Baru-baru ini tular sebuah insiden melibatkan juruwang yang didakwa melayan pelanggan berwajah cantik dengan terlalu mesra, tetapi berubah dingin apabila melayani pelanggan lain yang berpenampilan biasa.
Sikap pilih kasih seperti ini bukan sahaja menyalahi adab sosial, bahkan bertentangan dengan ajaran Islam yang menekankan prinsip keadilan serta kesaksamaan dalam layanan kepada semua orang, tanpa mengira rupa paras atau kedudukan.
Dalam Islam, setiap insan memiliki darjat yang sama di sisi Allah SWT. Hal ini ditegaskan dalam firman Allah SWT dalam Surah al-Hujurat ayat 13, yang menyatakan bahawa manusia dijadikan berbangsa-bangsa dan bersuku-suku untuk saling mengenali, bukan untuk menilai antara satu sama lain berdasarkan rupa mahupun status.
“Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu dengan yang lain). Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih taqwanya di antara kamu, (bukan yang lebih keturunan atau bangsanya). Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Mendalam PengetahuanNya (akan keadaan dan amalan kamu).”
Maka, diskriminasi terhadap seseorang kerana penampilan fizikal jelas bercanggah dengan nilai keadilan yang ditekankan oleh Islam.
Ajaran Rasulullah SAW turut menunjukkan betapa pentingnya memberikan layanan dengan penuh keikhlasan, amanah dan empati.
Baginda tidak pernah membeza-bezakan antara kaya atau miskin, cantik atau biasa, sebaliknya melayani semua dengan akhlak yang mulia.
Nilai inilah yang seharusnya menjadi asas dalam khidmat pelanggan, sama ada dalam urusan jual beli mahupun dalam kehidupan bermasyarakat.
Sebagai umat Islam, kita dituntut untuk menjadikan akhlak Rasulullah SAW sebagai panduan.
Layanan yang adil dan penuh hormat bukan sahaja memperkukuhkan hubungan sesama manusia, malah menjadi amal soleh yang mendatangkan keberkatan dan redha Allah SWT.
Sumber: MStar