
Manusia memang tidak bebas dari melakukan dosa. Setiap di antara kita pasti ada dosa, sama ada yang terang-terangan, atau tersembunyi jauh di dasar hati. Namun, hakikat berdosa bukan ‘lesen’ untuk membiarkan diri terus dalam keadaan itu tanpa rasa bersalah. Adanya Islam bukan untuk menghukum, tetapi untuk memberi jalan keluar iaitu melalui taubat yang tulus. Apa yang merisaukan hari ini ialah apabila dosa mula dianggap biasa, malah dibanggakan.
Ramai yang suka menjadikan kisah wanita pelacur yang memberi minum kepada anjing sebagai dalih. “Dia elok je masuk syurga walaupun berdosa besar,” kata mereka. Tapi kita lupa satu perkara penting, kisah itu bukan untuk menghalalkan dosa, tapi untuk menunjukkan betapa luasnya rahmat Allah bagi sesiapa yang ikhlas. Perbuatannya lahir dari belas ihsan, bukan dari niat untuk ‘cover’ maksiat dengan kebaikan kecil.
Normalisasi dosa berlaku bila orang buat salah tanpa rasa bersalah. Dosa jadi bahan hiburan. Maksiat jadi konten. Yang menegur pula dikatakan “membawang” atau “kurang open-minded”. Sedangkan dalam Islam, walau setitik air mata taubat boleh memadamkan api neraka. Kita sepatutnya menangis bila terjatuh dalam dosa, bukannya bangga dan sengaja menunjuk.
Rasulullah SAW bersabda:
“Tidaklah mata seseorang menitiskan air mata kecuali Allah akan mengharamkan tubuhnya dari api neraka. Dan apabila air matanya mengalir ke pipi maka wajahnya tidak akan terkotori oleh debu kehinaan, apabila seorang daripada suatu kaum menangis, maka kaum itu akan di rahmati. Tidaklah ada sesuatupun yang tak mempunyai kadar dan balasan kecuali air mata. Sesungguhnya air mata dapat memadamkan lautan api neraka.”
Apa yang kita perlu faham adalah, rahmat Allah bukan ‘escape button’ untuk terus hidup dalam maksiat. Ia adalah hadiah bagi hamba yang benar-benar mahu kembali. Bila kita berdosa, jangan melawan nasihat yang diberikan kepada kita. Jangan banding siapa paling baik antara pendosa, tetapi sentiasa kembali kepada Allah SWT dan bertaubat.