kerana kadang-kadang, meluah itu membuat hati rasa lega!
Sekiranya anda ada maklum balas anda tentang portal, artikel dan topik di Waktu Solat Malaysia, hantar ke: https://forms.gle/cKnytmoA25T33hth9.