
Tindakan seorang usahawan membeli coklat Louis Vuitton berharga sekitar RM6,000 dan menganggapnya “murah” telah menimbulkan pelbagai reaksi di kalangan netizen.
Ada yang menganggap ia sekadar suatu simbol pencapaian, manakala ada yang melihatnya sebagai perbuatan menunjuk-nunjuk.
Dalam Islam, setiap perbuatan dinilai berdasarkan niat, sebagaimana sabda Rasulullah SAW:
“Sesungguhnya setiap amalan bergantung kepada niatnya.”
(Riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Jika niat pembelian itu untuk bermegah atau mencari pujian, ia boleh tergolong dalam riya’ yang dilarang.
Namun, jika tujuannya untuk meraikan diri atau keluarga dan dilakukan dalam kemampuan, ia tidak menjadi kesalahan selagi tidak berlebihan dan tidak mengabaikan kewajipan agama seperti zakat dan sedekah.
Islam tidak melarang umatnya untuk menikmati kesenangan dunia, tetapi menekankan sikap sederhana dan mengelakkan pembaziran.
Firman Allah dalam Surah Al-Baqarah Ayat 261 menggalakkan harta dibelanjakan ke jalan kebaikan kerana pahalanya berlipat ganda.
“Bandingan (derma) orang-orang yang membelanjakan hartanya pada jalan Allah, ialah sama seperti sebiji benih yang tumbuh menerbitkan tujuh tangkai; tiap-tiap tangkai itu pula mengandungi seratus biji. Dan (ingatlah), Allah akan melipatgandakan pahala bagi sesiapa yang dikehendakiNya, dan Allah Maha Luas (rahmat) kurniaNya, lagi Meliputi ilmu pengetahuanNya“
Kesimpulannya, pembelian barangan mewah tidak salah jika niatnya betul, namun sebagai Muslim kita dituntut untuk bersyukur, mengurus rezeki dengan bijak, membantu yang memerlukan, dan menjaga hati daripada sifat riya’.
Sumber: OhBulan!