Gambar AI bertemakan tahun 80-an kini menjadi antara trend media sosial yang menarik perhatian ramai, tetapi sebagai Muslim, keseronokan mengikuti trend tetap perlu berjalan dalam batas yang dibenarkan syarak.

Dengan hanya memuat naik sekeping gambar, teknologi kecerdasan buatan (AI) mampu mengubah penampilan seseorang seolah-olah hidup pada era 80-an lengkap dengan pakaian, gaya rambut, latar dan suasana retro atau vintage.

Persoalannya, adakah menghasilkan gambar AI seperti ini dibenarkan dalam Islam?

Secara asasnya, hukumnya harus, tetapi keharusan tersebut bukan tanpa batas.

Gambar AI Tema 80-an Pada Asalnya Harus

Jabatan Mufti Negeri Selangor menjelaskan bahawa hukum asal menggunakan teknologi AI atau penjana imej AI untuk menyunting gambar adalah harus selagi digunakan untuk perkara yang harus dan baik.

Ia bertepatan dengan kaedah fiqh:

الأَصْلُ فِي الأَشْيَاءِ الإِبَاحَةُ حَتَّى يَدُلَّ الدَّلِيلُ عَلَى التَّحْرِيمِ

Maksudnya: “Asal bagi sesuatu perkara adalah harus sehinggalah terdapat dalil yang menunjukkan ia haram.”

Maka, menggunakan gambar AI untuk menukar gambar sendiri kepada gaya retro, vintage atau suasana tahun 80-an tidak menjadi haram semata-mata kerana ia dihasilkan menggunakan AI.

Mufti Wilayah sebelum ini turut mengharuskan trend menukar wajah sebenar kepada imej berbentuk patung atau miniatur menggunakan AI dengan beberapa garis panduan syarak.

Namun, hukum harus itu boleh berubah apabila cara gambar AI tersebut dihasilkan atau digunakan melibatkan perkara yang dilarang.

1. Gambar AI Tak Boleh Dedahkan Aurat

gambar AI

Perkara pertama yang perlu dijaga ialah aurat dan maruah.

Jangan kerana mahu mendapatkan hasil retro yang kelihatan menarik, seseorang membenarkan AI menghasilkan dirinya memakai pakaian yang mendedahkan aurat atau menggambarkan dirinya dalam keadaan tidak sopan.

Jabatan Mufti Negeri Selangor menegaskan bahawa suntingan gambar AI yang mempunyai unsur maksiat termasuk pendedahan aurat adalah dilarang.

Jadi, periksa hasil gambar sebelum dikongsi.

Kadangkala AI menghasilkan pakaian atau bentuk tubuh yang berbeza daripada gambar asal tanpa diminta pengguna.

2. Gambar AI Jangan Sampai Jadi Penipuan

gambar AI

Perkara kedua ialah jangan gunakan gambar AI untuk menipu atau memperdayakan orang lain.

Sekadar menghasilkan gambar diri dalam suasana 80-an untuk hiburan berbeza dengan mencipta gambar palsu seolah-olah seseorang benar-benar berada di sesuatu tempat, bersama individu tertentu atau melakukan sesuatu yang tidak pernah berlaku.

Rasulullah SAW bersabda:

وَمَنْ غَشَّنَا فَلَيْسَ مِنَّا

Maksudnya: “Dan sesiapa yang menipu, maka dia bukan daripada kalangan kami.”

(Riwayat Muslim)

Mufti Selangor turut memberikan contoh larangan menggunakan AI untuk menghasilkan gambaran palsu yang boleh membawa kepada penipuan atau fitnah.

Maka gambar AI yang dibuat sekadar hiburan jangan pula digunakan untuk membina cerita palsu sehingga orang lain mempercayainya sebagai kejadian sebenar.

3. Jangan Aibkan Orang Melalui Gambar AI

Trend juga tidak menghalalkan kita menggunakan wajah orang lain sesuka hati.

Jangan mengambil gambar rakan, pasangan, ahli keluarga atau individu lain kemudian menghasilkan gambar AI dalam keadaan memalukan semata-mata untuk dijadikan bahan jenaka.

