Seorang usahawan produk kecantikan, Datin Lyanaz Hassan, mengalami trauma apabila mendapati dirinya diintip oleh seorang pekerja homestay ketika sedang mandi di rumah inap tersebut.
Dalam kejadian yang tular itu, dia menjerit meminta bantuan dan membuat laporan polis kerana maruah dan privasinya terancam apabila pelaku merakam menggunakan telefon bimbit melalui tingkap tandas.
Beliau juga telah membuat laporan polis dan menghubungi peguam agar kes ini tidak akan terlepas.
Rasulullah SAW telah terang-terang melarang aktiviti mengintip ke rumah orang lain dan berkata perbuatan itu mencerminkan kurangnya adab dan iman.
Baginda SAW bersabda:
“Jika ada seseorang mengintaimu tanpa izin, lalu engkau membalingnya dengan batu sampai terkena pada matanya, maka tidak ada dosa atasmu”
(HR al-Bukhari, no 6888)
Ia bukan sekadar kesalahan moral tetapi juga kesalahan berat dalam menjaga batasan kemuliaan manusia. Islam mengajar agar setiap individu memelihara maruah diri dan orang lain.
Kes ini menjadi peringatan kepada masyarakat tentang pentingnya memilih tempat penginapan yang menepati standard privasi dan keselamatan.
Hal ini turut mengingatkan kita bahawa syariat Islam menitikberatkan pemeliharaan maruah manusia melalui penerapan adab, akhlak yang mulia, serta pelaksanaan undang-undang.
Islam menuntut agar setiap individu menjaga akhlak, serta menolak dan mengecam tindakan yang mencemar maruah dan kehormatan sesama manusia.
Sumber: MStar