Setiap bait nama yang dialunkan oleh ibu dan ayah kepada seorang anak merupakan sebuah doa, harapan, dan cetusan kasih sayang yang akan dibawa sehingga ke hari akhirat kelak.

Namun, dalam keghairahan kita memilih nama Abdul pada permulaan yang kedengaran indah di corong telinga, sering kali kita terlepas pandang akan batas syariat yang telah digariskan oleh Baginda Nabi SAW sehingga ada dalam kalangan kita yang terjatuh ke dalam lembah larangan tanpa disedari.

Sungguh memilukan apabila niat murni untuk memberi nama yang baik bertukar menjadi suatu dosa, terutamanya dalam isu meletakkan nama Abdul yang disandarkan kepada entiti atau nama yang bukan daripada nama-nama indah Allah SWT (Asmaul Husna).

Menurut perkongsian ilmu yang sangat bermanfaat daripada pendakwah bebas, PU Salman, ramai dalam kalangan masyarakat Malaysia hari ini yang masih tidak menyedari bahawa perbuatan tersebut adalah dilarang keras dan hukumnya adalah haram dalam agama Islam.

Hukum Haram Meletakkan Nama Abdul Selain Nama Allah

Sebagai umat Islam yang mendambakan keredaan-Nya, kita wajib memahami struktur dan maksud di sebalik nama yang dipilih.

Perkataan “Abdul” membawa maksud “hamba kepada”, yang mana ia wajib disandarkan hanya kepada Allah SWT, pemilik sekalian alam.

Apabila terdapat segelintir pihak yang sewenang-wenangnya meletakkan nama Abdul yang digabungkan dengan nama manusia atau makhluk lain seperti Abdul Muaz atau Abdul Yazid, ia secara tidak langsung membawa maksud “hamba kepada Muaz” atau “hamba kepada Yazid”.

Menurut PU Salman, meletakkan nama Abdul yang disandarkan kepada selain nama Allah adalah haram secara mutlak.

Hal ini disokong kuat oleh hujah bertauliah daripada institusi fatwa dan kitab-kitab muktabar.

Amalan ini bukan sekadar isu sebutan, malah ia melibatkan kecacatan dari sudut akidah kerana meletakkan status kehambaan makhluk kepada makhluk yang lain.

Kupasan Kitab Feqah Mengenai Nama Abdul Yang Dilarang

Menyelami dengan lebih mendalam ke dalam khazanah keilmuan Islam, larangan ini bukanlah suatu perkara yang baru diperdebatkan.

PU Salman memetik pandangan tegas daripada Imam Ibnu Hajar Al-Haitami di dalam kitabnya yang terkenal, Tuhfatul Muhtaj:

وَتَحْرُمُ التَّسْمِيَةُ بِعَبْدِ النَّبِيِّ، أَوْ عَبْدِ الْكَعْبَةِ، أَوْ عَبْدِ الدَّارِ، أَوْ عَبْدِ عَلِيٍّ، أَوْ عَبْدِ الْحُسَيْنِ، لِإِيهَامِ التَّشْرِيكِ

Maksudnya: “Dan diharamkan penamaan dengan nama Abdul Nabi (hamba Nabi), atau Abdul Kaabah (hamba Kaabah), atau Abdul Dar (hamba rumah), atau Abdul Ali (hamba Ali), atau Abdul Husain (hamba Husain), kerana ia boleh membawa kepada kesamaran syirik.”

Melalui coretan hukum ini, jelaslah bahawa apa-apa sahaja nama Abdul yang tidak membawa maksud kehambaan kepada Sang Pencipta adalah ditegah demi memelihara kesucian tauhid.

Malah, Imam Ibnu Hazm turut menegaskan bahawa para ulama telah mencapai kata sepakat (ijmak) mengenai pengharaman ke atas mana-mana individu yang menggunakan nama Abdul untuk disembah atau dihambakan kepada selain daripada Allah SWT.

Hadis Sahih Menjadi Bukti Larangan Nama Abdul Oleh Nabi SAW

Sifat kasih dan sayangnya Nabi SAW kepada umatnya dibuktikan apabila Baginda sendiri membetulkan kesilapan para sahabat yang mempunyai nama yang tidak bertepatan dengan syariat.