Walaupun niatnya mahu bergurau, hasil tersebut mungkin menjatuhkan maruah seseorang apabila disebarkan kepada orang ramai.

Mufti Selangor secara khusus menyatakan bahawa suntingan yang mengaibkan seseorang tetap dilarang walaupun dilakukan atas tujuan gurauan.

Sebab itu lebih selamat mendapatkan izin sebelum menggunakan wajah orang lain untuk mengikuti sesuatu trend.

4. Gambar AI Jangan Langgar Hak Cipta

gambar AI

Satu lagi perkara yang kadangkala terlepas pandang ialah hak cipta.

Menghasilkan gambar AI bukan lesen untuk mengambil karya orang lain tanpa kebenaran.

Antara contoh yang diberikan Mufti Selangor ialah menggunakan AI untuk membuang tera air atau watermark pada imej berbayar ataupun menghasilkan semula karya tersebut bagi mendapatkannya secara percuma.

Hak cipta dan pemilikan intelektual diiktiraf sebagai hak yang dipelihara syarak, maka ia tidak boleh dicerobohi sesuka hati.

Jadi, Boleh Ke Ikut Trend Gambar AI 80-an?

Jawapannya, boleh dan hukumnya pada asasnya harus.

Jika seseorang sekadar mengambil gambar sendiri kemudian menggunakan AI untuk menghasilkan versi retro atau vintage tahun 80-an sebagai hiburan, perkara itu dibenarkan selagi tidak mengandungi unsur yang bercanggah dengan syarak.

Namun sebelum memuat naik gambar AI tersebut, periksa semula hasilnya.

Pastikan aurat terjaga, tiada unsur penipuan, tidak mengaibkan sesiapa dan tidak menceroboh hak cipta orang lain.

Kesimpulannya, teknologi hanyalah alat.

Gambar AI boleh menjadi harus apabila digunakan untuk perkara yang baik, tetapi penggunaannya boleh berubah menjadi haram apabila melibatkan maksiat, penipuan, keaiban atau pencabulan hak orang lain.

Jadi tidak salah untuk mengikuti trend, tetapi jangan sampai kerana mahu kelihatan seperti kembali ke tahun 80-an, batas yang Allah tetapkan pula kita tinggalkan.

Sumber: Jabatan Mufti Wilayah Persekutuan, Jabatan Mufti Negeri Selangor, Dr Zulkifli Al-Bakri

BACA JUGA: Guna Teknologi AI Untuk Menghasilkan Gambar Orang Yang Telah Meninggal Dunia, Apa Hukumnya Menurut Islam?

BACA JUGA: Apa Hukum Menukar Wajah Jadi Jantina Berlainan Guna AI? Ini Penjelasan Islam Mengenai Trend ‘Gender Swap’

Ikuti kami, Waktu Solat Malaysia di semua platform untuk dapatkan lebih banyak info bermanfaat:

Facebook: https://www.facebook.com/waktusolatmsia

Instagram: https://www.instagram.com/waktusolatmy

X: https://x.com/WaktuSolatMsia

WhatsApp Channel: https://whatsapp.com/channel/0029Va9S1HR6xCSNywYivK28

Telegram: https://t.me/waktusolat_my

TikTok: https://www.tiktok.com/@waktusolatmy

Threads: https://www.threads.com/@waktusolatmy

YouTube: https://www.youtube.com/channel/UCNBD0UlKUCbUHm-VmXWozEw

Muat turun aplikasi Waktu Solat Malaysia melalui App Store atau Play Store hari ini.

Waktu Solat Malaysia memperkenalkan Kotak Luahan, ruang selamat dan ‘anonymous’ untuk anda berkongsi pertanyaan, keresahan, pengetahuan atau pandangan berkaitan agama dan kehidupan.

Luahkan di: https://www.waktusolat.digital/kotak-luahan/

Kerana kadang-kadang, meluah itu membuat hati rasa lega!

Sekiranya anda ada maklum balas anda tentang portal, artikel dan topik di Waktu Solat Malaysia, hantar ke: https://forms.gle/cKnytmoA25T33hth9