Sejak kebelakangan ini, muncul satu perbincangan tentang ‘kerja ikhlas’ atau naratif yang semakin kuat di media sosial berkaitan dunia pekerjaan, iaitu konsep bekerja secara “bare minimum”.
Ramai berpendapat, jika majikan membayar gaji tertentu, maka usaha yang diberikan juga sepatutnya setara dengan jumlah tersebut.
Logiknya mudah: jangan beri lebih, kerana bimbang ditindas, diambil kesempatan atau dibebani kerja tanpa ganjaran.
Pandangan ini kelihatan munasabah jika dilihat secara kasar, namun apabila diamalkan dalam jangka panjang, ia sebenarnya meninggalkan kesan yang lebih mendalam terhadap nilai diri, keyakinan dan masa depan seseorang pekerja.
Realitinya, ramai yang akhirnya terperangkap. Apabila tiba masa untuk berpindah kerja atau memohon kenaikan gaji, mereka sukar menjelaskan sumbangan dan pencapaian diri.
Tidak yakin untuk berunding gaji, tidak tahu menilai kekuatan sendiri, dan sering buntu apabila ditanya tentang nilai yang boleh ditawarkan.
Semua ini berlaku kerana mereka telah lama membiasakan diri bekerja ala kadar, sekadar memenuhi kriteria, tanpa membina rekod kecemerlangan.
Kerja ikhlas, Islam melihat pekerjaan secara meluas
Islam melihat pekerjaan dari sudut yang lebih luas. Kerja bukan sekadar kontrak antara pekerja dan majikan, tetapi satu amanah dan ruang ibadah. Rasulullah ﷺ bersabda:
إِنَّ اللَّهَ يُحِبُّ إِذَا عَمِلَ أَحَدُكُمْ عَمَلًا أَنْ يُتْقِنَهُ
Maksudnya: “Sesungguhnya Allah mencintai apabila seseorang daripada kamu melakukan sesuatu pekerjaan, dia melakukannya dengan bersungguh-sungguh dan sempurna.” (Riwayat al-Baihaqi)
Hadis ini meletakkan asas penting bahawa kualiti kerja adalah nilai ibadah, bukan sekadar respon kepada gaji.
Apabila kerja dilakukan dengan niat lillahitaala, usaha itu tidak sia-sia walaupun manusia tidak menghargainya. Inilah asas kepada konsep kerja ikhlas yang ditekankan dalam Islam.
Allah SWT turut mengingatkan bahawa setiap amal akan diperhatikan dan dinilai oleh-Nya. Firman Allah:
وَقُلِ اعْمَلُوا فَسَيَرَى اللَّهُ عَمَلَكُمْ
Maksudnya: “Dan katakanlah, beramallah kamu, maka Allah akan melihat amalan kamu.” (Surah at-Taubah: 105)
Ayat ini memberi mesej jelas bahawa bekerja dengan kerja ikhlas, amanah dan bersungguh-sungguh bukanlah pilihan, tetapi tuntutan iman.
ARTIKEL BERKAITAN: Belum Dapat Kerja, Tertekan, Sakit Atau Menunggu Jodoh? Solat Tahajjud Jawapan Paling Mustajab
Namun perlu difahami, Islam tidak pernah mengajar umatnya untuk membenarkan diri ditindas atas nama keikhlasan. Prinsip keadilan tetap menjadi garis panduan. Nabi ﷺ bersabda:
لَا ضَرَرَ وَلَا ضِرَارَ
Maksudnya: “Tidak boleh memudaratkan diri sendiri dan tidak boleh memudaratkan orang lain.” (Riwayat Ibn Majah)
Maka kerja ikhlas bukan bermaksud menerima beban melampau, menutup mulut daripada ketidakadilan, atau bekerja tanpa sempadan.
Sebaliknya, ia bermaksud memberi usaha terbaik dalam skop yang dipertanggungjawabkan, sambil sedar akan hak dan batas diri.
Pekerja yang bekerja dengan niat ibadah akan sentiasa memperbaiki kemahiran, menjaga integriti dan membina nilai diri, bukan sekadar mengejar pujian.
Kerja ikhlas, mudah lihat perkembangan hidup
Menariknya, mereka yang kerja ikhlas atau bekerja dengan sepenuh jiwa sering lebih mudah melihat perkembangan dalam hidup.
Walaupun ganjaran tidak datang serta-merta di tempat yang sama, Allah membuka jalan lain melalui pengalaman, keyakinan dan peluang baharu. Firman Allah SWT:
وَمَا عِندَ اللَّهِ خَيْرٌ وَأَبْقَى
Maksudnya: “Apa yang ada di sisi Allah itu lebih baik dan lebih kekal.” (Surah al-Qasas: 60)
Ayat ini mengajar bahawa balasan Allah tidak semestinya berbentuk kenaikan gaji segera, tetapi mungkin berupa rezeki lain yang lebih besar dan berkekalan.
Inilah sebabnya Islam menganjurkan umatnya agar tidak mengecilkan potensi diri dengan mentaliti cukup-cukup makan.
Dalam dunia kerja moden, kerja ikhlas yang disertai strategi akan melahirkan pekerja yang bernilai tinggi.
Mereka tahu mendokumentasikan hasil kerja, mampu bercakap tentang pencapaian dengan yakin, dan berani membuat keputusan untuk bergerak ke hadapan apabila tiba masanya.
Berbeza dengan mentaliti ‘bare minimum’ yang akhirnya melemahkan daya saing dan keupayaan diri sendiri.
ARTIKEL BERKAITAN: Mengata Rakan Kerja Secara Tidak Sengaja? Ini Hukum Ghibah Dalam Islam Yang Perlu Anda Tahu
Kesimpulannya, bekerja sepenuh jiwa dengan niat lillahitaala bukan bermakna kita perlu mengorbankan diri tanpa batas.
Islam mengajar keseimbangan antara amanah, keadilan dan ihsan. Apabila kerja dilakukan sebagai ibadah, ia membentuk disiplin, maruah dan nilai diri yang tinggi.
Jangan hadkan diri untuk berkarya kerana rezeki bukan ditentukan oleh manusia semata-mata, tetapi oleh Allah, sebaik-baik pemberi rezeki dan khabar gembira.
Ikuti kami, Waktu Solat Malaysia di semua platform untuk dapatkan lebih banyak info bermanfaat:
Facebook: https://www.facebook.com/waktusolatmsia
Instagram: https://www.instagram.com/waktusolatmy
X: https://x.com/WaktuSolatMsia
WhatsApp Channel: https://whatsapp.com/channel/0029Va9S1HR6xCSNywYivK28
Telegram: https://t.me/waktusolat_my
TikTok: https://www.tiktok.com/@waktusolatmy
Threads: https://www.threads.com/@waktusolatmy
Sebagai penambahbaikan, kami ingin mendengar maklum balas anda tentang portal, artikel dan topik di Waktu Solat Malaysia. Sila luangkan sedikit masa untuk mengisi borang maklum balas di sini: https://forms.gle/cKnytmoA25T33hth9. Terima kasih atas sokongan anda!