Menziarahi Raudhah adalah impian setiap jemaah yang menjejakkan kaki ke Madinah.
Di situlah tempat paling mustajab doa, kawasan di antara rumah Rasulullah SAW dan mimbar Baginda, yang disebut sebagai taman daripada taman-taman syurga.
Rasulullah SAW bersabda:
مَا بَيْنَ بَيْتِي وَمِنْبَرِي رَوْضَةٌ مِنْ رِيَاضِ الْجَنَّةِ
“Di antara rumahku dan mimbarku adalah taman daripada taman-taman syurga.” (Riwayat al-Bukhari)
Sebab itu, slot Raudhah menjadi rebutan.
Namun apa yang menyedihkan, ada pihak mengambil kesempatan menjadikan sesuatu yang percuma ini sebagai lubuk duit melalui jalan yang meragukan.
Slot Raudhah Mengikut Sistem Rasmi Arab Saudi
Kerajaan Arab Saudi melalui aplikasi Nusuk telah menetapkan sistem yang jelas dan sah untuk mendapatkan slot Raudhah.
Bagi pemegang visa umrah, kuota diberikan dua kali. Bagi pemegang visa pelancong, sekali.
Jika kedua-duanya tidak berjaya, masih ada kaedah yang dikenali sebagai “instant tracker” yang memang wujud dan diiktiraf.
Semua ini adalah percuma. Tiada bayaran. Tiada orang tengah. Tiada ‘kawtim’.
Namun persoalannya, kenapa ramai jemaah langsung tidak berjaya menempah slot Raudhah walaupun mencuba berbulan-bulan?
Slot Raudhah Penuh Sampai Bulan 3, Masuk Akal?
Perkongsian Siti Zulaikha Khaled (@thediyjuju) di Instagram membuka mata ramai.
Kumpulan umrahnya sudah ‘battle’ menempah slot Raudhah sejak tiga bulan sebelum berlepas, setiap hari mencuba tanpa jemu.
Mereka pergi pada musim puncak antara Disember hingga Februari.
Tetapi yang pelik, Nusuk menunjukkan penuh sehingga bulan Mac.
Bukan sehari dua, tetapi berbulan-bulan. Di sinilah timbul tanda tanya.
Slot Raudhah Dijual Sebagai ‘Tasrih’ 50 Riyal
Akhirnya, ada yang mencadangkan jalan pintas.
Boleh beli ‘tasrih’ iaitu permit masuk Raudhah dengan bayaran 50 riyal melalui seorang ustazah yang dikatakan boleh ‘uruskan’.
Jemaah yang tidak pernah masuk Raudhah sebelum ini tergerak hati untuk mencuba.
Niatnya baik. Mahu berdoa di Raudhah.
Namun apa yang berlaku di pintu Gate 37 sangat mengejutkan.
Apabila aplikasi Nusuk ditunjukkan, nama pada skrin bukan nama jemaah.
Nama Syuhada bertukar menjadi Faridah. Nama Zainab bertukar menjadi Mirza.
Siapa Mirza? Siapa Faridah?
Rupa-rupanya slot Raudhah yang dibeli itu menggunakan kuota orang lain tanpa pengetahuan pemilik asal.
Slot Raudhah & Persoalan Integriti
Di sinilah persoalan besar timbul.
Adakah selama ini kegagalan kita menempah slot Raudhah kerana kuota kita sudah digunakan oleh orang lain tanpa kita sedari?
Bagaimana individu tertentu boleh menjual permit Nusuk, tasrih dan instant tracker sedangkan semuanya adalah sistem rasmi dan percuma?
Adakah wujud sindiket? Adakah ada orang dalam yang bersekongkol?
Ini bukan lagi isu teknikal. Ini isu amanah. Rasulullah SAW bersabda:
مَنْ غَشَّ فَلَيْسَ مِنَّا
“Barang siapa yang menipu, maka dia bukan daripada kalangan kami.” (Riwayat Muslim)
Slot Raudhah Bukan Barang Dagangan
Raudhah adalah tempat suci. Tempat doa. Tempat air mata.
