(sumber: Freepik)


Data semasa menunjukkan lebih 1,000 jangkitan HIV direkodkan dalam kalangan pelajar IPT dalam beberapa tahun kebelakangan ini. Satu statistik yang menyentak jiwa masyarakat dan membangkitkan persoalan moral serta pendidikan akhlak. Islam sebenarnya telah lama memberi panduan agar kita menjaga diri daripada perkara yang membahayakan, seperti zina, penggunaan dadah dan pergaulan bebas. Al-Quran jelas memberi amaran agar tidak mendekati perbuatan zina kerana ia membuka pintu kepada keburukan dan penyakit.

Lebih membimbangkan, kesedaran tentang pencegahan seperti penggunaan kondom atau rawatan PrEP masih tidak diambil peduli di kalangan pelajar, malah stigma yang wujud menghalang mereka mendapatkan sokongan sewajarnya. Islam bukan saja menuntut kita menepati syariat, tetapi juga mengambil pendekatan yang sesuai dan pendidikan, bukan hanya sekadar hukuman. JAKIM, bersama KKM, sedang memperkasakan modul khusus tentang HIV dalam konteks Islam dan masyarakat untuk membantu belia memahami realiti ini secara objektif.

Islam mendidik bahawa tubuh dan akhlak adalah amanah yang harus dijaga. Amalan hubungan pasangan yang bebas tanpa akad jelas bercanggah dengan nilai Islam dan membuka ruang penyakit seperti HIV. Maka, usaha pencegahan seperti kursus pra-kahwin, pendidikan akhlak dan pengajaran moral dalam universiti penting sebagai benteng awal. Ini sejajar dengan prinsip saddu adh-dhari’ah, menutup jalan kemudaratan sebelum ia berlaku.

Tambahan pula, Islam menekankan kepentingan rawatan dan soladariti ke atas orang yang diuji, termasuk mereka yang hidup dengan HIV. Rawatan antiretroviral tidak dilarang, malah dibenarkan apabila ia menyelamatkan nyawa. Masyarakat Islam digalakkan memberi bantuan, bukan menghakimi kerana stigma hanya menambah beban kepada mereka yang memerlukan dukungan untuk berubah. Sebagai seorang Muslim, marilah kita membantu golongan ini agar terus kuat dan sentiasa mendorong diri mereka untuk berubah ke arah kebaikan dan menjadi manusia yang berguna di dunia dan juga di sisi Allah SWT. Sesungguhnya siapalah kita untuk menghukum, sedangkan kita juga melakukan dosa tanpa kita sedari.


Sumber: BeautifulNara