Dalam Islam, setiap perbuatan manusia perlu berpandukan hukum syarak, termasuk dalam isu memelihara haiwan. Menurut Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, hukum memelihara ular atau haiwan berbisa adalah haram, kerana ia tergolong dalam haiwan perosak (fawasiq) yang tidak mendatangkan manfaat.

Bahkan, ia juga mendatangkan bahaya kepada diri sendiri dan orang lain. Maka jelas, menjaga keselamatan nyawa lebih diutamakan daripada keinginan untuk memiliki haiwan eksotik atau berbisa.

Rasulullah SAW pernah menegaskan dalam hadis sahih bahawa baginda memerintahkan agar ular dibunuh walaupun ketika dalam ihram di Mina.

أَنَّ رَسُولَ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَمَرَ مُحْرِمًا بِقَتْلِ حَيَّةٍ بِمِنًى

Maksudnya : “Sesungguhnya Rasulullah SAW memerintahkan orang yang sedang berihram untuk membunuh ular di Mina”

Riwayat Muslim (2235)

Ini menunjukkan bahawa haiwan berbisa seperti ular tergolong dalam makhluk yang boleh membawa mudarat, dan Islam memberi kelonggaran untuk menyingkirkannya.

Ibn Hajar al-Haitami juga menekankan bahawa mengurung haiwan fawasiq hanya akan menambah risiko kepada manusia. (Lihat Tuhfah al-Muhtaj fi Syarh Minhaj 9/337)

Justeru, Islam sangat menekankan prinsip la darar wa la dirar iaitu tidak boleh memberi mudarat kepada diri sendiri dan juga orang lain.

Dari sudut jual beli juga ianya haram kerana tiada nilai manfaat dan tidak sah transaksinya kerana tidak menepati syarat jual beli.  

Kesimpulannya, Islam melarang umatnya memelihara atau berdagang haiwan berbisa kerana ia membawa mudarat lebih besar berbanding manfaat.

Larangan ini selari dengan prinsip syarak dalam menjaga lima perkara utama (maqasid syariah), iaitu agama, nyawa, akal, keturunan, dan harta.

Oleh itu, sebagai Muslim, kita wajar mengutamakan keselamatan diri dan orang sekeliling daripada mengejar kepuasan duniawi yang tidak memberi faedah.

Sumber: Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan