Kecekalan seorang guru, Aisha Hassan, menarik perhatian masyarakat apabila beliau sanggup berulang-alik sejauh 388 kilometer setiap hari, bermula seawal jam 4 pagi untuk mengajar di Sekolah Kebangsaan Kampung Durian Chondong, Bukit Kepong, Muar, Johor.
Walaupun berhadapan keletihan fizikal serta beban kos perjalanan, beliau tetap cekal menunaikan amanah sebagai pendidik dengan niat utama semata-mata kerana Allah SWT.
Kisah ini menunjukkan pengorbanan seorang guru yang tidak mengenal erti penat. Dalam Islam, usaha mencari rezeki halal dan melaksanakan tanggungjawab dengan penuh keikhlasan adalah suatu amalan mulia yang dikira sebagai ibadah.
Segala kesusahan yang ditanggung akan menjadi asbab kepada ganjaran pahala, khususnya apabila ia dilakukan demi kebaikan serta manfaat orang lain.
Islam juga mengangkat kedudukan ilmu dan orang yang menyampaikannya.
Rasulullah SAW bersabda:
مَنْ عَلَّمَ عِلْمًا فَلَهُ أَجْرُ مَنْ عَمِلَ بِهِ لَا يَنْقُصُ مِنْ أَجْرِ العَامِلِ
Maksudnya: “Barangsiapa yang mengajarkan sesuatu ilmu maka dia akan mendapat pahala orang yang mengamalkannya tanpa mengurangi pahala orang yang mengamalkannya sedikitpun”.
(Riwayat Ibn Majah, no. Hadith 236)
Walaupun bidang pendidikan umum, peranan seorang guru tetap dianggap mulia kerana mendidik anak bangsa serta menanamkan nilai akhlak yang baik dalam diri mereka.
Pengorbanan Aisha seharusnya menjadi inspirasi kepada masyarakat untuk lebih menghargai jasa pendidik. Kesungguhan beliau membuktikan bahawa apa sahaja yang dilakukan dengan niat ikhlas kerana Allah akan menjadi amal soleh yang bernilai tinggi di sisi-Nya.
Semoga usaha ini menjadi asbab kebaikan berpanjangan, serta membuka mata kita untuk menilai semula erti tanggungjawab dan keikhlasan dalam bekerja.
Sumber: Beautifulnara & Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan