Masuk PASTI atau Pusat Asuhan Tunas Islam bukan sekadar kisah seorang kanak-kanak belajar di tadika.
Ia menjadi kisah yang menyentuh hati rakyat Malaysia apabila seorang ibu berbangsa Cina, Joey Chan, berkongsi rutin hariannya menghantar anaknya ke PASTI di Chaah, Segamat, Johor.
Pada awalnya, Joey hanya “menumpang” selama tiga bulan kerana ada urusan di kampung halaman.
Namun keputusan masuk PASTI itu rupa-rupanya membuka satu pengalaman yang tidak pernah disangkanya.
Selepas menghantar anaknya, Joey mendedahkan ada individu yang memberi mesej negatif tentang memasukkan anaknya ke PASTI.
Namun beliau memilih untuk percaya kepada guru-guru di situ. Baginya mudah, beliau melihat sendiri bagaimana layanan diberikan.
Hari demi hari, anak kecilnya yang dipanggil Kangkang mula menunjukkan perubahan yang mencuit hati.
Sudah boleh menyebut “ibu”, “duduk”, mengira “satu, tiga, empat” dan kadang-kadang menyanyi lagu Melayu di rumah.
Wajahnya ceria setiap kali pulang dari PASTI.
Terima respon positif masuk PASTI
Perkongsian ini menerima ribuan respon positif daripada netizen Melayu yang tersentuh melihat keindahan interaksi budaya ini.
Namun di ruangan lain, khususnya di media berbahasa Cina, Joey menerima kecaman dan kata-kata kurang menyenangkan.
Di sinilah sebenarnya Islam mengajar kita sesuatu yang sangat besar.
Allah SWT berfirman:
يَا أَيُّهَا النَّاسُ إِنَّا خَلَقْنَاكُمْ مِنْ ذَكَرٍ وَأُنثَىٰ وَجَعَلْنَاكُمْ شُعُوبًا وَقَبَائِلَ لِتَعَارَفُوا
“Wahai manusia, sesungguhnya Kami menciptakan kamu daripada lelaki dan perempuan, dan Kami jadikan kamu berbangsa-bangsa dan bersuku-suku supaya kamu saling mengenali.” (Surah Al-Hujurat: 13)
Tujuan perbezaan bangsa bukan untuk bermusuhan, tetapi untuk ta’aruf iaitu saling mengenal.
Apa yang berlaku apabila seorang anak Cina masuk PASTI sebenarnya adalah gambaran ayat ini hidup di hadapan mata kita.
Guru-guru PASTI tidak mengajar agama kepada anak itu secara paksaan. Mereka menunjukkan akhlak. Mereka menunjukkan kasih sayang.
Mereka menunjukkan budaya adab Melayu Islam yang lembut. Dan anak kecil itu menyerapnya dengan gembira.
Inilah dakwah paling berkesan iaitu dakwah melalui akhlak.
Rasulullah SAW bersabda:
إِنَّمَا بُعِثْتُ لِأُتَمِّمَ مَكَارِمَ الْأَخْلَاقِ
“Sesungguhnya aku diutuskan untuk menyempurnakan akhlak yang mulia.” (Riwayat Ahmad)
Akhlak cerminan indah Islam
Apabila anak itu masuk PASTI, yang dia belajar bukan sekadar huruf atau nombor.
Dia belajar cara duduk, cara bercakap, cara menghormati guru, cara bergaul. Dan ibunya melihat sendiri keindahan itu.
Ini bukan soal agama siapa lebih baik. Ini soal bagaimana Islam ditunjukkan melalui perbuatan.
Malah dalam sirah, Rasulullah SAW hidup bersama masyarakat bukan Islam di Madinah.
Baginda berinteraksi, berjual beli, berjiran dan menunjukkan akhlak yang membuatkan ramai tertarik kepada Islam tanpa dipaksa.
Peristiwa ini juga menjadi cerminan kepada masyarakat kita bahawa masuk PASTI tidak pernah menjadi ancaman kepada sesiapa.
Sebaliknya ia menjadi jambatan perpaduan yang sangat indah.
Seorang ibu yang pada awalnya hanya mahu tempat sementara, akhirnya pulang dengan pengalaman yang menyentuh hati.
Anak gembira. Ibu tenang. Guru ikhlas.
Yang menjadi ujian adalah suara-suara sumbang yang melihat dengan kacamata prasangka.
Islam mengajar kita adab berbeza pandangan. Rasulullah SAW bersabda:
مَنْ كَانَ يُؤْمِنُ بِاللَّهِ وَالْيَوْمِ الآخِرِ فَلْيَقُلْ خَيْرًا أَوْ لِيَصْمُتْ
“Barangsiapa beriman kepada Allah dan hari akhirat, hendaklah dia berkata yang baik atau diam.” (Riwayat Bukhari & Muslim)
Kisah ini bukan sekadar tentang seorang anak masuk PASTI.
Ia tentang bagaimana akhlak Islam mampu melembutkan hati tanpa ceramah, tanpa perdebatan.
Joey mungkin tidak sedar, tetapi perkongsiannya sebenarnya menunjukkan wajah Islam yang sebenar kepada ribuan orang.
Bukan melalui hujah. Tetapi melalui pengalaman.
Dan inilah yang membuatkan kisah ini begitu menyentuh hati rakyat Malaysia.
Sumber: TikTok
BACA JUGA: Ibu Bapa Perlu Tahu 4 Perbuatan Ini Ditegah Islam Demi Menjaga Jiwa, Maruah & Emosi Anak
Ikuti kami, Waktu Solat Malaysia di semua platform untuk dapatkan lebih banyak info bermanfaat:
Facebook: https://www.facebook.com/waktusolatmsia
Instagram: https://www.instagram.com/waktusolatmy
X: https://x.com/WaktuSolatMsia
WhatsApp Channel: https://whatsapp.com/channel/0029Va9S1HR6xCSNywYivK28
Telegram: https://t.me/waktusolat_my
TikTok: https://www.tiktok.com/@waktusolatmy
Threads: https://www.threads.com/@waktusolatmy
Sebagai penambahbaikan, kami ingin mendengar maklum balas anda tentang portal, artikel dan topik di Waktu Solat Malaysia. Sila luangkan sedikit masa untuk mengisi borang maklum balas di sini: https://forms.gle/cKnytmoA25T33hth9. Terima kasih atas sokongan anda!