Dalam kehidupan seorang Muslim, doa bukan sekadar permintaan, tetapi cerminan hubungan antara seorang hamba dengan Tuhannya.

Ramai yang berusaha menyusun ayat doa seindah mungkin, panjang dan menyentuh, namun Islam mengajar doa yang dicintai Allah dan satu hakikat yang jauh lebih mendalam: Allah tidak menilai indahnya lafaz, tetapi kejujuran hati dan sifat seorang hamba ketika berdoa.

Hakikat ini penting difahami kerana kebelakangan ini tular pelbagai perkongsian tentang “ayat dan doa yang dicintai Allah”.

Walaupun mesejnya baik, Islam menuntut kita membezakan antara lafaz khusus yang ditetapkan oleh nas, dan makna doa yang mencerminkan sifat hamba yang dicintai Allah.

Doa yang dicintai Allah bukan bergantung kepada ayat tertentu, tetapi kepada sikap hati yang tunduk, lemah dan bergantung sepenuhnya kepada-Nya.

Allah SWT berfirman:

يَا أَيُّهَا النَّاسُ أَنتُمُ الْفُقَرَاءُ إِلَى اللَّهِ وَاللَّهُ هُوَ الْغَنِيُّ الْحَمِيدُ
Maksudnya: “Wahai manusia, kamulah yang berhajat kepada Allah, dan Allah Dialah Yang Maha Kaya lagi Maha Terpuji.”
(Surah Fāṭir: 15)

Ayat ini meletakkan asas besar dalam doa. Seorang hamba yang menyedari kelemahan dirinya dan kebergantungannya kepada Allah sedang berada pada posisi yang paling hampir dengan rahmat-Nya.

Inilah antara sifat utama doa yang dicintai Allah, iaitu pengakuan bahawa manusia tidak memiliki daya dan kekuatan tanpa pertolongan-Nya.

Allah cinta hamba yang merendah diri

Rasulullah ﷺ sendiri mengajar umatnya untuk berdoa dengan penuh rasa kehambaan.

Baginda ﷺ bersabda bahawa Allah sangat hampir dengan hamba-Nya yang merendahkan diri dan bersungguh-sungguh ketika berdoa. Bahkan Allah berfirman:

ادْعُوا رَبَّكُمْ تَضَرُّعًا وَخُفْيَةً
Maksudnya: “Berdoalah kepada Tuhan kamu dengan penuh rendah diri dan secara tersembunyi.”
(Surah al-A‘rāf: 55)

Kerendahan diri, tunduk dan rasa memerlukan inilah yang menjadikan doa itu hidup. Inilah sebabnya doa yang lahir daripada hati yang lemah lebih dekat dengan Allah berbanding doa yang hanya indah pada susunan kata.

ARTIKEL BERKAITAN: Selalu Fikir Benda Negatif? Amalkan Doa Cuci Hati Ajaran Nabi, Jiwa Tenang & Bersih Dengan Izin Allah

Redha dengan ketentuan antara doa yang dicintai Allah

Selain kerendahan diri, sifat redha juga merupakan antara ciri hamba yang doanya dicintai Allah.

Redha bukan bererti pasrah tanpa usaha, tetapi menerima ketetapan Allah dengan hati yang tenang selepas berusaha. Rasulullah ﷺ bersabda:

ذَاقَ طَعْمَ الإِيمَانِ مَنْ رَضِيَ بِاللَّهِ رَبًّا
Maksudnya: “Telah merasai manisnya iman orang yang reda kepada Allah sebagai Tuhannya.”
(Riwayat Muslim)

Apabila seorang hamba berdoa sambil menerima apa jua keputusan Allah, dia sebenarnya sedang menyerahkan urusan hidupnya kepada kebijaksanaan Tuhan Yang Maha Mengetahui.

Inilah tahap doa yang tinggi, dan termasuk dalam doa yang dicintai Allah, kerana ia lahir daripada iman yang matang.

