Kesihatan adalah nikmat besar daripada Allah SWT yang wajib dipelihara. Islam memandang menjaga tubuh badan sebagai satu amanah kerana dengannya manusia dapat beribadah dan melaksanakan tanggungjawab hidup.
Rasulullah SAW telah menunjukkan contoh terbaik dalam mengurus kesihatan diri, bukan sahaja dari aspek fizikal tetapi juga dari sudut mental dan rohanil. Amalan Baginda menjadi panduan yang sentiasa relevan untuk diamalkan hingga hari ini.
Antara cara Rasulullah SAW menjaga kesihatan ialah dengan bangun awal sebelum Subuh, menjaga kebersihan tubuh, dan mengawal pemakanan. Baginda tidak makan secara berlebihan, sebaliknya mengajar umat agar berhenti sebelum kenyang.
Selain itu, Baginda juga sentiasa aktif dengan berjalan kaki ke masjid, pasar dan rumah para sahabat, yang memberi manfaat besar kepada kesihatan tubuh.
Amalan ini membuktikan bahawa keseimbangan dalam kehidupan merupakan kunci kesihatan yang baik.
Dari sudut rohani dan emosi, Rasulullah SAW sangat menekankan pengawalan emosi marah, mempunyai sifat pemaaf, menjauhi iri hati serta berfikiran secara optimis.
Baginda mengingatkan agar umat Islam tidak mudah dikuasai emosi, sebaliknya menenangkan diri dengan zikir, berwuduk atau solat.
Memaafkan pula menjadi sifat yang mendamaikan jiwa, mengelakkan tekanan dan mendekatkan diri kepada Allah. Sifat positif ini bukan sahaja menjaga kesihatan mental, malah membina hubungan sosial yang lebih harmoni.
Kesimpulannya, amalan sunnah Rasulullah SAW dalam menjaga kesihatan menrangkumi seluruh aspek kehidupan.
Baginda mengajar bahawa tubuh dan jiwa adalah amanah Allah yang perlu dipelihara dengan seimbang. Mengamalkan gaya hidup sihat menurut sunnah bukan sahaja membawa kesihatan, tetapi juga mendatangkan keberkatan dan keredaan Allah SWT.
Sumber: Persatuan Pengguna Islam Malaysia