Dalam kehidupan, setiap insan pasti pernah melakukan kesilapan dan dosa. Namun, keindahan Islam adalah pintu taubat sentiasa terbuka luas untuk hamba-hamba-Nya yang mahu kembali kepada Allah SWT.
Apabila seseorang telah bertaubat dengan ikhlas, adalah tidak wajar bagi masyarakat untuk terus mengungkit kisah silamnya. Hal ini kerana taubat yang benar menghapuskan dosa lalu, sebagaimana sabda Rasulullah SAW:
“Orang yang bertaubat daripada dosanya seperti orang yang tidak mempunyai dosa.“
(Riwayat Ibnu Majah, No 4250)
Islam mengajar umatnya supaya menjaga maruah dan kehormatan sesama insan. Mengungkit dosa lama hanya akan membuka aib yang Allah SWT sendiri sudah tutup.
Lebih buruk lagi, ia boleh melahirkan perasaan rendah diri, kecewa, dan menyukarkan proses hijrah seseorang.
Dalam surah al-Hujurat ayat 12, Allah SWT telah melarang umat Islam daripada mencari kesalahan dan aib orang lain.
“Wahai orang-orang yang beriman! Jauhilah kebanyakan dari sangkaan (supaya kamu tidak menyangka sangkaan yang dilarang) kerana sesungguhnya sebahagian dari sangkaan itu adalah dosa; dan janganlah kamu mengintip atau mencari-cari kesalahan dan keaiban orang; dan janganlah setengah kamu mengumpat setengahnya yang lain. Adakah seseorang dari kamu suka memakan daging saudaranya yang telah mati? (Jika demikian keadaan mengumpat) maka sudah tentu kamu jijik kepadanya. (Oleh itu, patuhilah larangan-larangan yang tersebut) dan bertaqwalah kamu kepada Allah; sesungguhnya Allah Penerima taubat, lagi Maha mengasihani.”
Maka, sikap suka mengungkit dosa lalu adalah perbuatan yang bercanggah dengan tuntutan syariat.
Selain itu, menghormati perubahan seseorang adalah tanda keimanan dan akhlak yang mulia.
Mereka yang telah berhijrah sepatutnya diberi dorongan serta doa agar istiqamah di jalan kebenaran, bukan dijatuhkan dengan ungkitan masa silam.
Masyarakat yang baik ialah masyarakat yang saling mengangkat, bukan yang saling menjatuhkan.
Akhirnya, kita harus ingat bahawa setiap manusia sedang berjuang dengan ujian hidup masing-masing. Apa yang penting bukanlah kisah silam, tetapi bagaimana pengakhiran hidupnya di sisi Allah SWT.
Semoga kita semua dijauhkan daripada sifat suka menghina atau membuka aib orang lain, dan diberi kekuatan untuk sentiasa memperbaiki diri.
Sumber: Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan