Baru-baru ini, tular kenyataan seorang pempengaruh media sosial, DMA Islam, yang menyatakan bahawa lelaki yang rajin membantu membuat kerja rumah dilabel sebagai “gay”.
Kenyataan tersebut mengundang kecaman ramai pihak kerana dianggap menghina dan tidak mencerminkan adab seorang Muslim.
Malah, ia juga menunjukkan salah faham terhadap peranan lelaki dalam rumahtangga, sedangkan Islam telah lama mengajarkan nilai kerjasama, kasih sayang, dan tanggungjawab bersama dalam keluarga.
Dalam sirah, Nabi Muhammad SAW sendiri terkenal sebagai seorang suami yang ringan tulang membantu ahli keluarganya. Aisyah r.a. pernah meriwayatkan bahawa Baginda menjahit pakaiannya sendiri, memerah susu kambing dan turut melakukan kerja rumah, namun apabila masuk waktu solat, Baginda segera bangkit untuk mendirikan solat.
Ini membuktikan bahawa membantu dalam urusan rumah bukanlah tanda kelemahan atau “hilang jati diri”, sebaliknya ia adalah sunnah dan tanda kemuliaan akhlak seorang lelaki.
Teguran daripada pendakwah PU Syed terhadap kenyataan DMA Islam ini jelas bertepatan dengan ajaran Islam. Beliau menegaskan bahawa membantu pasangan dan keluarga adalah sebahagian daripada sifat tanggungjawab, bukan sesuatu yang boleh dihina atau dipandang rendah.
Islam menekankan konsep ta’awun (tolong-menolong) dalam kebaikan, termasuklah dalam urusan rumah tangga, kerana ia mencerminkan kasih sayang serta keberkatan dalam kehidupan berkeluarga.
Melabel lelaki yang melakukan kerja rumah sebagai “gay” hanya menguatkan stereotaip yang tidak berlandaskan agama.
Malah, ia boleh memberi kesan buruk kepada masyarakat, khususnya golongan muda yang masih membina kefahaman tentang peranan suami dan isteri.
Islam telah menetapkan bahawa martabat seorang lelaki bukan terletak pada ego dan kelalaian, tetapi pada akhlaknya, kemampuannya memimpin dengan kasih sayang, dan kesediaannya berkorban demi keluarga.
Kesimpulannya, isu ini seharusnya menjadi peringatan buat umat Islam untuk lebih berhati-hati dalam memberi pandangan di media sosial, apatah lagi apabila melibatkan agama dan masyarakat.
Lelaki yang membantu isteri membuat kerja rumah tidak wajar dihina, bahkan ia perlu dipandang sebagai amalan mulia yang selari dengan sunnah Rasulullah SAW.
Semoga masyarakat lebih menghargai nilai tolong-menolong dalam keluarga dan tidak terpengaruh dengan pandangan yang bertentangan dengan Islam.
Sumber: OhBulan