(sumber: Pixabay)


Isu perjumpaan komuniti LGBT yang dilaporkan berlaku di Kelantan baru-baru ini mencetuskan pelbagai reaksi masyarakat. Dalam konteks Islam, perbuatan yang bertentangan dengan fitrah ini bukan sekadar isu moral, tetapi melibatkan pelanggaran terhadap hukum syarak yang jelas.

Walaupun setiap insan mempunyai maruah dan hak untuk dihormati, Islam tetap menegaskan bahawa kebebasan tidak boleh melebihi batas-batas yang telah ditetapkan oleh Allah SWT.

Penting untuk difahami bahawa teguran terhadap gaya hidup songsang bukanlah penindasan, tetapi bentuk kasih sayang dan tanggungjawab umat Islam untuk menjaga kemurnian masyarakat. Al-Quran sendiri telah menyebut dengan jelas kisah kaum Nabi Lut dan bagaimana keruntuhan moral membawa kepada azab yang besar.

Maka, usaha pihak berkuasa dalam membendung pertemuan seperti ini bukan sekadar bersifat penguatkuasaan, tetapi juga satu langkah pencegahan terhadap kerosakan sosial yang lebih luas.

Firman Allah SWT:

أَتَأْتُونَ الذُّكْرَانَ مِنَ الْعَالَمِينَ .  وَتَذَرُونَ مَا خَلَقَ لَكُمْ رَبُّكُم مِّنْ أَزْوَاجِكُم ۚ بَلْ أَنتُمْ قَوْمٌ عَادُونَ

Maksudnya: “Patutkah kamu melakukan hubungan jenis dengan lelaki dari kalangan manusia, Dan kamu tinggalkan apa yang diciptakan oleh Tuhan kamu untuk kamu (melakukan hubungan yang halal) dari badan isteri-isteri kamu? (Kamu orang-orang yang bersalah) bahkan kamu adalah kaum yang melampaui batas (keinginan kebanyakan haiwan)!”

(Surah al-Syu’ara’: 165-166)

Sebagai umat Islam, kita diajar untuk berlembut dalam dakwah, tetapi tegas. Menormalisasi gaya hidup bertentangan dengan syarak atas nama hak asasi hanya akan membuka pintu kepada lebih banyak kekeliruan dan kerosakan dalam jangka masa panjang.

Masyarakat Islam harus cakna, bukan hanya dalam mengutuk perbuatan, tetapi juga menyediakan ruang pemulihan, bimbingan dan sokongan kepada mereka yang ingin kembali ke jalan yang benar.

Kita tidak membenci manusia yang melakukannnya, tetapi kita wajib menolak segala bentuk kemungkaran. Sesungguhnya Islam itu tidak zalim, Islam hanya ingin menjaga, membimbing ke jalan yang benar, dan menjaga umat daripada rosaknya fitrah adalah satu bentuk kasih sayang yang sebenar.

Kembalilah ke fitrah asal dan jalan yang benar, Allah itu Maha Pengampun dan Allah akan sentiasa menerima hambaNya yang bertaubat.