Puasa hari putih merupakan antara amalan sunat yang mudah dilakukan, namun ada kalanya kekangan kesihatan, kesibukan bekerja dan urusan keluarga menyebabkan kita tidak dapat menyempurnakannya selama tiga hari.
Keadaan ini mungkin menimbulkan persoalan dalam kalangan umat Islam, terutama mereka yang sedang berusaha membiasakan diri dengan amalan puasa sunat setiap bulan.
Pada asasnya, ibadah ini merupakan amalan sunat dan tidak menjadi kesalahan sekiranya seseorang tidak dapat menyempurnakan ketiga-tiga hari tersebut.
Apakah Maksud Puasa Hari Putih?
Puasa hari putih atau Ayyamul Bidh merupakan amalan berpuasa pada 13, 14 dan 15 hari bulan dalam kalendar Hijrah.
Hari-hari tersebut dinamakan hari putih kerana cahaya bulan yang terang pada waktu malam ketika bulan mengambang penuh atau hampir penuh.
Pensyariatan amalan ini berdasarkan hadis daripada Qatadah bin Milhan RA, katanya:
كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَأْمُرُنَا أَنْ نَصُومَ الْبِيضَ ثَلَاثَ عَشْرَةَ وَأَرْبَعَ عَشْرَةَ وَخَمْسَ عَشْرَةَ وَقَالَ هُنَّ كَهَيْئَةِ الدَّهْرِ
Maksudnya: “Rasulullah SAW menyuruh kami berpuasa pada hari-hari putih, iaitu 13, 14 dan 15 hari bulan. Baginda juga bersabda bahawa puasa tersebut seumpama berpuasa sepanjang tahun.” (Riwayat Abu Daud, 2449)
Hadis ini menunjukkan bahawa puasa hari putih merupakan antara amalan sunnah yang dianjurkan oleh Rasulullah SAW untuk dilakukan setiap bulan.
Bagaimanapun, umat Islam perlu mengambil perhatian bahawa tarikh tersebut merujuk kepada kalendar Hijrah, bukannya kalendar Masihi.
Puasa Hari Putih Tidak Cukup 3 Hari, Masih Dapat Pahala?
Sekiranya seseorang hanya mampu berpuasa selama satu atau dua hari, puasanya tetap sah dan insya-Allah diberikan pahala atas amalan yang dilakukan.
Ini kerana puasa hari putih bukanlah ibadah wajib yang mesti disempurnakan selama tiga hari.
Seseorang tidak berdosa sekiranya meninggalkan sebahagian daripada hari tersebut.
Allah SWT berfirman:
فَمَنْ يَعْمَلْ مِثْقَالَ ذَرَّةٍ خَيْرًا يَرَهُ
Maksudnya: “Maka sesiapa yang mengerjakan kebaikan seberat zarah, nescaya dia akan melihat (balasannya).” (Surah al-Zalzalah: 7)
Ayat ini mengingatkan kita bahawa setiap kebaikan yang dilakukan mempunyai nilai di sisi Allah SWT.
Walaupun tidak dapat menyempurnakan puasa hari putih selama tiga hari, seseorang masih berpeluang memperoleh ganjaran daripada puasa sunat yang dilakukannya.
Namun, menyempurnakan ketiga-tiga hari tersebut adalah lebih afdal kerana menepati anjuran khusus Rasulullah SAW.
Bolehkah Ganti Puasa Hari Putih Pada Hari Lain?
Seseorang yang terlepas salah satu daripada tarikh berkenaan tidak diwajibkan menggantikan puasa tersebut kerana ia merupakan amalan sunat.
Bagaimanapun, dia masih boleh berpuasa pada hari lain untuk memenuhi anjuran berpuasa tiga hari dalam sebulan.
