Dalam dunia hiburan, gosip sudah menjadi ‘makanan harian’, namun apabila ia menyentuh institusi perkahwinan, ia bukan lagi perkara remeh. Dakwaan curang terhadap Fitri Haris, anggota kumpulan UNIC, baru-baru ini disambut dengan tenang oleh isterinya yang tampil dengan kenyataan penuh kepercayaan, satu reaksi yang mencerminkan kekuatan sebenar rumahtangga Muslim, berteraskan sabar dan bersangka baik.

Dalam suasana fitnah semakin berleluasa dan ujian rumah tangga datang tanpa diduga, sikap matang dan berlapang dada seperti ini bukan sahaja menyejukkan keadaan, malah menjadi cerminan akhlak seorang isteri yang memahami erti tawakkal dan redha terhadap ketentuan Allah.

Rasulullah SAW bersabda:

وَمَنْ كَانَ يُؤْمِنُ بِاللَّهِ وَاليَوْمِ الآخِرِ فَلْيَقُلْ خَيْرًا أَوْ لِيَصْمُتْ

“Sesiapa yang beriman kepada Allah dan hari akhirat, maka hendaklah dia berkata perkara baik atau diam.”

(HR Bukhari)

Ini termasuk dalam menangani gosip dan spekulasi. Menyebarkan berita tanpa kepastian, apatah lagi melibatkan rumahtangga orang lain adalah satu perbuatan yang boleh mengundang dosa besar. Ia juga boleh menggoncangkan rumahtangga yang sedang dalam keadaan stabil dan bahagia.

Dalam rumah tangga, kepercayaan adalah seperti tiang. Gosip yang dilempar dari luar hanya mampu menggoncang jika tiang ini rapuh. Sikap si isteri yang memilih untuk percaya dan menyokong suami, bukan sahaja mencerminkan kematangan, tetapi juga kena dengan prinsip Islam yang menggalakkan untuk menutup aib pasangan dan tidak membesarkan isu yang belum sahih. Ini juga menepis budaya cepat menghukum tanpa bukti.

Masyarakat juga perlu berhenti menjadikan kehidupan orang lain sebagai bahan hiburan atau drama yang sentiasa menanti klimaks. Islam mengajar kita untuk bersangka baik dan mendoakan kebaikan, bukan mengadu domba atau berseronok dengan kesusahan orang. Fitnah itu bukan sekadar dosa, ia racun yang merosakkan ukhuwah, perkahwinan, dan kesejahteraan hidup.

Sumber: OhBulan!