Dalam sebuah hadis sahih, Baginda SAW pernah bertanya kepada seorang lelaki:

مَاسْمُكَ؟

Maksudnya: “Siapakah namamu?”

Lelaki itu menjawab bahawa namanya ialah “Abdul Hajar” yang membawa maksud hamba batu.

Sebaik sahaja mendengar jawapan tersebut, Rasulullah SAW dengan tegas dan penuh hikmah terus menukarkan nama tersebut dengan bersabda:

إِنَّمَا أَنْتَ عَبْدُ اللَّهِ

Maksudnya: “Sesungguhn engkau adalah Abdullah (hamba Allah).” (Hadis Riwayat Ibnu Abi Syaibah)

Melalui sirah ini, kita dapat melihat bagaimana Rasulullah SAW tidak membiarkan penggunaan nama Abdul yang salah itu terus digunakan, sekali gus menjadi dalil bahawa pengunaan nama Abdul mestilah digandangkan dengan nama-nama Allah yang agung seperti Abdullah, Abdul Rahman, atau Abdul Quddus.

Langkah Segera Menukar Nama Abdul Yang Salah Demi Akidah

Rentetan daripada penjelasan yang disampaikan oleh PU Salman ini, sudah tiba masanya untuk kita bermuhasabah dan menyemak kembali nama-nama ahli keluarga, sahabat handai, mahupun nama kita sendiri.

nama abdul
Pencetus Ummah Salman

Sekiranya ada dalam kalangan kenalan kita yang masih menggunakan nama Abdul yang bersandarkan kepada nama manusia atau nama-nama lain yang bukan hak milik Allah, marilah kita menasihati mereka dengan penuh kelembutan untuk menukarkannya.

  • Semak kembali sijil kelahiran atau kad pengenalan anak-anak.
  • Gantikan bahagian nama yang salah dengan nama Asmaul Husna yang betul.
  • Rujuk kepada pihak berkuasa agama sekiranya terdapat kekeliruan maksud nama.

Mengubah nama Abdul yang dilarang kepada nama yang diredai Allah bukan sahaja menyelamatkan urusan kita di dunia, bahkan ia merupakan satu bentuk ketaatan yang akan memelihara kita daripada terus berada dalam keadaan yang dilarang oleh agama suci ini.

Insya-Allah, moga asbab perubahan kecil ini, hidup kita sentiasa dihujani keberkatan-Nya.

Wallahu a’lam.

Sumber: Instagram @pusalman

BACA JUGA: Jangan Pakai Kopiah Nama Nabi Masuk Tandas, Nama Allah & Para Nabi Syiar Mesti Diletak Tempat Paling Tinggi

BACA JUGA: Panduan Beri Nama Anak: Elak Nama Haram & Makruh Menurut Islam, Jaga Akidah Sejak Lahir

Ikuti kami, Waktu Solat Malaysia di semua platform untuk dapatkan lebih banyak info bermanfaat:

Facebook: https://www.facebook.com/waktusolatmsia

Instagram: https://www.instagram.com/waktusolatmy

X: https://x.com/WaktuSolatMsia

WhatsApp Channel: https://whatsapp.com/channel/0029Va9S1HR6xCSNywYivK28

Telegram: https://t.me/waktusolat_my

TikTok: https://www.tiktok.com/@waktusolatmy

Threads: https://www.threads.com/@waktusolatmy

YouTube: https://www.youtube.com/channel/UCNBD0UlKUCbUHm-VmXWozEw

Muat turun aplikasi Waktu Solat Malaysia melalui App Store atau Play Store hari ini.

Waktu Solat Malaysia memperkenalkan Kotak Luahan, ruang selamat dan ‘anonymous’ untuk anda berkongsi pertanyaan, keresahan, pengetahuan atau pandangan berkaitan agama dan kehidupan.

Luahkan di: https://www.waktusolat.digital/kotak-luahan/

Kerana kadang-kadang, meluah itu membuat hati rasa lega!

Sekiranya anda ada maklum balas anda tentang portal, artikel dan topik di Waktu Solat Malaysia, hantar ke: https://forms.gle/cKnytmoA25T33hth9