(sumber: Oh My Meow Expo! 2025)

Kepercayaan bahawa kucing hitam membawa sial telah lama wujud dalam pelbagai budaya, termasuk dalam masyarakat kita. Namun dalam Islam, kepercayaan seumpama ini tergolong dalam bentuk tathayyur iaitu mempercayai sesuatu sebagai pembawa nasib malang tanpa dalil syarie.

Nabi Muhammad SAW melarang kepercayaan sebegini kerana ia boleh menjejaskan akidah dan membawa kepada syirik kecil. Setiap makhluk, termasuk kucing hitam, hanyalah ciptaan Allah yang tidak mampu mendatangkan mudarat atau manfaat melainkan dengan izin-Nya.

Dalam Islam, kucing merupakan haiwan yang dimuliakan. Warna bulu kucing bukanlah ukuran baik atau buruknya makhluk itu. Mempercayai bahawa kucing hitam membawa malang bukan sahaja merepek, bahkan menjauhkan seseorang daripada tauhid yang tulen.

Masyarakat perlu lebih celik terhadap isu-isu yang kelihatan remeh tetapi membawa implikasi besar terhadap keimanan. Mitos dan kepercayaan lama harus ditapis dengan neraca ilmu dan wahyu, bukan diwarisi secara membuta tuli.

Tugas kita adalah membersihkan hati dan pemikiran daripada unsur khurafat, serta mengajak orang lain agar kembali kepada pegangan Islam yang sahih.

Apa yang berlaku dalam hidup kita adalah ketentuan Allah, bukan kerana warna bulu seekor haiwan. Iman yang bersih menolak segala bentuk khurafat, dan seorang Muslim yang yakin akan qada’ dan qadar tidak akan hidup dalam ketakutan yang sia-sia. Biarlah akidah memimpin pandangan kita, bukan kepercayaan karut yang tiada makna.