Sumber: @ieraomar._/Threads

Dalam Islam, ibu diletakkan di tempat yang amat tinggi, lebih mulia daripada segala harta dan urusan duniawi. Rasulullah SAW sendiri bersabda bahawa syurga itu di bawah telapak kaki ibu.


أَنَّ جَاهِمَةَ جَاءَ إِلَى النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَقَالَ: يَا رَسُولَ اللَّهِ أَرَدْتُ أَنْ أَغْزُوَ، وَقَدْ جِئْتُ أَسْتَشِيْرُكَ. فَقَالَ: هَلْ لَكَ مِنْ أُمٍّ؟ قَالَ نَعَمْ. قَالَ: فَالْزَمْهَا، فَإِنَّ الْجَنَّةَ تَحْتَ رِجْلَيْهَا

Maksudnya: Bahwasanya Jahimah pernah datang menemui Nabi SAW lalu berkata: Wahai Rasulullah SAW, aku ingin pergi jihad, dan sungguh aku datang kepadamu untuk meminta pendapatmu. Baginda bertanya: “Apakah engkau masih mempunyai ibu?” Dia menjawab: Ya, masih. Baginda bersabda: “Hendaklah engkau tetap berbakti kepadanya, maka sesungguhnya syurga itu di bawah kedua kakinya.”

Riwayat al-Nasa’i

Maka, apabila seorang ibu yang sihat mental, berusia, dan tidak bersalah dikurung selama hampir sedekad tanpa telefon, tanpa pelawat, dan tanpa kebebasan, kita wajib bertanya: siapakah yang sedang melakukan kezaliman, dan mengapa dunia diam membisu?

Anak-anak dalam kes ini bukan sedang melawan ayah mereka kerana harta, tetapi sedang cuba menegakkan hak dan kemanusiaan yang sepatutnya dimiliki oleh seorang ibu.

Melemparkan tuduhan seperti “anak nak jaga sebab harta” di hadapan pihak berkuasa bukan sahaja tidak berasas, malah berniat jahat untuk mengaburi isu sebenar iaitu penderaan.

Dalam Islam, fitnah lebih besar dosanya daripada membunuh dan membiarkan fitnah ini terus hidup hanya akan menghalalkan lebih banyak penindasan atas nama ‘keluarga’.

Penting untuk kita sedar, Islam tidak membenarkan seseorang disekat hak kebebasan hidupnya tanpa alasan syarie. Bahkan jika ada masalah mental sekalipun, penjagaan mestilah dilakukan dengan belas kasihan, pemantauan, dan keizinan undang-undang serta berasaskan agama.

Tetapi dalam kes ini, jelas tiada laporan kesihatan, tiada dokumen sah, hanya seorang wanita berumur 50 tahun yang masih waras dan ingin hidup bersama anak-anaknya, diambil tanpa rela, dan kini tidak diketahui keberadaannya.

Kita perlu faham bahawa mendiamkan diri terhadap kezaliman bukanlah tanda menghormati keluarga. Ia adalah tanda kelalaian terhadap amanah yang diberikan oleh Allah. Nabi SAW bersabda,

“Barangsiapa di antara kamu melihat kemungkaran, maka hendaklah dia mengubahnya dengan tangannya”

 Riwayat Muslim (78)

Ini bukan sekadar isu keluarga, ini adalah isu prinsip, maruah dan agama dan seandainya ibu itu terus diseksa dalam diam, dosa itu bukan hanya pada pelaku, tetapi juga pada mereka yang tahu, namun tidak peduli. Semoga urusan beliau dipermudahkan dan sentiasa berada di bawah lindunganNya, InsyaAllah.