Doa bukan atas dasar layak

Dalam masa yang sama, Islam mengajar bahawa doa bukan dibuat atas dasar “kelayakan”, tetapi kerana keperluan.

Seorang hamba tidak pernah layak menuntut apa-apa daripada Allah, tetapi Allah membuka pintu doa kerana kasih sayang-Nya. Allah SWT berfirman:

قُلْ مَا يَعْبَأُ بِكُمْ رَبِّي لَوْلَا دُعَاؤُكُمْ
Maksudnya: “Katakanlah (wahai Muhammad): Tuhanku tidak akan menghiraukan kamu sekiranya bukan kerana doa kamu.”
(Surah al-Furqān: 77)

Ayat ini menunjukkan betapa doa itu sendiri adalah ibadah yang sangat bernilai. Doa yang dicintai Allah kerana ia membuktikan seorang hamba sedar dirinya berhajat dan tidak sombong di hadapan Tuhan.

Antara lafaz yang sangat dianjurkan oleh Rasulullah ﷺ kerana maknanya yang mendalam ialah:

لَا حَوْلَ وَلَا قُوَّةَ إِلَّا بِاللَّهِ
Maksudnya: “Tiada daya dan kekuatan melainkan dengan pertolongan Allah.”

Baginda ﷺ menyebut lafaz ini sebagai salah satu khazanah syurga. Lafaz ini merangkum keseluruhan konsep doa yang dicintai Allah, iaitu pengakuan kelemahan dan kebergantungan kepada Allah.

Serahkan pilihan kepada Allah antara doa yang dicintai Allah

Islam juga mengajar bahawa doa yang baik ialah doa yang menyerahkan pilihan kepada Allah.

Dalam solat istikharah, Rasulullah ﷺ mengajar kita memohon agar Allah memilihkan yang terbaik, walaupun pilihan itu tidak selari dengan kehendak diri.

Ini mendidik jiwa untuk percaya bahawa Allah lebih mengetahui apa yang baik untuk hamba-Nya.

Kesimpulannya, doa yang dicintai Allah bukan ditentukan oleh ayat tertentu atau susunan kata yang indah.

Ia ditentukan oleh sifat hamba yang berdoa: rendah diri, jujur, reda, bergantung dan berharap sepenuhnya kepada Allah. Allah tidak menilai kefasihan lidah, tetapi keikhlasan hati.

Rasulullah ﷺ bersabda:

إِنَّ اللَّهَ لَا يَنْظُرُ إِلَى صُوَرِكُمْ وَلَا إِلَى أَجْسَادِكُمْ وَلَكِنْ يَنْظُرُ إِلَى قُلُوبِكُمْ
Maksudnya: “Sesungguhnya Allah tidak melihat rupa dan tubuh kamu, tetapi melihat hati kamu.”
(Riwayat Muslim)

Maka ketika berdoa, jangan terlalu sibuk mencari ayat yang indah. Cukup hadir sebagai hamba yang lemah di hadapan Tuhan Yang Maha Kaya. Di situlah doa menjadi hidup, dan di situlah doa itu dicintai Allah.

Sumber: gania.haura

Ikuti kami, Waktu Solat Malaysia di semua platform untuk dapatkan lebih banyak info bermanfaat:

Facebook: https://www.facebook.com/waktusolatmsia

Instagram: https://www.instagram.com/waktusolatmy

WhatsApp Channel: https://whatsapp.com/channel/0029Va9S1HR6xCSNywYivK28

Telegram: https://t.me/waktusolat_my

TikTok: https://www.tiktok.com/@waktusolatmy

Threads: https://www.threads.com/@waktusolatmy

Sebagai penambahbaikan, kami ingin mendengar maklum balas anda tentang portal, artikel dan topik di Waktu Solat Malaysia. Sila luangkan sedikit masa untuk mengisi borang maklum balas di sini: https://forms.gle/cKnytmoA25T33hth9. Terima kasih atas sokongan anda!