Tular beberapa hari lalu mengenai seorang lelaki berpakaian wanita, mengenakan baju kurung dan tudung semasa melakukan ‘live’ di aplikasi TikTok, yang mendapat pujian ramai wanita gara-gara penampilannya yang mirip seperti wanita.
Sikap memuji penampilan sedemikian bukan sahaja menimbulkan kekeliruan, malah dianggap sebagai condong dan meringankan perkara yang bertentangan dengan prinsip syariat.
Islam jelas menegah lelaki berpakaian atau menyerupai wanita, dan sebaliknya. Tasyabbuh (penyerupaan jantina berbeza) adalah dilarang.
Rasulullah SAW telah bersabda bahawa Baginda melaknat lelaki yang menyerupai perempuan dan wanita yang menyerupai lelaki.
Dalam konteks ini, khalayak diwajibkan bersikap bijak serta menolak tindakan yang menyimpang daripada fitrah ciptaan Allah.
Pujian terhadap perbuatan yang dilarang syarak bukan sahaja menyuburkan perbuatan tersebut, tetapi juga boleh memberikan kesan psikologi negatif kepada penonton.
Setiap Muslim diajar untuk menjaga lidah dan pandangan, agar tidak terlibat dalam memuji atau menganggap ringan perbuatan maksiat.
Sebaliknya, masyarakat Islam digalakkan menanam nilai hormat kepada ciptaan Allah dan saling menjaga pandangan antara satu sama lain.
Usah menjadi “enabler” kepada tindakan bertentangan syariat dengan memuji atau membiarkan ia terus berleluasa.
Jadikan ini sebagai muhasabah untuk memperbaiki diri, menegur secara hikmah, dan kembali kepada fitrah yang suci.
Sumber: MStar