Daripada Mu’azah al-Adawiyyah, beliau pernah bertanya kepada Aisyah RA:
أَكَانَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَصُومُ مِنْ كُلِّ شَهْرٍ ثَلَاثَةَ أَيَّامٍ؟ قَالَتْ نَعَمْ، فَقُلْتُ لَهَا مِنْ أَيِّ أَيَّامِ الشَّهْرِ كَانَ يَصُومُ؟ قَالَتْ لَمْ يَكُنْ يُبَالِي مِنْ أَيِّ أَيَّامِ الشَّهْرِ يَصُومُ
Maksudnya: “Adakah Rasulullah SAW berpuasa tiga hari setiap bulan? Aisyah menjawab: Ya. Aku bertanya lagi: Pada hari apakah dalam bulan tersebut Baginda berpuasa? Aisyah menjawab: Baginda tidak menentukan pada hari mana dalam bulan tersebut Baginda berpuasa.” (Riwayat Muslim, 1160)
Hadis ini menunjukkan bahawa amalan berpuasa tiga hari setiap bulan tidak semestinya terhad kepada tarikh 13, 14 dan 15 hari bulan Hijrah.
Namun, puasa yang dilakukan di luar tarikh tersebut dikira sebagai puasa sunat tiga hari dalam sebulan, bukan puasa hari putih secara khusus.
Perlu juga diingat bahawa 13 Zulhijjah merupakan hari Tasyrik yang dilarang berpuasa, kecuali bagi golongan tertentu yang diberikan rukhsah dalam ibadah haji.
Kelebihan Puasa Hari Putih Seumpama Berpuasa Sepanjang Tahun

Antara kelebihan puasa hari putih yang disebut dalam hadis ialah ganjarannya yang diumpamakan seperti berpuasa sepanjang tahun.
Rasulullah SAW bersabda:
صَوْمُ ثَلَاثَةِ أَيَّامٍ مِنْ كُلِّ شَهْرٍ صَوْمُ الدَّهْرِ كُلِّهِ
Maksudnya: “Berpuasa tiga hari setiap bulan adalah seperti berpuasa sepanjang tahun.” (Riwayat al-Bukhari, 1979)
Ganjaran ini dapat difahami berdasarkan prinsip bahawa setiap amalan kebaikan diberikan ganjaran sekurang-kurangnya sepuluh kali ganda.
Berpuasa tiga hari setiap bulan diumpamakan seperti berpuasa selama 30 hari. Apabila diamalkan secara konsisten sepanjang tahun, seseorang berpeluang memperoleh ganjaran sebagaimana yang disebut dalam hadis tersebut.
Oleh itu, sekiranya berkemampuan, usahakan untuk menyempurnakan puasa hari putih pada ketiga-tiga tarikh yang dianjurkan.
Semoga setiap ibadah yang dilakukan dengan ikhlas menjadi bekalan akhirat serta mendekatkan diri kita kepada Allah SWT.
Sumber: Datuk Dr. Zulkifli Mohamad al-Bakri
BACA JUGA: Niat Puasa Hari Putih: Amalan Kecil, Ganjaran Seperti Setahun Berpuasa, Ramai Terlepas Pandang
BACA JUGA: Puasa Bulan Rejab Bukan Bid‘ah, Tapi Amalan Sunnah Dianjurkan Ulama
Ikuti kami, Waktu Solat Malaysia di semua platform untuk dapatkan lebih banyak info bermanfaat:
Facebook: https://www.facebook.com/waktusolatmsia
Instagram: https://www.instagram.com/waktusolatmy
X: https://x.com/WaktuSolatMsia
WhatsApp Channel: https://whatsapp.com/channel/0029Va9S1HR6xCSNywYivK28
Telegram: https://t.me/waktusolat_my
TikTok: https://www.tiktok.com/@waktusolatmy
Threads: https://www.threads.com/@waktusolatmy
Sebagai penambahbaikan, kami ingin mendengar maklum balas anda tentang portal, artikel dan topik di Waktu Solat Malaysia. Sila luangkan sedikit masa untuk mengisi borang maklum balas di sini: https://forms.gle/cKnytmoA25T33hth9.