
Baru-baru ini, tular di Threads kisah seorang rider penghantar makanan yang pada mulanya menyangka pelanggan tersebut ingin membelanjanya, namun rupa-rupanya mesej itu membawa maksud tersirat yang tidak senonoh.
Pelanggan tersebut cuba mengajak melakukan perkara tidak bermoral, malah menggunakan bahasa lucah dengan menggunakan perkataan ‘bj’.
Kisah ini bukan sahaja mengundang rasa marah di kalangan netizen, tetapi memberi pengajaran tentang bagaimana Islam memandang serius soal perbuatan songsang.
Dalam Islam, menjaga maruah adalah sebahagian daripada iman. Rasulullah SAW bersabda:
“Dan barangsiapa yang beriman kepada Allah dan hari Akhirat, maka hendaklah dia berkata yang baik atau diam.”
(Riwayat al-Bukhari)
Ini bukan sahaja berkait dengan perkataan secara lisan, malah juga mesej atau komunikasi dalam talian. Menghantar mesej lucah atau mengajak kepada maksiat adalah satu perbuatan dosa yang jelas dilarang.
Allah SWT mengingatkan dalam Al-Quran supaya kita tidak menghampiri zina, termasuk segala jalan yang boleh membawanya.
Dan janganlah kamu menghampiri zina, sesungguhnya zina itu adalah satu perbuatan yang keji dan satu jalan yang jahat (yang membawa kerosakan)
(Surah al-Isra’, 17:32)
Mesej-mesej yang bernada lucah atau provokatif walaupun “hanya gurauan” tetap dikira melanggar batas syarak, kerana ia merosakkan hati dan membuka pintu keburukan.
Pengajaran daripada kisah ini ialah umat Islam perlu tegas menjaga batas pergaulan, sama ada secara berdepan mahupun di alam maya.
Rider tersebut juga bertindak bijak dengan tidak melayan pelanggan tersebut dan mendedahkannya sebagai peringatan kepada orang lain.
Inilah contoh sikap yang sepatutnya ada pada setiap Muslim. Berani menolak maksiat, menjaga diri daripada fitnah, dan mengingatkan orang lain tentang bahayanya.
Semoga kita semua sentiasa berada di bawah lindungan-Nya, InsyaAllah.
Sumber: MStar & Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan