Dalam dunia moden yang penuh dengan godaan, isu lelaki Muslim yang gagal mengawal nafsu sering menimbulkan masalah besar, bukan sahaja kepada diri mereka sendiri, tetapi juga kepada masyarakat.

Dari kes gangguan seksual, zina, hingga ketagihan bahan lucah, semuanya berpunca daripada kegagalan mengawal syahwat. Islam sudah lama memberi peringatan bahawa nafsu yang tidak terkawal adalah pintu kepada kebinasaan.

Al-Quran menegaskan, “Dan janganlah kamu mendekati zina; sesungguhnya zina itu adalah satu perbuatan yang keji dan suatu jalan yang jahat.”

(al-Isra’: 32)

Ayat ini jelas menunjukkan bahawa Islam bukan sekadar melarang zina, tetapi juga menutup semua jalan yang boleh mendekatkan diri ke arah itu.

Bagi lelaki Muslim, menundukkan pandangan, menjaga pergaulan, dan menjauhi perkara yang merangsang nafsu adalah tanggungjawab yang tidak boleh dipandang ringan.

Rasulullah SAW turut mengingatkan bahawa sekuat-kuat benteng bagi lelaki adalah perkahwinan. Jika tidak mampu, maka berpuasa adalah jalan terbaik untuk melemahkan syahwat.

Baginda SAW bersabda:

يَا مَعْشَرَ الشَّبَابِ مَنِ اسْتَطَاعَ مِنْكُمُ الْبَاءَةَ فَلْيَتَزَوَّجْ فَإِنَّهُ أَغَضُّ لِلْبَصَرِ وَأَحْصَنُ لِلْفَرْجِ وَمَنْ لَمْ يَسْتَطِعْ فَعَلَيْهِ بِالصَّوْمِ فَإِنَّهُ لَهُ وِجَاءٌ

Maksudnya“Wahai para pemuda! Sesiapa di antara kamu telah mampu (pembiayaan) berkahwin, maka bernikahlah. Kerana nikah itu dapat menundukkan mata dan memelihara faraj (kelamin). Dan sesiapa yang belum mampu, maka hendaklah berpuasa kerana puasa itu dapat menjadi perisai baginya (dalam membendung syahwat)”

Riwayat al-Bukhari (5065) dan Muslim (3466)

Namun, ramai lelaki hari ini lebih memilih untuk menurut kehendak nafsu berbanding mengekang diri dengan ibadah dan disiplin. Akhirnya, maruah diri tercemar, dan lebih buruk lagi, agama serta keluarga turut terjejas.

Hakikatnya, mengawal nafsu bukan perkara mustahil, tetapi ia memerlukan iman yang kuat, persekitaran yang baik, serta mujahadah melawan diri sendiri.

Lelaki Muslim seharusnya menjadikan diri mereka contoh kepada generasi muda, menunjukkan bahawa kejantanan bukan diukur pada banyaknya pasangan atau keberanian melanggar batas, tetapi pada kemampuan menahan diri daripada perkara yang haram.

Sumber: Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan