(Sumber: Kosmo)


Seorang content creator lelaki berusia 25 tahun telah mencetuskan kontroversi selepas membuat siaran langsung berpakaian seperti wanita lengkap dengan aksesori dan solekan di kawasan tumpuan pelancong Banda Hilir, Melaka. Tindakannya bukan sahaja menarik perhatian orang ramai, malah turut mengundang tindakan undang-undang oleh pihak Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM). Dalam Islam, perbuatan menyerupai jantina bertentangan adalah satu bentuk pelanggaran terhadap fitrah ciptaan Allah dan larangan yang disebut dalam hadis Nabi SAW.

Rasulullah SAW bersabda:

“Allah melaknat lelaki yang menyerupai wanita dan wanita yang menyerupai lelaki.” (Riwayat Abu Daud dan al-Nasa’i).

Hadis ini jelas menunjukkan larangan terhadap perbuatan meniru penampilan jantina lain tanpa keperluan syar’i. Ia bukan sekadar soal pakaian, tetapi mencerminkan isu akidah, maruah dan tanggungjawab seorang Muslim menjaga identiti yang diberikan oleh Allah SWT.

Kes ini disiasat mengikut Seksyen 72, Enakmen Kesalahan Syariah Negeri Melaka 1991, dan individu terbabit telah dijatuhi denda RM1,800 oleh Mahkamah Rendah Syariah. Hukuman ini bukan hanya untuk memberi pengajaran kepada pelaku, tetapi juga sebagai peringatan kepada masyarakat bahawa Islam tidak memandang ringan soal menjaga batasan adab dan syariat di ruang awam.

Perbuatan content creator tersebut telah mencetuskan keresahan masyarakat kerana ia dianggap menormalisasikan gaya hidup yang bercanggah dengan Islam, khususnya elemen LGBT. Islam menuntut umatnya untuk menjaga kehormatan diri, berkelakuan sopan dan tidak menimbulkan fitnah dalam masyarakat. Sebarang bentuk hiburan atau content yang melanggar batas agama seharusnya dielakkan, apatah lagi jika ia dilakukan secara terbuka.

Sebagai masyarakat Muslim, kita harus menanamkan rasa malu dan kesedaran dalam diri agar tidak terpengaruh dengan trend atau content yang bertentangan dengan nilai Islam. Dakwah, pendidikan dan bimbingan perlu diperkukuhkan. Bukan hanya untuk menghukum tetapi untuk menyelamatkan akidah dan maruah umat Islam dari terus terhakis.



Credit: Beautiful Nara & Kosmo