Air mata seorang kanak-kanak yang ketakutan di dalam kereta yang ditembusi peluru bukan sekadar rakaman audio yang tular di media antarabangsa.

Ia menjadi suara yang menembusi hati manusia di seluruh dunia.

Nama Hind Rajab disebut bukan kerana kemasyhuran, tetapi kerana tragedi yang menimpanya membuka mata dunia tentang penderitaan orang awam, khususnya kanak-kanak, dalam konflik bersenjata.

Pada 29 Januari 2024, Hind Rajab yang baru berusia lima tahun berada dalam kenderaan bersama ahli keluarganya ketika cuba melarikan diri dari kawasan Tel al-Hawa, Gaza.

Kenderaan itu kemudiannya ditembak dan beberapa ahli keluarganya maut di tempat kejadian.

Hind yang cedera terselamat buat sementara waktu dan sempat menghubungi Persatuan Bulan Sabit Merah Palestin (PRCS) memohon bantuan dalam keadaan ketakutan yang amat sangat.

Rakaman suara kecil itu yang merayu, “Saya sangat takut, tolong datang,” menggoncang emosi dunia.

hind rajab
Kereta yang menempatkan Hind Rajab dan jasad ahli keluarganya (Gambar BBC)

Berjam-jam dia menunggu bantuan dalam keadaan keseorangan di dalam kenderaan yang dipenuhi jasad ahli keluarganya.

Ambulans yang cuba datang membantu juga dilaporkan musnah.

Beberapa hari kemudian, jasad Hind ditemui bersama paramedik yang cuba menyelamatkannya.

Peristiwa Hind Rajab ini bukan sekadar laporan berita.

Ia menjadi simbol penderitaan kanak-kanak dalam konflik dan membuka perbincangan besar tentang nilai nyawa manusia.

Allah SWT berfirman:

مَنْ قَتَلَ نَفْسًا بِغَيْرِ نَفْسٍ أَوْ فَسَادٍ فِي الْأَرْضِ فَكَأَنَّمَا قَتَلَ النَّاسَ جَمِيعًا
“Sesiapa yang membunuh satu jiwa tanpa alasan yang benar, maka seolah-olah dia telah membunuh seluruh manusia.” (Surah al-Ma’idah: 32)

Rasulullah SAW pula melarang pembunuhan wanita dan kanak-kanak walaupun dalam peperangan:

نَهَى رَسُولُ اللَّهِ عَنْ قَتْلِ النِّسَاءِ وَالصِّبْيَانِ (Hadis Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Hadis ini menjadi prinsip asas dalam etika peperangan menurut Islam.

Kanak-kanak tidak boleh menjadi sasaran dalam apa jua keadaan.

Kisah Hind Rajab diangkat ke layar perak

hind rajab
Sekitar Majlis Tayangan Perdana filem “The Voice of Hind Rajab“, di GSC Mid Valley Megamall, Kuala Lumpur (Gambar Harian Metro)

Kini, kisah Hind Rajab diangkat ke layar perak menerusi filem The Voice of Hind Rajab arahan pengarah tersohor Tunisia, Kaouther Ben Hania, yang kini ditayangkan di pawagam terpilih seluruh negara sejak 8 Januari lalu.

Filem berunsur inspirasi yang diadaptasi daripada kisah benar itu menampilkan barisan pelakon antarabangsa seperti Saja Kilani, Motaz Malhees, Amer Hlehel dan Clara Khoury.

Diterbitkan oleh Mime Films dan Tanit Films dengan kerjasama Primeworks Studios selaku rakan pemasaran rasmi, naskhah ini membuka kalendar pawagam tempatan dengan naratif kemanusiaan yang menyentuh emosi penonton.

The Voice of Hind Rajab tidak memaparkan keganasan secara eksplisit.

Sebaliknya, ia mengajak penonton menyelami emosi penantian seorang kanak-kanak yang terperangkap di zon konflik, hanya ditemani suara di hujung talian dan harapan yang semakin pudar.

Pendekatan ini menjadikan filem ini sesuai ditonton seisi keluarga sebagai medium pendidikan kemanusiaan.

