Solat Subuh adalah permulaan hari bagi seorang Muslim dan menjadi tanda kualiti hubungan seorang hamba dengan Allah SWT.
Namun realitinya, ada kalanya seseorang terjaga pada jam 8 atau 9 pagi dan mendapati waktu solat Subuh sudah pun berakhir.
Persoalan yang sering muncul ialah: “Adakah saya berdosa?” dan “Perlu qada atau tidak?”.
Isu ini sering menjadi kekeliruan masyarakat, sehingga sebahagian orang meninggalkan solat terus kerana menganggap ia sudah tidak sah.
Mari kita menjelaskan hukum sebenar berdasarkan riwayat sahih serta panduan ringkas yang selaras dengan sunnah Nabi ﷺ.
Apa wajib buat bila solat Subuh dalam keadaan terlewat?
Jika seorang Muslim bangun selepas matahari terbit, dia wajib menunaikan solat Subuh dengan segera. Dari sudut istilah fiqh, solat yang dilakukan di luar waktunya disebut sebagai qada, namun cara perlaksanaannya tetap sama seperti solat biasa.
Seseorang hanya perlu bangun, mengambil wuduk, dan terus mengerjakan solat Subuh dua rakaat dengan niat di dalam hati sebagaimana niat lazim solat tersebut. Tidak ada lafaz niat khusus yang perlu dilafazkan.
Hal ini berlandaskan hadis sahih yang menjadi dalil utama:
مَنْ نَسِيَ صَلَاةً أَوْ نَامَ عَنْهَا فَكَفَّارَتُهَا أَنْ يُصَلِّيَهَا إِذَا ذَكَرَهَا
Maksudnya: “Sesiapa yang terlupa solat atau tertidur sehingga terlepas waktu, maka kafaratnya ialah dia solat apabila dia ingat (atau terjaga).”
(Hadis Riwayat Bukhari & Muslim)
Hadis ini jelas menunjukkan bahawa tiada dosa bagi orang yang tertinggal solat Subuh tanpa sengaja. Bahkan, Nabi ﷺ sendiri pernah mengalami situasi seumpamanya ketika dalam perjalanan, lalu baginda dan para sahabat melakukan solat tersebut setelah terjaga.
Hukum tertidur tanpa sengaja
Dalam keadaan seseorang benar-benar tertidur tanpa sengaja, para ulama sepakat bahawa dia tidak berdosa.
Tidur merupakan perkara yang menghilangkan kesedaran dan ia tidak berada dalam kawalan manusia. Oleh itu, jika seseorang berniat mahu bangun, telah memasang penggera (alarm), meminta keluarga kejutkan, tetapi tetap tidak terjaga, maka dia tidak menanggung dosa.
Yang wajib hanyalah menunaikan solat Subuh sebaik sahaja bangun tidur.
Rasulullah ﷺ menegaskan bahawa kelalaian yang tidak disengajakan tidak dihitung sebagai dosa. Prinsip ini selari dengan kaedah:
رُفِعَ عَنْ أُمَّتِي الْخَطَأُ وَالنِّسْيَانُ
Maksudnya: “Diampunkan bagi umatku kesalahan dan kelupaan.”
(Hadis Riwayat Ibn Majah)
Ini menunjukkan bahawa terlewat bangun solat Subuh kerana tertidur tidak sepatutnya membawa seseorang kepada perasaan bersalah yang berlebihan. Yang penting ialah membetulkan keadaan dengan menyegerakan solat.
Jadi lalai bila sengaja
Walaupun Islam memberi kelonggaran kepada yang benar-benar tidak sengaja, terdapat dua keadaan yang menyebabkan seseorang berdosa apabila terlepas solat Subuh.
Pertama, apabila seseorang dengan sengaja melengah-lengahkan solat walaupun masa masih ada. Seseorang mungkin masih berjaga, sedar Subuh hampir tamat, namun sengaja bertangguh. Perbuatan ini haram dan termasuk dalam sifat melalaikan kewajipan.
Kedua, apabila seseorang sengaja tidur lewat dengan melakukan perkara sia-sia hingga tahu dia pasti sukar bangun.
Ulama seperti Imam Nawawi menegaskan bahawa jika seseorang tidak berusaha untuk bangun, tidak memasang alarm, tidak berniat bangun, tidak meminta bantuan sedangkan dia tahu Subuh itu wajib, maka hukumnya berdosa kerana kelalaiannya sendiri yang menyebabkan solat ditinggalkan.
Dalam hal ini, Nabi ﷺ memberi peringatan keras:
أَثْقَلُ الصَّلَاةِ عَلَى الْمُنَافِقِينَ صَلَاةُ الْعِشَاءِ وَصَلَاةُ الْفَجْرِ
Maksudnya: “Solat yang paling berat bagi orang munafik ialah solat Isyak dan solat Subuh.”
(Hadis Riwayat Bukhari & Muslim)
Ini menunjukkan kedudukan solat Subuh begitu penting sehingga kelalaian yang disengajakan boleh membawa seseorang ke arah sifat-sifat munafik.
Ringkasnya, jika seseorang bangun pada jam 9 pagi atau selepas terbit matahari, dia perlu segera berwuduk dan menunaikan solat Subuh tanpa bertangguh. Tidak berdosa jika benar-benar tidak sengaja.
Namun, berdosa jika kelalaian itu hasil daripada tindakan sendiri seperti sengaja berjaga untuk perkara yang tidak bermanfaat dan tidak mengambil langkah untuk bangun awal.
Islam adalah agama yang penuh rahmat, namun tetap tegas dalam urusan ibadah fardu. Dengan memahami hukum sebenar ini, diharapkan masyarakat tidak lagi meninggalkan solat atau berasa berdosa tanpa sebab, sebaliknya memperbaiki amalan dengan cara yang benar.
Artikel berkaitan: Rahsia Bangun Subuh Tepat Waktu, Amalan Sunnah Nabi SAW & Doa Mustajab Untuk Hidup Lebih Berkat
Ikuti kami, Waktu Solat Malaysia di semua platform untuk dapatkan lebih banyak info bermanfaat:
Facebook: https://www.facebook.com/waktusolatmsia
Instagram: https://www.instagram.com/waktusolatmy
WhatsApp Channel: https://whatsapp.com/channel/0029Va9S1HR6xCSNywYivK28
Telegram: https://t.me/waktusolat_my
TikTok: https://www.tiktok.com/@waktusolatmy
Threads: https://www.threads.com/@waktusolatmy
Sebagai penambahbaikan, kami ingin mendengar maklum balas anda tentang portal, artikel dan topik di Waktu Solat Malaysia. Sila luangkan sedikit masa untuk mengisi borang maklum balas di sini: https://forms.gle/cKnytmoA25T33hth9. Terima kasih atas sokongan anda!