Mandikan jenazah merupakan penghormatan terakhir yang diberikan kepada seseorang Muslim sebelum jasadnya dikafankan, disolatkan dan dikebumikan.
Bagi ahli keluarga yang baru kehilangan insan tersayang, pastinya timbul keinginan untuk berada di sisi Allahyarham sepanjang proses pengurusan jenazah berlangsung.
Namun, ada juga individu yang ingin menyaksikan proses mandi jenazah semata-mata kerana perasaan ingin tahu, meskipun tidak mempunyai sebarang tugas atau tanggungjawab dalam urusan tersebut.
Persoalannya, adakah individu yang tidak terlibat dalam urusan mandikan jenazah dibenarkan berada di tempat tersebut hanya untuk melihat?
Menerusi penjelasan hukum yang dikemukakan oleh para ulama, kehadiran individu tanpa sebarang keperluan ketika proses mandi jenazah berlangsung adalah MAKRUH kerana Islam amat menitikberatkan penjagaan aurat, aib dan maruah si mati.
Memandikan Jenazah Perlu Dilakukan Di Tempat Tertutup
Antara perkara utama yang perlu diberikan perhatian ketika menguruskan jenazah ialah menjaga kehormatan si mati sebagaimana kehormatannya dijaga ketika masih hidup.
Daripada Abu Hurairah RA, Rasulullah SAW bersabda:
مَنْ سَتَرَ مُسْلِمًا سَتَرَهُ اللَّهُ فِي الدُّنْيَا وَالْآخِرَةِ
Maksudnya: “Sesiapa yang menutup aib seorang Muslim, Allah akan menutup aibnya di dunia dan akhirat.” (Riwayat Muslim, 2699, petikan hadis)
Ketika proses mandikan jenazah, terdapat kemungkinan keadaan fizikal atau kecacatan tubuh badan si mati yang tidak pernah diketahui orang lain semasa hayatnya akan tersingkap.
Oleh sebab itu, para ulama menyarankan agar tempat mandi jenazah ditutup daripada pandangan umum dan hanya dihadiri oleh individu yang benar-benar diperlukan.
Imam al-‘Imrani dalam kitab al-Bayan menjelaskan bahawa disunatkan agar tiada sesiapa bersama pemandi jenazah melainkan mereka yang diperlukan untuk membantunya.
Sekiranya seseorang mampu mandikan jenazah tanpa bantuan orang lain, maka keadaan tersebut adalah lebih utama.
Hukum Melihat Orang Memandikan Jenazah Tanpa Keperluan
Menurut Ibn Qudamah dalam kitab al-Mughni, kehadiran individu yang tidak membantu dalam urusan mandi jenazah adalah makruh.
Ini kerana seseorang tidak digalakkan melihat keadaan tubuh jenazah melainkan apabila terdapat keperluan.
Malah, individu yang terlibat dalam urusan mandikan jenazah juga disunatkan menjaga pandangan dan tidak melihat bahagian tubuh si mati tanpa keperluan.
Ketetapan ini bertujuan mengelakkan pendedahan perkara yang mungkin tidak disenangi oleh Allahyarham sekiranya masih hidup.
Perasaan ingin tahu atau keinginan untuk menyaksikan sendiri proses tersebut bukanlah alasan untuk mengabaikan adab pengurusan jenazah.
Sebaliknya, individu yang tidak mempunyai sebarang tanggungjawab sebaiknya menunggu di luar sehingga urusan mandikan jenazah selesai.
Siapa Yang Dibenarkan Hadir Ketika Memandikan Jenazah?
Menurut pandangan yang dikemukakan oleh Dar al-Ifta al-Misriyyah, kehadiran ketika proses mandi jenazah sebaiknya dihadkan kepada individu berikut:
- Petugas yang bertanggungjawab menguruskan mandi jenazah.
- Pembantu yang diperlukan untuk melancarkan proses tersebut.
- Wali atau penjaga sah si mati yang diberikan kelonggaran untuk hadir meskipun tidak diperlukan sebagai pembantu.
Bagaimanapun, kelonggaran kepada wali tidak bermaksud semua ahli keluarga, saudara-mara atau kenalan dibenarkan masuk sesuka hati.
Jumlah individu yang terlibat dalam urusan mandikan jenazah hendaklah disesuaikan dengan keperluan sebenar supaya kehormatan si mati sentiasa terpelihara.
Amanah Menjaga Aib Ketika Memandikan Jenazah

Menjadi pemandi jenazah bukan sekadar melaksanakan tanggungjawab fardu kifayah, tetapi turut memikul amanah untuk menjaga segala perkara yang dilihat sepanjang pengurusan jasad si mati.
Rasulullah SAW bersabda:
مَنْ غَسَّلَ مُسْلِمًا فَكَتَمَ عَلَيْهِ غَفَرَ اللَّهُ لَهُ أَرْبَعِينَ مَرَّةً
Maksudnya: “Sesiapa yang memandikan seorang Muslim lalu merahsiakan aibnya, Allah akan mengampuninya sebanyak 40 kali.” (Riwayat al-Hakim dan al-Baihaqi)
Hadis ini memperlihatkan besarnya ganjaran bagi individu yang menjaga amanah ketika mandikan jenazah, termasuk tidak menceritakan keadaan tubuh si mati kepada orang lain.
Sekiranya terlihat sesuatu yang kurang menyenangkan, perkara tersebut hendaklah dirahsiakan dan tidak dijadikan bahan perbualan, apatah lagi disebarkan kepada masyarakat.
Ingatlah, tujuan mandikan jenazah adalah untuk menyempurnakan tanggungjawab terhadap si mati, bukannya memenuhi perasaan ingin tahu orang yang masih hidup.
Kematian tidak menghilangkan hak seseorang untuk dihormati.
Sumber: Datuk Dr. Zulkifli Mohamad al-Bakri
BACA JUGA: Anak Lelaki Boleh Mandikan Jenazah Ibu? Ini Urutan Siapa Yang Lebih Utama Urus Jenazah Menurut Islam
Ikuti kami, Waktu Solat Malaysia di semua platform untuk dapatkan lebih banyak info bermanfaat:
Facebook: https://www.facebook.com/waktusolatmsia
Instagram: https://www.instagram.com/waktusolatmy
X: https://x.com/WaktuSolatMsia
WhatsApp Channel: https://whatsapp.com/channel/0029Va9S1HR6xCSNywYivK28
Telegram: https://t.me/waktusolat_my
TikTok: https://www.tiktok.com/@waktusolatmy
Threads: https://www.threads.com/@waktusolatmy
YouTube: https://www.youtube.com/channel/UCNBD0UlKUCbUHm-VmXWozEw
Muat turun aplikasi Waktu Solat Malaysia melalui App Store atau Play Store hari ini.
Waktu Solat Malaysia memperkenalkan Kotak Luahan, ruang selamat dan ‘anonymous’ untuk anda berkongsi pertanyaan, keresahan, pengetahuan atau pandangan berkaitan agama dan kehidupan.
Luahkan di: https://www.waktusolat.digital/kotak-luahan/
Kerana kadang-kadang, meluah itu membuat hati rasa lega!
Sekiranya anda ada maklum balas anda tentang portal, artikel dan topik di Waktu Solat Malaysia, hantar ke: https://forms.gle/cKnytmoA25T33hth9.