Mengulas kepentingan naskhah ini, Ketua Pegawai Eksekutif Rangkaian Televisyen Media Prima dan Primeworks Studios, Nini Yusof menyatakan rasa syukur kerana dapat membawa filem ini ke Malaysia memandangkan mesejnya amat dekat dengan semangat solidariti rakyat negara ini terhadap Palestin.

“Kami rasa amat bertuah dan bersyukur kerana dapat membuka tahun 2026 dengan membawa dan menayangkan The Voice of Hind Rajab kepada rakyat Malaysia.

Filem ini sangat dekat dengan hati rakyat Malaysia yang sememangnya peka dan prihatin terhadap apa yang berlaku di Gaza,” katanya.

Sebagai tanda sokongan terhadap usaha kemanusiaan, Media Prima akan menyumbangkan RM1.00 daripada bahagiannya bagi setiap tiket yang terjual kepada Tabung Kemanusiaan Palestin Media Prima.

Usaha promosi filem ini turut diperkasakan menerusi kempen Hind Rajab: Suara Terakhir hasil kerjasama strategik bersama MERCY Malaysia, dengan sokongan Persatuan Bulan Sabit Merah Palestin serta Persatuan Bulan Sabit Merah Malaysia.

Kempen ini dipacu melalui advokasi kesedaran oleh Zainal Rashid Ahmad, Ahmad Fedtri Yahya dan Uyaina Arshad.

Memetik laporan Buletin TV3, Zainal Rashid ketika ditemui berkata, filem ini mampu menjadi medium pendidikan kemanusiaan kepada semua lapisan masyarakat.

“Jika anda menonton, malah jika anak-anak menonton sekalipun, pasti mereka akan menerima pengajaran yang besar. Apa yang berlaku kepada Hind Rajab adalah di luar batas kemanusiaan dan tidak sepatutnya berlaku kepada mana-mana kanak-kanak,” katanya.

Doa, empati dan kesedaran nilai rahmah

Sebagai umat Islam, kisah Hind Rajab tidak sepatutnya berhenti pada rasa sedih.

Ia perlu diterjemahkan kepada doa, empati dan kesedaran tentang nilai rahmah yang diajar oleh agama.

Rasulullah SAW bersabda:

مَثَلُ الْمُؤْمِنِينَ فِي تَوَادِّهِمْ وَتَرَاحُمِهِمْ وَتَعَاطُفِهِمْ كَمَثَلِ الْجَسَدِ الْوَاحِدِ
“Perumpamaan orang beriman dalam kasih sayang dan empati mereka seperti satu tubuh.” (Hadis Riwayat Muslim)

Apabila satu bahagian sakit, seluruh tubuh turut merasa.

Filem ini menjadi salah satu cara untuk kita ‘merasai’ kesakitan itu dan mendidik jiwa agar tidak pernah hilang rasa kemanusiaan.

Hind Rajab kini bukan sekadar nama dalam laporan berita.

Ia menjadi suara yang diabadikan dalam sebuah karya seni yang mengajak kita berfikir, merasa dan berdoa.

Semoga kisah ini membuka hati lebih ramai manusia untuk menghargai keamanan, mendidik anak-anak tentang nilai kemanusiaan, dan tidak pernah berhenti mendoakan mereka yang diuji di bumi Palestin.

Sumber: Wiki, Buletin TV3, Harian Metro

BACA JUGA: 168 Doktor Palestin Graduasi Di Runtuhan Hospital Al-Shifa, Simbol Keteguhan Iman

Ikuti kami, Waktu Solat Malaysia di semua platform untuk dapatkan lebih banyak info bermanfaat:

Facebook: https://www.facebook.com/waktusolatmsia

Instagram: https://www.instagram.com/waktusolatmy

X: https://x.com/WaktuSolatMsia

WhatsApp Channel: https://whatsapp.com/channel/0029Va9S1HR6xCSNywYivK28

Telegram: https://t.me/waktusolat_my

TikTok: https://www.tiktok.com/@waktusolatmy

Threads: https://www.threads.com/@waktusolatmy

Sebagai penambahbaikan, kami ingin mendengar maklum balas anda tentang portal, artikel dan topik di Waktu Solat Malaysia. Sila luangkan sedikit masa untuk mengisi borang maklum balas di sini: https://forms.gle/cKnytmoA25T33hth9. Terima kasih atas sokongan anda!