Tetapi ada pihak menjadikannya ruang mencari keuntungan dengan cara yang sangat meragukan.
Lebih membimbangkan, jemaah sendiri tidak dimaklumkan bahawa mereka sebenarnya menggunakan kuota orang lain.
Bagaimana jika pemilik asal nama itu tidak reda? Bagaimana jika itu termasuk mengambil hak orang lain?
Allah SWT berfirman:
وَلَا تَأْكُلُوا أَمْوَالَكُم بَيْنَكُم بِالْبَاطِلِ
“Dan janganlah kamu makan harta sesama kamu dengan cara yang batil.” (Surah al-Baqarah: 188)
Kesan Kepada Jemaah Lain
Kemungkinan besar inilah sebab kenapa ramai jemaah tidak berjaya menempah slot Raudhah walaupun mencuba berkali-kali.
Sistem kelihatan penuh kerana kuota dimanipulasi oleh pihak tertentu.
Yang menjadi mangsa adalah jemaah biasa yang sabar menunggu mengikut saluran yang betul.
Mereka tidak tahu bahawa nama mereka mungkin sudah digunakan.
Jangan Terpedaya Jalan Pintas
Perkongsian ini menjadi peringatan besar.
Jangan mudah percaya jika ada pihak menawarkan jalan pintas untuk masuk Raudhah dengan bayaran.
Jika ia tidak melalui saluran Nusuk secara sah, maka besar kemungkinan ia bukan cara yang diiktiraf.
Ibadah bukan sekadar sampai. Ibadah juga tentang cara kita sampai.
Tanggungjawab Jemaah
Sebagai jemaah, kita perlu lebih peka.
Jangan kerana terlalu mahu masuk Raudhah, kita terlibat tanpa sedar dalam perkara yang meragukan.
Raudhah itu taman syurga. Jangan sampai langkah kita ke sana dicemari dengan mengambil hak orang lain.
Rasulullah SAW bersabda:
دَعْ مَا يَرِيبُكَ إِلَى مَا لَا يَرِيبُكَ
“Tinggalkan perkara yang meragukan kepada perkara yang tidak meragukan.” (Riwayat al-Tirmizi)
Kisah ini bukan untuk menuduh, tetapi untuk menyedarkan.
Supaya lebih ramai jemaah tahu bahawa slot Raudhah adalah percuma dan hanya melalui saluran rasmi.
Jika ada bayaran, jika ada orang tengah, jika ada nama yang bukan nama kita itu sudah cukup menjadi tanda bahaya.
Kerana dalam ibadah, kejujuran lebih utama daripada keinginan.
Sumber: thediyjuju
BACA JUGA: Wanita Kongsi Cara Masuk Raudhah di Madinah Berkali-Kali Dengan Fungsi ‘Ini’
BACA JUGA: Cara Sebenar Beri Salam & Berdoa Ketika Ziarah Makam Rasulullah SAW, Jangan Sampai Tersilap Akidah
Ikuti kami, Waktu Solat Malaysia di semua platform untuk dapatkan lebih banyak info bermanfaat:
Facebook: https://www.facebook.com/waktusolatmsia
Instagram: https://www.instagram.com/waktusolatmy
X: https://x.com/WaktuSolatMsia
WhatsApp Channel: https://whatsapp.com/channel/0029Va9S1HR6xCSNywYivK28
Telegram: https://t.me/waktusolat_my
TikTok: https://www.tiktok.com/@waktusolatmy
Threads: https://www.threads.com/@waktusolatmy
Sebagai penambahbaikan, kami ingin mendengar maklum balas anda tentang portal, artikel dan topik di Waktu Solat Malaysia. Sila luangkan sedikit masa untuk mengisi borang maklum balas di sini: https://forms.gle/cKnytmoA25T33hth9. Terima kasih atas sokongan anda!