Fenomena ruqyah ‘live’ di TikTok semakin mendapat perhatian. Ada perawat Islam yang melakukan sesi bacaan ruqyah kepada pesakit melalui siaran langsung, lengkap dengan reaksi pesakit yang menggigil, menjerit, atau menangis.

Tidak dinafikan, ada yang menontonnya dengan rasa kagum, tetapi tidak kurang juga yang menganggap ia sekadar hiburan sensasi demi tontonan ramai.

Dalam Islam, ruqyah adalah amalan yang mulia. Ianya ialah bacaan doa dan ayat-ayat Al-Quran untuk memohon perlindungan daripada Allah SWT.

Dalam hadis sahih yang berasal daripada Nabi SAW disebutkan bahawa Nabi SAW membolehkan untuk meruqyah selama mana ianya tidak mengandungi amalan syirik.

Baginda SAW juga bersabda: “Sesiapa di antara kamu yang mampu memberi manfaat kepada saudaranya maka lakukanlah.”

Ruqyah adalah ibadah, rawatan, dan doa khusus yang sepatutnya dilakukan dengan penuh adab, tawaduk, serta menjaga maruah pesakit.

Kebimbangan timbul apabila amalan ini ditayangkan secara terbuka hingga membuka aib pesakit atau menimbulkan fitnah.

Islam menuntut agar aib seseorang dijaga, apatah lagi ketika mereka dalam keadaan lemah atau sedang diganggu makhluk halus.

Jika ruqyah ditampilkan sekadar untuk “content”, maka ia boleh mencemarkan keikhlasan dan tujuan asal ruqyah itu sendiri.

Akhirnya, kita perlu berhati-hati membezakan antara dakwah yang ikhlas dengan ‘content yang hanya menunggang agama untuk populariti.

Ruqyah adalah amalan yang sangat digalakkan, tetapi biarlah ia dilakukan dengan penuh adab dan mengikut garis panduan syariat, bukan dijadikan tontonan murahan di media sosial.

Sumber: MStar