(sumber: @irfaanyusuf_/X

Isu berpakaian seksi dalam kalangan selebriti bukan perkara baharu, tetapi apabila seorang artis tampil mengakui kesilapan dan rasa berdosa atas tindakannya, itu satu titik perubahan yang patut dihargai. Erissa Puteri, melalui luahannya, sedar bahawa cara pemakaiannya sebelum ini tidak sejajar dengan tuntutan Islam. Ia memberi isyarat bahawa hidayah boleh datang dalam pelbagai bentuk, termasuk teguran masyarakat dan bisikan hati sendiri.

Dalam Islam, berpakaian bukan sekadar soal keselesaan atau fesyen, tetapi ia adalah lambang kehormatan diri dan ketundukan kepada perintah Allah. Firman Allah dalam Surah Al-A’raf ayat 26:

“Wahai anak Adam! Sesungguhnya Kami telah menurunkan kepadamu pakaian untuk menutup auratmu dan sebagai perhiasan”

Ini menunjukkan bahawa menutup aurat itu adalah ketetapan Ilahi, bukan pilihan peribadi semata-mata. Bila seseorang menyedari hal ini dan mula merasa bersalah atas keterlanjuran, itu tanda hatinya masih hidup.

Namun begitu, masyarakat juga perlu memainkan peranan yang penting. Menegur dengan mencerca atau menghina bukan cara Islam. Nabi SAW bersabda:

“Barang siapa yang menutupi aib saudaranya, maka Allah akan menutupi aibnya di dunia dan akhirat.” (HR. Muslim).

Maka, apabila seseorang sudah menyedari kesilapan dan sedang dalam proses berubah, kita sebagai masyarakat wajib menyokong, bukan terus menghukum.

Perubahan bukan berlaku sekelip mata. Ia proses yang perlukan kekuatan hati, bimbingan, dan ruang untuk memperbaiki diri. Erissa Puteri bukan satu-satunya yang berjuang dengan emosi dan persepsi masyarakat. Ramai dalam kalangan kita juga pernah berada dalam fasa gelap sebelum bertemu ‘cahaya’.

Bezanya, selebriti diuji di hadapan jutaan mata. Maka, doakanlah untuk beliau, bukan mencaci, kerana Islam tidak pernah mengajar kita untuk berbuat kasar sesama manusia.


Sumber: OhBulan!